Bengkulu Digegarkan Dengan Empat Gempa Susulan

Oleh Mohd Nasir Yusoff

BENGKULU, 25 Sept (Bernama) -- Gempa bumi susulan berukuran 5.6 pada skala Richter menggegarkan wilayah Bengkulu sekali lagi pada pukul 7.33 lewat Isnin petang, menurut jurucakap Agensi Meteorologi dan Geofizik (BMG) tempatan Adjat Sudrajat.

Pusat gempa itu dikesan pada kedudukan 4.36 darjah latitud selatan dan 101.50 darjah longitude timur pada kedalaman 10km atau 105km, di barat daya Bengkulu.

Pada sebelah siangnya Bengkulu digegarkan oleh empat gempa bumi susulan berukuran 5.8, 5.4, 4.9 dan 5.6 pada skala Richter pada pukul 5.23 pagi, 6.24 pagi, 12.42 tengah hari dan 7.33 lewat petang.

Selepas gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter melanda wilayah Bengkulu dan Sumatera Barat pada 12 Sept lepas, sebahagian daripada Pulau Sumatera terus digegarkan dengan beratus-ratus gempa bumi susulan sehingga kini.

Menurut Agensi berita Antara, sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh, 12 parah dan 38 lagi cedera dalam gempa bumi kuat yang melanda wilayah itu pada hari Rabu lepas.

Gempa itu dilaporkan memusnahkan 27,822 rumah, 277 tempat ibadat, 885 bangunan sekolah, 400 pejabat kerajaan, 331 rumah sakit, 310 jambatan dan jalan raya, serta 194 kemudahan saliran.

-- BERNAMA

0 comments: