UTM ada ekosistem intelektual

UTM ada ekosistem intelektual

Oleh SAHBULAH DARWI
pengarang@utusan.com.my

NAIB Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang melakar sejarah baru negara yang mengagumkan apabila diumumkan sebagai pemenang pertama kategori Pencapaian Ulung Akademik Anugerah Merdeka 2009 pada 19 Ogos lalu.

Sejak anugerah berprestij itu diperkenalkan, ini adalah kali pertama Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka mengumumkan kategori itu mempunyai pemenang kerana tahun lalu ia tidak dimenangi sesiapa.

Pengumuman yang dilakukan oleh Pengerusi lembaga amanah tersebut, Tan Sri Mohd. Hassan Merican, memberi signifikan besar untuk memberi pengiktirafan, sekali gus meningkatkan profil komuniti akademik, aktivis masyarakat dan penyumbang kepada bidang penting kepada kemajuan, kemakmuran dan kemerdekaan negara dalam erti kata sebenar.

Mengulas mengenai kejayaannya, Zaini, 44, berkata, beliau amat bersyukur kerana dipilih untuk memenangi anugerah itu kerana ia adalah satu pengiktirafan tinggi bukan sahaja kepadanya tetapi juga kepada warga UTM sebagai satu ekosistem intelektual secara khususnya dan kepada seluruh warga akademik negara ini secara amnya.

Katanya, ia adalah satu anugerah yang memberi ruang dan peluang kepada seluruh masyarakat yang menabur bakti serta sumbangan dalam pelbagai kepakaran ilmu tanpa dipengaruhi oleh kedudukan, jawatan, pangkat dan sebagainya.

"Ia mengambil contoh Hadiah Nobel sebagai model yang mana ia amat baik untuk memberi anugerah sebagai pengiktirafan kepada orang yang tidak meminta-minta. Saya sendiri tak menyangka terpilih menerima anugerah ini," katanya ketika ditemui di pejabatnya di UTM, Skudai, Johor Bahru baru-baru ini.

Kejayaannya lebih menyerlah kerana ia sudah tentu menjadi dorongan kepada pakar-pakar dalam pelbagai bidang untuk terus memberi sumbangan kepada negara.

Beliau berkata, pada masa yang sama golongan tersebut boleh menjadi role model kepada generasi baru untuk melonjakkan lagi pembangunan negara dan masyarakat.

"Kalau tidak, masyarakat khususnya golongan muda akan sekadar mengambil golongan artis sebagai role model kerana mereka adalah golongan yang selalu muncul di media massa dan sebagainya," kata anak kelahiran Kampung Johol, Inas, Negeri Sembilan itu.

Anugerah Merdeka diwujudkan pada 27 Ogos 2007 untuk mengiktiraf dan menghargai individu dan organisasi yang telah memberi sumbangan unggul ke arah pembangunan dan kemajuan negara lantas menjadi sumber inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mencapai kecemerlangan.

Anugerah itu memberi pengiktirafan dan penghargaan terhadap kecemerlangan dalam lima kategori iaitu Pendidikan dan Komuniti; Kesihatan, Sains dan Teknologi; Alam Sekitar; Pencapaian Cemerlang Akademik dan Sumbangan Ulung Kepada Rakyat Malaysia.

Penerima anugerah bagi setiap kategori dihadiahkan wang tunai RM500,000, piala dan sijil.

Hadiah tersebut sudah cukup untuk menjadikannya sebagai satu anugerah yang begitu berprestij dan menjadi harapan syarikat-syarikat minyak terlibat agar para penerimanya akan dianggap sebagai ikon dalam bidang masing-masing sama seperti penerima Hadiah Nobel.

Anugerah Merdeka adalah inisiatif Petronas yang turut diasaskan bersama ExxonMobil dan Shell dengan kumpulan pertama tokoh-tokoh yang menerima anugerah tersebut adalah pada Oktober tahun lalu.

Selain Zaini, seorang Pensyarah Jabatan Kimia UTM, Profesor Dr. Halimaton Hamdan, 53, turut menerima Anugerah Merdeka kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi bagi mengiktiraf kejayaan Halimaton menghasilkan 'Maerogel' iaitu sejenis 'aerogel' daripada sekam padi sekali gus mengurangkan 80 peratus kos penghasilannya.

Majlis penyampaian Anugerah Merdeka 2009 akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 19 Oktober ini.

Mengulas lanjut, Zaini yang menjadi naib canselor termuda iaitu pada usia 43 tahun memberitahu, kejayaannya membuktikan UTM bukan sekadar institusi pengajian biasa tetapi ekosistem intelektual yang wujud di dalam UTM telah berjaya melahirkan dua pemenang Anugerah Merdeka 2009.

"Dalam ekosistem ini semua pihak terlibat dan memainkan peranan penting, sebagai contoh jika kita lihat hutan maka dalam ekosistemnya misalnya terdapat ular, semut, gajah dan sebagainya yang mana semua haiwan ini mempunyai peranan penting dan tidak ada satu pun makhluk dalam ekosistem itu yang tiada peranan.

"Begitu juga di UTM dalam ekosistem intelektualnya, kita lihat semua pihak sama ada pengawal keselamatan, pemandu, pensyarah, mahasiswa dan sebagainya mempunyai peranan penting.

"Ekosistem inilah yang berperanan dengan baik hingga telah berjaya melahirkan hasil yang baik juga iaitu menghasilkan penerima anugerah itu dan di sinilah saya ingin memberi penghargaan kepada ekosistem ini kerana ia melahirkan persekitaran kondusif untuk semua," kata Zaini yang merupakan Pengerusi Majlis Alam Sekeliling Malaysia.

Menurutnya, ekosistem akademik yang baik akan mendorong warga universiti kerana ia merupakan prasyarat kepada kejayaan dan kemunculan tokoh dalam bidang akademik dari pelbagai sudut termasuk penyelidikan, pengajaran dan komitmen berterusan terhadap sesuatu disiplin ilmu.

"Ekosistem yang merangsang akan meningkatkan tahap komitmen dan kualiti kepimpinan. Ia penting untuk membolehkan seseorang memberi sumbangan yang bermakna dalam sesuatu bidang atau disiplin ilmu," katanya.

Zaini setakat ini menghasilkan lebih 200 artikel dalam journal antarabangsa, 20 harta intelek dan 22 buku serta lebih 1,000 artikel berkaitan alam sekitar.

Menurutnya, ekosistem itu akan membantu menghadapi pelbagai cabaran dan halangan termasuk dalam melaksanakan penyelidikan dan kajian.

Beliau yang merupakan pakar dalam kejuruteraan air, pengurusan bersepadu dan industri ekologi berkata, kajian dan penyelidikan itu mempunyai kumpulan sasaran kontraktor atau syarikat yang menaja sesuatu projek untuk menyelesaikan masalah mereka dalam sesuatu bidang.

"Tetapi ia memberi manfaat besar kepada pelajar dan penyelidik kerana mereka berpeluang menggunakan hasil projek tersebut dalam pengajaran dan pembelajaran maka ia secara tak langsung memberi wacana dan situasi sebenar yang akan meningkatkan mutu pengajaran.

"Pada masa yang sama ia memberi maklumat terkini untuk disampaikan kepada pelajar secara lebih berkesan kerana ia membabitkan wacana isu setempat yang sebenar.

"Selain itu, penyelidikan itu juga akan menghasilkan budaya ilmu yang inovatif dan kreatif. Dan ini akan menyumbang kepada mutu pembelajaran di universiti yang lebih selesa kerana ia bukan sekadar soal buku teks atau dewan kuliah tetapi mencipta satu budaya... misalnya kalau kita duduk sahaja di universiti maka kita rasa hendak belajar," jelasnya.

Bagaimanapun, cabaran dalam perkara itu ialah untuk memastikan hasil penyelidikan difahami sepenuhnya oleh pihak lain, maknanya bukan setakat difahami oleh penyelidik tetapi bagaimana hendak memahamkan pihak lain dengan mudah.

"Dalam bidang apa sekali pun, apa sahaja yang kita buat, kita kena buat betul-betul atau sebaik mungkin, kalau tidak jangan buat kerana ia hanya membuang masa. Kalau setakat untuk melepaskan batuk di tangga maka tak payah buat, sebaliknya kita perlu buat dengan betul-betul, minat dan komited." nasihat beliau kepada semua ahli akademik.

Yang kedua, katanya, dalam bidang alam sekitar yang paling penting ialah perubahan minda supaya pemikiran dapat dilestarikan bagi membolehkan pelbagai perkara diberi pembaharuan kerana bidang itu bukan setakat fizikal.

Kepada warga akademik, beliau menasihatkan agar golongan itu memperbanyakkan usaha untuk menghayati dan mengamalkan sesuatu perkara yang penting dalam sesuatu bidang berbanding dengan hanya sibuk bersuara atau memberi pandangan dalam hal-hal yang bersifat retorik.

Zaini yang juga Naib Presiden Persatuan Air Antarabangsa (2004-2005) dan Penolong Presiden Persatuan Air Malaysia (2007-2009) menasihatkan warga akademik agar perlu berjiwa besar dengan mampu mengikuti piawaian antarabangsa dan sanggup bersaing dalam arus antarabangsa dan elakkan diri daripada terlalu bersifat setempat hingga mengorbankan persaingan.

Menurutnya, ia turut membabitkan soal isu-isu budaya dan tradisi seperti dalam soal kenaikan pangkat di sesetengah institusi hingga mengorbankan kualiti.

"Masih lagi ada budaya hendak menjaga hati orang kerana senioriti hingga terpaksa melonggarkan syarat," katanya

0 comments: