Hospital Kuala Lumpur nafi

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Hospital Kuala Lumpur (HKL) menafikan penyebaran gambar-gambar autopsi Nurin Jazlin Jazimin dalam Internet berpunca daripada mereka.

Pengarahnya, Datuk Dr. Zaininah Mohd. Zain berkata, pihaknya tidak boleh menghasilkan gambar yang tersebar itu kerana nombor kod dan jenisnya berlainan dari apa yang dimiliki HKL.

‘‘Ya. Memang kita juga ada mengambil gambar bedah siasat Nurin untuk rujukan. Tetapi jelas apa yang tersebar di Internet bukan dari simpanan kami.

‘‘Kita turut kesal dengan apa yang berlaku. Seharusnya ‘rahsia’ itu disimpan untuk urusan mahkamah dan bukan untuk tayangan umum,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas-desus punca gambar kanak-kanak malang itu yang dikatakan daripada kakitangan HKL sendiri.

Tambah Dr. Zaininah, kod spesimen yang digunakan HKL untuk urusan gambar bedah siasat juga didapati berlainan dengan apa yang telah dilihatnya sendiri di dalam Internet.

Bukan milik

‘‘Laporan diterima semalam dan saya telah melihat sendiri gambar itu untuk mengesahkan ia bukan milik HKL.

‘‘Kita harap orang ramai jelas dan tidak lagi menuding jari kepada HKL mengenai punca penyebaran gambar itu,” ujarnya.

Jelasnya lagi, hanya Ketua Jabatan forensik sahaja yang mempunyai akses untuk mengeluarkan sebarang gambar bedah siasat.

‘‘Saya tidak tahu mengapa boleh jadi begini. Akses untuk mengeluarkan gambar sebegini hanya diberi kepada ketua jabatan untuk urusan pencarian atau rujukan data sahaja.

‘‘Tanggungjawab penyimpanan gambar dipegang sepenuhnya oleh ketua jabatan. Ia termasuk urusan mahkamah jika sebarang masalah timbul mengenai urusan berkenaan kelak,” katanya.

Pada 17 September lalu, mayat kanak-kanak itu yang dalam keadaan bogel ditemui disumbat dalam sebuah beg sukan yang ditinggalkan di depan sebuah kedai di Petaling Jaya.

Hasil bedah siasat mendapati dia didera secara seksual, dengan terung dan timun dimasukkan ke dalam kemaluannya.

0 comments: