BPR tahan pegawai polis milik harta RM9 juta

Oleh Ruhaidini Abd Kadir

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Seorang pegawai kanan polis berpangkat supritendan yang sebelum ini disiasat kerana disyaki mengumpul harta bernilai RM9 juta secara haram sejak beberapa tahun lalu ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini.

Pegawai berkenaan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ditangkap di Putrajaya dekat sini pukul 10.30 pagi ini.

Suspek yang berusia lewat 40-an dan telah berkhidmat selama 20 tahun dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan didakwa di mahkamah esok.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan ketika dihubungi mengesahkan penangkapan itu tetapi enggan mengulas.

Utusan Malaysia difahamkan, pegawai terbabit yang dipercayai mengumpul kekayaan secara haram ketika bertugas di Pahang dan Johor memiliki beberapa buah rumah dan lot tanah yang sebahagian besar terletak di Lembah Klang.

Pegawai terbabit yang pernah bertugas di Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) di Johor juga didakwa terlibat dalam beberapa kes penggubahan wang haram di Johor.

Sebelum ini, suspek telah dipanggil BPR untuk mengisytiharkan hartanya mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Suspek telah mengisytiharkan hartanya kepada Timbalan Pendakwa Raya di Putrajaya seperti yang diarahkan sebelum ini dan hasil siasatan mendapati harta-harta itu diperoleh melalui amalan salah guna kuasa.

Siasatan itu menjadikan sekurangkurangnya dua pegawai kanan Polis Bukit Aman sedang disiasat oleh BPR berhubung pemilikan harta melebihi tahap kemampuan sebagai penjawat awam, selain dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

Seorang lagi ialah pegawai kanan berusia 50-an dikaitkan dengan pemilikan harta RM27 juta. Dia juga telah dipanggil oleh BPR untuk mengisytiharkan hartanya.

Pegawai kanan terbabit dikatakan memiliki sejumlah besar saham dalam sebuah syarikat perladangan di Lahad Datu, Sabah.

0 comments: