Oleh Wan Hazmir Bakar dan Shamshul Azree Samshir
KEBANGGAAN NEGARA: Sheikh Muszaphar Shukor (kiri) dan Dr Faiz menjalani latihan terakhir di pusat latihan angkasa lepas Star City, Moscow. |
PUTRAJAYA: Kedua-dua calon angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Kapten Dr Faiz Khaleed, diisytiharkan layak menyertai misi Soyuz 15-S ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober ini selepas mereka lulus semua ujian dengan cemerlang.
Keputusan lembaga penetapan krew agensi angkasa lepas Russia, Roscosmos, itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di sini semalam.
Abdullah berkata, Dr Sheikh Muszaphar diletakkan dalam kumpulan krew pertama bersama angkasawan Russia, Yuri Malechenko dan Peggy Whitson dari Amerika Syarikat (AS), manakala Dr Faiz dalam kumpulan krew kedua bersama Sharizan Sharipov (Russia) dan Michael Fincke (AS).
Perdana Menteri berkata, keputusan badan latihan angkasawan antarabangsa itu bermakna negara sudah melahirkan dua anak Malaysia yang boleh mengikuti misi ke angkasa lepas pada bila-bila masa saja apabila diperlukan.
"Bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat, saya mengucapkan selamat maju jaya dan saya berdoa agar misi ini akan berjalan seperti dirancangkan dengan selamat dan jayanya," katanya.
Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan, Tun Hanif Omar.
Dr Sheikh Muszaphar, 35, adalah bekas pegawai perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), manakala Dr Faiz, 26, pernah berkhidmat sebagai doktor gigi dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Mereka dipilih daripada 11,275 calon yang memohon mengikuti program itu pada 2003. Kedua-duanya menjalani pelbagai latihan, termasuk di Russia selama setahun selepas dipilih untuk saringan akhir pada 4 September 2006.
Penghantaran angkasawan pertama negara dengan kos RM95 juta itu adalah sebahagian daripada program timbal balik pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM dan pesawat udara pelbagai guna bernilai RM3.4 bilion dari Russia yang ditandatangani pada 5 Ogos 2003.
Misi selama 11 hari sehingga 21 Oktober itu akan mencatat sejarah tersendiri kerana untuk kali pertama seorang angkasawan beragama Islam akan berpuasa dan menyambut Aidilfitri di angkasa lepas.
Bercakap pada sidang media kemudian, Jamaludin menjelaskan peluang kedua-dua calon angkasawan negara untuk dipilih menyertai misi itu adalah sama. walaupun Dr Sheikh Muszaphar menjadi calon pilihan dan diletakkan dalam kumpulan krew pertama manakala Kapten Dr Faiz dalam kumpulan krew kedua.
Katanya, pemilihan krew ke misi itu bergantung kepada beberapa faktor lain, termasuk yang membabitkan rakan anggota dari Russia dan Amerika, bukan calon Malaysia semata-mata.
"Malah, (angkasawan pertama) Yuri Gagarin adalah calon nombor dua... begitu juga misi Apollo 13, (kumpulan krew pertama) tidak boleh pergi kerana (seorang anggota terkena) campak," katanya.
Jamaluddin berkata, pelancaran Soyuz 15-S yang membawa angkasawan pertama Malaysia pada jam 9.21 malam 10 Oktober ini akan disiarkan secara langsung menerusi saluran khas Astro dan rangkaian tempatan lain.
"Perdana Menteri berserta rakyat Malaysia lain akan menyaksikan peristiwa itu secara langsung menerusi televisyen," katanya.
Sementara itu, Hanif berkata panel itu sudah memilih Dr Sheikh Muszaphar sebagai calon utama angkasawan negara, namun sejak enam bulan lalu segala keputusan terletak sepenuhnya di tangan pihak Russia.
"Kedua-dua mereka layak dan 15 hari terakhir adalah waktu paling kritikal... segalanya terserah kepada pengarah misi dan calon kedua juga perlu mempersiapkan diri untuk misi itu sehingga notis terakhir," katanya.
0 comments:
Post a Comment