10 juta rakyat Malaysia tonton pelancaran angkasawan negara


Orang ramai menyaksikan secara langsung pelancaran kapal angkasa Soyuz TMA -11 yang membawa angkasawan, Dr. Sheikh Muszaphar ke Stesen Angkasa lepas Antarabangsa (ISS) di KLCC, malam tadi.

KUALA LUMPUR 10 Okt. - Dianggarkan 10 juta rakyat Malaysia menonton detik bersejarah pelepasan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ke angkasa lepas dengan roket Soyuz pada pukul 9.21 malam ini melalui siaran langsung televisyen.

Orang ramai dapat mengikuti majlis pelancaran angkasawan pertama negara ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang terletak kira-kira 333 kilometer dari muka bumi itu melalui saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3 dan Astro.

Majlis pelancaran itu turut ditayangkan di Dataran Merdeka, Pusat Belia Antarabangsa Cheras dan seluruh restoran mamak di bawah Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma).

Selain itu, tujuh skrin gergasi disediakan di dewan pameran satu dan dua, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) untuk kira-kira 1,800 tetamu menyaksikan majlis tersebut.

Di satu sudut khas, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadakan lintas langsung bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis yang kini berada di Kazakhstan.

Sementara itu, Ketua Komunikasi TV Astro, Tammy Toh berkata, lebih dua juta pelanggan dapat menonton program itu menerusi saluran Angkasa 1 (Saluran 588).

‘‘Kita mempunyai lebih dua juta pelanggan. Semua mereka berpeluang menonton majlis pelancaran itu,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kapal angkasa Soyuz yang membawa angkasawan pertama Malaysia itu dijadual dilancarkan dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan pada pukul 7.21 petang (9.21 malam waktu Malaysia).

Doktor bedah ortopedik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berasal dari Seremban akan berada di ISS selama 10 hari.

Sheikh Muszaphar akan berlepas ke ISS bersama Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan Yuri Malenchenko.

Pencapaian yang bakal dilakukan oleh Sheikh Muszaphar ini juga menjadi kebanggaan kepada seluruh rakyat Malaysia terutama ketika negara meraikan 50 tahun merdeka.

0 comments: