Seri Paduka ucap tahniah

Oleh Anwar Hussin

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah mengucapkan tahniah dan syabas kepada angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dari Kazakhstan malam tadi.

"Beta amat berbesar hati kerana Dr Sheikh Muszaphar adalah anak Malaysia pertama meneroka bidang angkasa lepas sejajar dengan misi kerajaan untuk Malaysia terus maju dalam bidang sains, teknologi dan inovasi," titah baginda kepada wartawan di Istana Negara sempena majlis pelancaran angkasawan negara ke ISS.

Baginda berharap pemilihan Dr Sheikh Muszaphar sebagai angkasawan pertama dari Malaysia akan memberi kesedaran dan menambah minat golongan muda dalam menghayati bidang sains dan teknologi.


"Peristiwa ini sekali lagi membuktikan kesungguhan kerajaan Malaysia meletakkan negara kita setaraf negara maju terutama dalam bidang sains angkasa lepas," titahnya.

Baginda turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat hari raya serta mengiringi doa selamat pergi dan kembali kepada angkasawan negara itu.

Dr Sheikh Muszaphar, 35, yang dipilih sebagai calon pertama oleh Jawatankuasa Pemilihan Angkasawan Agensi Angkasa Russia (ROSCOSMOS) berlepas bersama Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan Yuri Malenchenko dari tapak pelancaran Baikaonur Cosmodrome, Kazakhstan pada jam 7.21 malam tadi waktu tempatan (9.21 malam waktu Malaysia).

Angkasawan Malaysia itu akan menyertai misi 10 hari di angkasa lepas sebelum dijangka pulang ke bumi pada 21 Oktober ini.

0 comments: