KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berpendapat cadangan untuk melanjutkan sesi waktu persekolahan dilanjutkan sehingga pukul 4 petang kurang sesuai dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.
Setiausaha Agungnya Lok Yim Pheng berkata cadangan itu merupakan satu cara yang rasional dan ia bagaimanapun lebih sesuai jika dilaksanakan untuk tempoh 10 tahun akan datang.
"Struktur sekolah yang ada pada hari ini masih belum lengkap, banyak kemudahan yang perlu diperbaiki...jadi cadangan ini tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.
"Kalau hendak lanjutkan juga setiap sekolah mesti ada kemudahan tempat rehat untuk pelajar, kantin perlu menyediakan makanan yang berkhasiat untuk mereka, semua ini perlu dikaji dahulu dan ia memerlukan masa," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Lok berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk melanjutkan waktu persekolahan sehingga pukul 4 petang bagi memastikan kanak-kanak sekolah berada dalam keadaan selamat.
Cadangan itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam khususnya menyentuh perihal keselamatan kanak-kanak ekoran pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin, 8, di Jalan PJS 1, Petaling Jaya, minggu lepas.
Lok berkata selain kemudahan infrastruktur di setiap sekolah yang masih tidak sesuai, orang ramai termasuk guru juga masih belum bersedia untuk melanjutkan waktu persekolahan itu.
"Setiap guru perlu memikirkan kaedah terbaik pembelajaran ataupun menyusun aktiviti yang bersesuaian bagi mengisi masa yang panjang di sekolah.
"Memanjangkan tempoh persekolahan akan melibatkan pertambahan perbelanjaan persekolahan, ramai yang belum bersedia," katanya.
-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment