Suu Kyi bukan pilihan -- * Pembangkang tidak berwibawa * Demokrasi bawa huru hara

JAKARTA 10 Okt. – Menteri Pertahanan Indonesia, Juwono Sudarsono menganggap pembangkang Myanmar pimpinan Aung San Suu Kyi bukan sebagai pilihan yang berwibawa bagi mengambil alih kuasa daripada junta tentera negara itu.

Juwono turut memberi amaran jika demokrasi cuba ditegakkan secara tergesa-gesa di Myanmar, “sebuah lagi Iraq” akan wujud.

Beliau dalam wawancara dengan AFP hari ini berkata, demokrasi “segera” di Myanmar yang diperintah oleh tentera sejak 1962 akan mencetuskan perebutan kuasa antara pelbagai etnik minoritinya.

“Demokrasi segera mengikut acuan demokrasi Barat tidak mungkin dilaksanakan.

“Malah ia boleh berkesudahan dengan satu lagi Iraq jika kita mengadakan demokrasi segera dalam situasi huru-hara,” kata Juwono.

Beliau memberi amaran, dunia akan menyaksikan etnik Shan, Karen dan Kachin berebut-rebut kuasa seperti yang disaksikan di Iraq dan beberapa bahagian Afghanistan.

Myanmar kembali menghadapi tekanan hebat antarabangsa berikutan kekerasan yang digunakan oleh junta bulan lepas untuk menamatkan protes besar-besaran.

Bagaimanapun Juwono menyifatkan usaha Barat untuk memencilkan rejim tentera itu sebagai langkah tidak bijak kerana Suu Kyi yang ditahan hampir sepanjang 18 tahun lalu bukanlah pilihan yang meyakinkan.

“Saya sangat menghormati Suu Kyi tetapi saya tidak percaya beliau dan penyokongnya boleh menjadi pilihan yang berwibawa untuk menggantikan kerajaan tentera jika peralihan kuasa berlaku dengan apa cara pun,” jelas beliau.

Juwono berkata, beliau tidak akan menyokong pengharaman jualan senjata kepada Myanmar.

Beliau menganggap sekatan asing sebagai tidak berkesan dan lebih bertujuan “untuk menyedapkan hati” kerajaan asing.

“Sekatan adalah bahasa yang digunakan oleh media liberal di mana-mana sahaja,” katanya.

Beliau percaya situasi ekonomi Myanmar yang getir menjadikan kompromi dengan pembangkang tidak dapat dielakkan.

Menteri itu menaruh harapan satu generasi baru pegawai tentera yang lebih muda akan bersikap lebih terbuka untuk melonggarkan cengkaman kuasa junta.

Beliau menyarankan Myanmar mencontohi usaha Indonesia untuk mengurangkan kuasa tentera selepas kejatuhan Presiden Suharto pada 1998.

Juwono mengulangi kenyataan Menteri Luar, Hassan Wirayuda minggu lalu bahawa junta Myanmar patut dibenarkan berkongsi kuasa dengan kerajaan awam bagi memudahkan peralihan kepada demokrasi.

– AFP

0 comments: