Bantu siasatan: Polis ambil keterangan ibu bapa Nurin

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Polis hari ini mengambil keterangan daripada ibu bapa Nurin Jazlin Jazimin di rumah mereka di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini bagi membantu siasatan kes penculikan dan pembunuhan kejam kanak-kanak itu baru-baru ini.

Pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, ASP Loh Pei Pei bersama tiga anggotanya tiba di kediaman pasangan itu pada pukul 1.10 tengah hari dan selesai mengambil keterangan kira-kira dua jam kemudian.

Bapa kanak-kanak malang itu, Jazimin Abd Jalil, 33, ketika ditemui selepas memberi keterangan berkata, soal siasat polis lebih tertumpu kepada proses pengecaman mayat yang dibuatnya sebelum menuntut mayat anaknya itu.

“Saya tidak tahu kenapa saya ditanya mengenai proses pengecaman mayat Nurin. Tapi tiada soalan yang memberi tekanan kepada saya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jazimin juga diberitahu bahawa suspek bagi kes pembunuhan anaknya itu masih belum dikesan dan polis masih giat menjalankan siasatan untuk menahan penjenayah itu secepat mungkin.

“Saya diberitahu kalau dapat tangkap (suspek), sebagai bapa kepada Nurin, polis akan panggil saya untuk berjumpa dengan dia (suspek) secara peribadi,” katanya.

Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak, dilaporkan hilang pada 20 Ogos lalu setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya.

Isnin lepas, mayat budak perempuan tidak berpakaian dipercayai mangsa deraan seks, ditemui oleh pemilik lot kedai di Jalan PJS 1, Petaling Jaya.

Setelah ujian DNA dijalankan, mayat itu disahkan adalah Nurin Jazlin.

Sementara itu, Jazimin turut berpesan kepada media supaya melaporkan berita secara tepat dan bersesuaian dengan fakta.

“Saya dah beri sepenuh kerjasama, jadi tolong jangan tikam saya dari belakang,” katanya yang turut menafikan khabar angin bahawa dia disoal siasat polis kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan anak perempuannya itu. - Bernama

0 comments: