Anak dikurung sebab tipu tandatangan

SEREMBAN: Ibu seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang dipercayai mengurung anaknya dalam sangkar besi di belakang rumah di Seremban 2 Sabtu lalu mendakwa ia kerana anaknya meniru tandatangannya dalam kad laporan kemajuan sekolah yang diserahkan guru.

Ibu berusia 37 tahun itu memberitahu demikian ketika disoal Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Mizan Maulud dan pegawainya di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) pagi semalam

Mizan berkata, wanita yang sudah bercerai dengan bapa mangsa menafikan anaknya dikurung dalam sangkar besi, sebaliknya dalam bilik stor dengan alasan untuk memberi pengajaran supaya tidak mengulangi perbuatan itu.

"Kita sudah mengambil keterangan ibunya tetapi tidak boleh membuat kesimpulan atau menutup kes ini dengan hanya mendengar penafian sebelah pihak kerana siasatan harus menjurus kepada segenap aspek.

"Ini termasuk mendapatkan keterangan jiran, sekolah, lawatan ke rumah dan laporan siasatan polis. Kita akan kumpulkan semuanya dan membuat perbandingan sebelum mengambil tindakan," katanya.

Kelmarin, ibu terbabit dipercayai berang dan tidak tahan dengan kenakalan anak perempuannya bertindak mengurungnya dalam sangkar besi di belakang rumah di Seremban 2 semalaman.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu dibebaskan empat anggota polis yang datang ke rumahnya jam 10 pagi selepas mendapat maklumat jiran yang mendengar tangisan mangsa.

Mangsa kemudian diambil dari rumahnya oleh anggota polis malam semalam sebelum dihantar ke HTJS untuk pemeriksaan, manakala ibunya dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) di Seremban 2.

Mizan berkata, mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, ibunya boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana perbuatannya yang mengurung mangsa boleh menyebabkan gangguan emosi kepada kanak-kanak itu.

"Ibu mangsa bagaimanapun memberitahu tidak tahu mengenai perkara itu (tindakan undang-undang boleh diambil terhadapnya). Bagaimanapun, kita perlu mengumpul semua maklumat dan diperhalusi sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.

Ditanya mengenai laporan pemeriksaan perubatan, Mizan berkata, beliau diberitahu doktor tidak ada unsur penderaan, sebaliknya hanya ada kesan gigitan nyamuk pada kaki mangsa.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan Azmi Abu Kassim, berkata pihaknya menunggu laporan dan siasatan JKM sebelum mengambil tindakan susulan.

"Kita akan menjalinkan kerjasama dengan JKM bagi menyelesaikan kes ini," katanya ditemui di pejabatnya.

0 comments: