SHAH ALAM: Unit Pemusnah Bom Polis Kuala Lumpur tidak menjumpai sebarang senjata api, peluru dan bahan letupan ketika membuat pemeriksaan di rumah Koperal Sirul Azhar Umar pada 7 November lalu, Mahkamah Tinggi di sini, diberitahu, semalam.
Sarjan S Nagendraroo, 47, yang bertugas di Cawangan Logistik dan Persenjataan Polis Kuala Lumpur, berkata beliau dan tiga anggota lain membuat pemeriksaan itu selepas diarahkan Asisten Superintendan Zulkarnain Samsudin daripada Unit D9 Bahagian Siasatan Jenayah KL.
Nagendraroo berkata, apabila tiba di flet tingkat tiga milik tertuduh kedua di Gugusan Semarak, Seksyen 4, Kota Damansara, beliau dan anggotanya diarahkan menunggu di luar rumah sementara Zulkarnain dan pasukan D9 yang berpakaian preman termasuk Sirul Azhar dalam keadaan bergari masuk ke dalam rumah.
Katanya, selepas 10 minit menunggu di luar rumah, Zulkarnain mengarahkan beliau dan dua anggotanya masuk ke dalam rumah membuat pemeriksaan manakala seorang lagi anggota menunggu di luar.
"Ketika masuk ke dalam rumah, saya lihat ada ramai pegawai dan anggota D9, manakala tertuduh berada di meja makan bahagian ruang tamu bersama seorang anggota D9 dikenali sebagai Koperal Chiam.
"Kemudian saya dan anggota memeriksa keseluruhan bilik dan bahagian utama rumah termasuk di bahagian dapur selama 20 minit.
"Selepas tidak menjumpai sebarang senjata api, peluru dan bahan letupan dalam rumah itu, saya memaklumkan kepada Zulkarnain yang kemudian mengarahkan kami pulang ke pejabat," katanya.
Saksi pendakwaan keenam dalam prosiding bicara dalam perbicaraan itu berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah ketika sesi pemeriksaan utama.
Prosiding bicara dalam perbicaraan itu dijalankan bagi menentukan sama ada keterangan Sirul Azhar kepada Zulkarnain yang juga saksi ke-23 dalam perbicaraan utama, ketika disoal siasat di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan di rumah tertuduh dibuat secara sukarela, seterusnya boleh diterima mahkamah.
Zulkarnain dalam keterangannya di mahkamah bulan lalu berkata, Sirul Azhar memaklumkan kepadanya: "Saya boleh tunjukkan barang kemas milik perempuan itu (Altantuya) yang saya simpan di rumah saya di Kota Damansara."
Apabila tiba di rumah itu, tertuduh dikatakan memberitahu Zulkarnain: "Saya simpan barang kemas itu di dalam jaket saya." Sirul Azhar juga mengangguk ketika ditunjukkan sama ada jaket berwarna hitam itu yang dimaksudkannya.
Sirul Azhar juga berkata: 'Inilah barang dia' sambil menunjukkan barang kemas yang dikeluarkan dari poket jaketnya oleh Zulkarnain.
Menjawab soalan peguam bela Hasnal Rezua Merican yang mewakili Sirul Azhar, sama ada beliau bertanya kepada Zulkarnain berhubung kemungkinan terdapat senjata api, peluru dan bahan letupan di rumah tertuduh sebelum membuat pemeriksaan, Nagendraroo berkata: "Tidak".
Hasnal: Adakah kamu setuju, oleh kerana ini bukan situasi kecemasan, kamu tidak perlu masuk dulu ke rumah itu?
Nagendraroo: Setuju.
Hasnal: Maka dengan itu, unit kamu menunggu di luar dulu?
Nagendraroo: Ya.
Hasnal: Saya cadangkan pasukan kamu yang terakhir yang masuk ke dalam rumah itu?
Nagendraroo: Itu saya tidak pasti kerana selepas selesai tugas saya dan anggota diarahkan pulang.
Hasnal: Saya cadangkan oleh kerana ini bukan ancaman, kamu tidak mengambil peduli siapa masuk ke dalam rumah?
Nagendraroo: Itu bukan tugas saya kerana kami hanya pasukan bantuan saja.
Hasnal: Kamu kata selepas 10 minit kamu dipanggil masuk. Anggaran 10 minit ini berdasarkan perlakuan apa?
Nagendraroo: Anggaran dari masa kami sampai dan mereka buka pintu sehingga dipanggil masuk.
Terdahulu, saksi kelima pendakwaan, Inspektor Koh Fei Cheow, 38, dalam keterangannya berkata, Zulkarnain tidak meninggikan suara, menghentak meja atau memberi janji atau dorongan kepada Sirul Azhar supaya menunjukkan barang kemas Altantuya di rumahnya ketika menyoal siasat tertuduh itu pada 7 November lalu di pejabat Zulkarnain di IPK KL.
Koh yang turut bersama-sama dalam bilik itu ketika sesi soal siasat berkata, beliau juga tidak mendengar Zulkarnain berjanji kepada tertuduh untuk menolongnya dan membebaskannya serta tidak akan membawa kes itu ke mahkamah jika dia (Sirul Azhar) memberikan kerjasama dengan menunjukkan barangan kemas itu.
Menjawab soalan Tun Abdul Majid sama ada beliau tahu bahawa pegawai dan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) membuat pemeriksaan terhadap rumah tertuduh, Koh menjawab, "Saya diberitahu Zulkarnain selepas menjalankan tugas".
Tun Abdul Majid: Ketika kamu dalam bilik bersama anggota D9 dan tertuduh, adakah Zulkarnain memaksa tertuduh menunjukkan sesuatu seperti barang kemas?
Koh: Tidak.
Tun Abdul Majid: Adakah tertuduh diminta untuk beraksi ketika gambar diambil?
Koh: Tidak.
Tun Abdul Majid: Adakah kamu mempunyai sebab untuk mengenakan tertuduh?
Koh: Tiada
Tun Abdul Majid: Selepas barang kemas diperoleh, adakah kamu sendiri menjalankan pemeriksaan lain di dalam bilik itu?
Koh: Ada.
Tun Abdul Majid: Pada waktu bila dan di bahagian mana dalam bilik itu?
Koh: Selepas Zulkarnain rampas barang kemas, beliau membawa barang kemas itu keluar dari bilik tidur ke ruang tamu. Selepas itu saya ada jalankan pemeriksaan secara biasa di dua bilik lain.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin bersambung hari ini.
0 comments:
Post a Comment