Lapan pemain Kedah kecewa

Oleh Kamudin Baharom

Pengurusan Hijau Kuning didakwa tidak beri insentif kemenangan

LAPAN bekas pemain Kedah yang membantu pasukan itu menjulang tiga kejuaraan termasuk Piala Malaysia musim lalu, kecewa dengan tindakan tidak profesional pengurusan pasukan itu yang menafikan hak mereka untuk turut menerima insentif kemenangan yang mula diagihkan, semalam.

Difahamkan, semua pemain Kedah yang beraksi pada perlawanan akhir Piala Malaysia 8 September lalu, menerima insentif kemenangan berjumlah antara RM7,500 dan RM15,000 setiap seorang.


Pemain yang beraksi dalam kesebelasan utama masing-masing menerima insentif berjumlah RM15,000 manakala pemain simpanan diberikan RM10,000 dan baki dari skuad 30 pemain masing-masing menerima RM7,500.

Bagimanapun, lapan bekas pemain terbabit, terdiri daripada seorang dalam kesebelasan utama dan tujuh simpanan yang kini digugurkan atau menyertai pasukan baru untuk Liga Malaysia musim depan, dikecualikan daripada menerima insentif berkenaan.

Lebih menyedihkan apabila dilaporkan jumlah wang insentif yang sepatutnya dibayar kepada lapan bekas pemain terbabit akan diagihkan di antara pemain pasukan berkenaan.

Salah seorang daripada bekas pemain yang enggan namanya didedahkan, berkata tindakan pengurusan Kedah itu jelas bertentangan dengan etika profesional dan slogan keikhlasan, amanah, jujur dan telus yang sering dilaungkan kepemimpinan pasukan.

"Secara peribadi memang kami kecewa dengan tindakan pengurusan yang tidak berlaku adil kerana tidak menyenaraikan kami untuk menerima insentif berkenaan. Jika pemain lain menerima insentif masing-masing, mengapa hak kami dinafikan.

"Lagi pun, kami sudah memberikan yang terbaik dan beraksi cemerlang pada perlawanan akhir Piala Malaysia untuk membantu pasukan menjulang piala berprestij itu selepas kempunan beberapa tahun," katanya.

Pemain itu berkata, pengurusan sepatutnya bertindak secara lebih profesional dalam mengagihkan insentif kemenangan itu kepada semua pemain tanpa mengira sama ada sudah digugurkan atau tidak lagi bersama pasukan itu.

"Bagi saya dan rakan sepasukan, insentif itu adalah hak kami selepas turut memainkan peranan membantu pasukan menjulang tiga kejuaraan.

"Pengurusan perlu profesional. Buat apa nak rampas hak kami. Ini jelas tidak adil. Seperti juga pemain Kedah yang lain, kami berhak menerimanya kerana kami juga berjasa kepada pasukan," katanya.

0 comments: