'Saya bawa impian rakyat Malaysia'

Daripada A Halim Yusof


TANDA SOKONGAN: Dr Faiz Khaleed (kiri) turut memberi semangat kepada Dr Sheikh Muszaphar Shukor sebelum berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dari Kazakhstan malam tadi.

Sheikh Muszaphar tak terkejut dipilih angkasawan

BAIKONUR, Kazakhstan: Angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, berkata beliau tidak terkejut dengan pemilihannya sebagai calon untuk ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

"Saya sudah bekerja keras untuk program ini dengan mengorbankan segala-galanya berkaitan bidang tugas saya bagi memenuhi tuntutan misi ini.

"Saya mengorbankan kerjaya, perniagaan dan meninggalkan keluarga serta orang tersayang. Jadi, terus terang saya katakan, tidak terkejut bila pengumuman dibuat," katanya pada sidang akhbar di Cosmonaut Hotel di sini, kelmarin, sehari sebelum pelancaran roket Soyuz TMA-11 di Baikonur Cosmodrome, malam tadi.


Katanya, beliau yakin dengan takdir Allah yang sudah menentukan beliau menjadi angkasawan pertama Malaysia. Beliau juga berterima kasih kepada pihak yang telah memberi mandat untuk membawa misi negara ke ISS.

Dr Sheikh Muszaphar berkata, beliau teruja menantikan masa pelancaran kerana itulah impiannya sejak kecil.

"Saya sememangnya mempunyai impian untuk ke angkasa lepas sejak berusia 10 tahun. Pada 10 Oktober, akhirnya saya dapat memenuhi impian itu. Saya berasa seperti hidup dalam mimpi....mimpi seluruh rakyat Malaysia," katanya.


Mengenai rancangannya selepas program ini, beliau berharap dapat berkongsi pengalamannya dengan seluruh rakyat Malaysia.

"Bagi saya, bukan setakat ke angkasa. Apa yang lebih penting adalah apa yang dapat saya lakukan selepas pulang dari ISS.

"Saya berharap dapat membawa balik teknologi yang dipelajari di Russia dan berkongsi dengan saintis Malaysia. Saya harap Malaysia akan mempunyai roket sendiri pada masa depan," katanya.

Sementara itu, Dr Faiz Khaleed yang diletakkan dalam kumpulan kedua misi itu berkata, beliau akan sentiasa membantu Dr Sheikh Muszaphar jika beliau menghadapi sebarang masalah ketika melakukan kajian saintifik di angkasa lepas.

"Selepas kapal angkasa Soyuz 15-S bercantum dengan ISS pada 12 Oktober, saya akan memainkan peranan aktif membantu Dr Sheikh Muszaphar menjalankan kajian dari Pusat Kawalan Misi (MCC) di Moscow.

"Saya sungguh teruja dengan seluruh perkembangan ini, dan saya harap misi ini berjalan lancar dan mencapai objektif," katanya yang turut dikuarantinkan di Cosmonaut Hotel, di sini.

Mengenai misi ke Planet Marikh, beliau bersedia menawarkan diri menyertai program itu kerana sudah ditauliahkan sebagai angkasawan.

0 comments: