Oleh Azman Zakaria dan Saufi Hamzah
PM juga cadangkan Rukun Tetangga tingkat rondaan, pengawasan
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan diwujudkan persekolahan satu sesi bagi membolehkan kanak-kanak berada lebih lama di sekolah sebagai satu cara membendung jenayah seksual dan pembunuhan terhadap golongan berkenaan.
Perdana Menteri juga berkata, usaha hingga ke peringkat akar umbi mesti dilaksanakan dengan menghidupkan kembali Rukun Tetangga (RT) yang membabitkan semua pihak mengawasi dan memerhatikan keselamatan di kawasan masing-masing.
Katanya, persekolahan satu sesi sehingga waktu petang akan melegakan ibu bapa yang bekerja kerana tahu anak mereka berada di sekolah dan lebih selamat berbanding jika tinggal sendirian di rumah.
"Banyak ibu bapa yang bekerja akan berasa lega kerana (biasanya) bila anak balik tak ada orang di rumah. Ini jadi satu kebimbangan kepada mereka.
"Adakah kemungkinan kita buka sekolah satu sesi dengan masuk waktu biasa dan dipanjangkan hingga jam 4 petang. Apabila pelajaran harian tamat, maka waktu tiga atau empat jam digunakan untuk kokurikulum, sukan atau buat kerja rumah buat...tak payah buat di rumah.
"Jam 4 petang balik dan masa itu ibu bapa yang pulang kerja boleh ambil anak atau anak pulang menaiki bas sekolah,� katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di ibu pejabat parti di Menara Datuk Onn di sini, semalam.
Abdullah berkata, MT juga membincangkan isu kanak-kanak yang diseksa, usaha mengurangkannya serta berharap ia tidak berlaku lagi.
Katanya, walaupun polis berusaha mencegah jenayah kanak-kanak dan memburu penjenayah sehingga ditangkap, ia belum mencukupi kerana rakyat perlu berbuat sesuatu sehingga ke peringkat akar umbi.
Katanya, satu daripadanya adalah menghidupkan kembali RT untuk mengawasi kawasan perumahan dan kampung daripada dicerobohi pihak yang hendak melakukan jenayah atau sekurang-kurangnya mengetahui orang luar yang masuk ke kawasan masing-masing.
Bagaimanapun, katanya, jika sekolah satu sesi dilaksanakan atau RT dihidupkan kembali, ia bukan bermakna segala masalah itu akan selesai.
"Kita perlu kombinasi beberapa cara yang membabitkan ibu bapa dan orang ramai. Amat penting keadaan seperti ini jika kita nak tangani atau hapuskan ancaman itu. Semua mesti laksanakan tanggungjawab masing-masing supaya keadaan akan jadi lebih baik, bukan kita serahkan kepada polis semata-mata," katanya.
Ditanya secara umum mengenai kecuaian ibu bapa menjaga anak, Abdullah berkata, ia adalah perkara serius kerana ibu bapa bertanggungjawab terhadap anak mereka.
"Isu cuai ini pada satu prinsip adalah serius sebab kita mahu ibu bapa bertanggungjawab kepada anak mereka. Anak adalah di bawah jagaan ibu bapa selagi di bawah umur... amat penting ibu bapa memastikan anak mereka sentiasa dalam kawalan dan tidak berlaku apa-apa yang menyebabkan penderitaan atau yang menyebabkan anak cedera," katanya.
Beliau berkata, ia adalah perkara yang sukar untuk ditentukan dan perlu diperhalusi jika undang-undang mengenainya hendak digubal.
"Ibu bapa sibuk sebab bekerja, manakala anak di rumah. Bila anak balik sekolah, ibu bapa tak ada di rumah... orang boleh masuk rumah atau apabila kanak-kanak pergi berehat atau bermain di luar pun sudah menjadi satu perkara yang membimbangkan," katanya.
Sementara itu, Abdullah berkata, kerajaan akan memutuskan cadangan Petronas menaikkan harga gas selepas mengambil kira hasil kajian kesannya terhadap rakyat dan industri.
Perdana Menteri berkata, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan jabatan berkaitan akan menyediakan kertas kerja mengenai harga gas dan perbandingan harga di Malaysia dengan negara lain untuk pertimbangan Kabinet.
Beliau berkata, maklumat tambahan akan diberikan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) mengenai kesan kenaikan harga gas terhadap industri di Malaysia.
0 comments:
Post a Comment