Sikap Ambil Peduli Masyarakat Penting Untuk Tangani Jenayah, Kata Zahid

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Kecanggihan peralatan teknologi komunikasi semata-mata tidak dapat membantu menyelesaikan kes tertentu seperti penculikan dan pembunuhan terutama membabitkan kanak-kanak jika sikap ambil peduli dalam masyarakat masih tidak berubah, kata Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata seseorang yang bersikap prihatin terhadap sesuatu masalah yang menimpa orang lain bukan bererti orang itu menjadi penyibuk atau suka menjaga tepi kain orang.

"Kita hidup dalam masyarakat jadi jika mendapati jiran mempunyai masalah, menjadi tanggungjawab kita untuk membantu, bukan berdiam diri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Komunikasi 50 Tahun Merdeka di sini hari ini.

Seramai 350 peserta termasuk penuntut Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan pelajar sekolah menyertai seminar sehari itu.

Zahid juga berkata bahawa dalam melaporkan kes-kes pembunuhan, media perlu bertangungjawab dan tidak terlalu mensensasikan berita kerana perasaan keluarga mangsa terbabit perlu diambil kira.

-- BERNAMA


0 comments: