Ibu 10 anak tiada dokumen peribadi

Oleh ANGELINA SINYANG

KAMPAR 24 Sept. – Seorang wanita warga emas di Kampung Baru Kuala Dipang, di sini terpaksa hidup merempat seperti rakyat asing di tanah air sendiri kerana tidak memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan.

Salmah Mokhtar, 53, yang dilahirkan di Kampung Air Mati, Tanjung Tualang dekat sini mendakwa dia tidak memiliki dokumen penting itu kerana bapanya sudah meninggal dunia dan tidak pernah membuat sebarang permohonan kad pengenalan untuknya.

Menyedari akan keperluan memiliki dokumen pengenalan diri itu, katanya, dia telah beberapa kali cuba memohonnya daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tetapi usaha itu tidak mendatangkan hasil.

Disebabkan ketiadaan dokumen pengenalan diri, Salmah tidak layak menikmati segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan termasuk memohon bantuan kewangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Meskipun hidup daif dan terpaksa menumpang di rumah jirannya ketika ini, dia langsung tidak layak menerima sebarang bantuan malah sejak sekian lama wanita itu juga tidak dapat menunaikan kewajipan untuk mengundi pada pilihan raya.

‘‘Arwah ayah saya, Mokhtar Talib bekerja sebagai kakitangan di stesen kereta api dan sering berpindah-randah.

‘‘Apabila ibu saya meninggal dunia ketika saya berusia tiga tahun, ayah menyerahkan tiga adik-beradik saya yang lain untuk dijaga oleh ibu saudara manakala saya sekali lagi dibawa berpindah sebelum ayah berkahwin lain dengan seorang janda kira-kira empat tahun kemudian.

‘‘Adik-beradik yang dijaga oleh ibu saudara semuanya memiliki kad pengenalan tetapi saya tidak bernasib baik kerana ayah tidak membuat dokumen peribadi untuk saya dengan alasan sukar kerana kami sering berpindah,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Kuala Dipang di sini hari ini.

Salmah memberitahu, dia sudah memohon kad pengenalan sebanyak enam kali tetapi gagal kerana JPN memberi alasan dia gagal menunjukkan surat sokongan daripada bidan yang menyambut kelahirannya.

‘‘Apabila datang ke pejabat JPN, mereka minta saya mengisi borang tetapi apabila dihantar, mereka memberitahu permohonan itu tidak boleh diproses kerana saya tiada surat pengesahan daripada bidan yang menyambut kelahiran saya.

‘‘Alasan lain permohonan saya ditolak ialah saya juga gagal menunjukkan kupon pembelian beras yang biasa diberikan kepada orang kampung yang membeli beras pada sekitar tahun 50-an.

‘‘Bagaimana saya hendak mendapatkan pengesahan bidan sedangkan wanita tersebut sudah lama meninggal dunia dan siapa lagi masih menyimpan kupon pembelian beras yang diterima kira-kira 50 tahun lalu,” ujarnya.

Salmah yang kematian suami memberitahu, dia kini hidupnya ibarat sebatang kara apabila terpaksa menumpang di rumah jiran sekampung selepas kesemua 10 anaknya mendirikan rumah tangga dan berpindah ke tempat lain.

Menurut beliau, hanya tiga anaknya menetap di kampung yang sama manakala yang lain hilang tanpa khabar berita sehingga ke hari ini.

Ekoran kesempitan hidup, Salmah sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan bagi menyara hidup termasuk mengambil upah mengupas buah kedondong dengan bayaran 25 sen sekilogram.

Salmah berharap JPN dapat meluluskan permohonannya untuk mendapatkan kad pengenalan dengan segera.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban Salmah boleh menziarahinya di alamat No. 65, Kampung Baru Kuala Dipang, 31850 Kampar, atau menghubungi abang tirinya, Lot Daud di talian 012-5347854.

0 comments: