Sheikh Muszaphar sedia pikul tugas

Angkasawan pertama bawa cabaran negara

KUALA LUMPUR: Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang dipilih sebagai angkasawan pertama negara semalam bersedia untuk memikul tanggungjawab itu bermula 10 Oktober ini.

Bekas pakar ortopedik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) itu berjanji melakukan yang terbaik sepanjang tiga minggu akan datang untuk mempersiapkan diri sebelum memulakan misi ke angkasa lepas.

"Insya-Allah, berkat sokongan dan doa seluruh rakyat Malaysia, saya akan melakukan yang terbaik. Saya berasa gembira dengan pemilihan ini dan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada bapanya, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor melalui telefon sejurus namanya dan Kapten Dr Faiz Khaleed diumumkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam.

Sheikh Mustapha berkata, anaknya menyedari cabaran yang bakal dihadapi sebelum berlepas ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) melalui Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan pada 10 Oktober ini.

Sementara itu, usaha mendapatkan Dr Faiz bagi mendapatkan ulasan tidak berhasil. Namun, ibunya, Maznah Mohamad berkata anak lelakinya kehilangan telefon bimbit ketika menjalani latihan seminggu lalu.

Sheikh Mustapha juga berkata, beliau sekeluarga gembira dan bangga dengan pemilihan Dr Muszaphar sebagai angkasawan pertama negara bersama Dr Faiz.

"Kami bersyukur kepada Allah atas kejayaannya. Apa yang diinginkan dan diusahakannya sejak lebih tiga tahun lalu untuk bergelar angkasawan pertama negara sudah tercapai.

"Kejayaan ini bukan kejayaan beliau seorang tetapi kedua-dua anak muda itu. Mereka sebenarnya adalah angkasawan pertama Malaysia," katanya kepada Berita Harian semalam.

Menceritakan debaran menanti pengumuman semalam, Sheikh Mustapha berkata ia sukar untuk digambarkan meskipun pada awalnya sudah mendengar desas-desus anak lelakinya terpilih sebagai calon utama.

Katanya, beliau dan isteri, Datin Zuraidah Sheikh Ahmad dan seorang anak lelaki, Sheikh Taufik Shukor berkumpul di depan televisyen tepat jam 12 tengahari semalam sebaik dimaklumkan pengumuman akan disiarkan secara langsung.

"Perasaan kami ketika itu memang berdebar dan sebaik Perdana Menteri mengumumkan pemilihan Sheikh Muszphar, kami sangat terharu dan gembira.

"Memang dia layak untuk terpilih kerana memiliki kelebihan untuk bergelar angkasawan pertama negara," katanya sambil mengakui sebelum ini turut mendengar berita pemilihan anaknya itu melalui media luar negara.

Sementara itu, Maznah ketika mengulas keputusan kerajaan itu berkata mereka sekeluarga menerimanya dengan hati terbuka.

Bagaimanapun, mereka sekeluarga tetap gembira apabila Dr Faiz turut diiktiraf sebagai angkasawan negara.

0 comments: