Protes industri sarang burung

Protes industri sarang burung


MASYARAKAT Cina percaya sajian sup sarang burung mampu mencegah proses penuaan.
WAJARKAH industri sarang burung di Malaysia diteruskan?


BERIBU-RIBU 'motel' burung layang-layang telah dibuka di serata Malaysia. Semuanya gara-gara untuk mengumpan ribuan burung berkenaan untuk mendapatkan sarangnya. Bagi masyarakat Cina, masakan sup sarang burung dianggap sebagai sejenis makanan mewah.

Kawanan layang-layang memilih untuk menghuni di 'motel-motel' yang dibuka khusus untuk mereka. Namun, ketika perniagaan itu rancak berjalan, masalah kekotoran serta bunyi yang membingitkan telinga telah mencetuskan kemarahan dan suara-suara bantahan daripada masyarakat setempat.

Di tengah-tengah bandar Klang, Selangor, pemilik hotel Gold Course telah mengubah suai sebahagian daripada bangunan berbilang tingkat itu kepada sebuah 'motel' burung layang-layang. Bagi menarik minat burung-burung itu untuk membina sarang di dalam rumah konkrit tersebut, pelbagai bunyi kicauan burung dimainkan daripada corong pembesar suara.

Di lokasi berdekatan itu juga, beberapa pengusaha lain turut mengubah rumah-rumah kedai empat tingkat kepada tempat perlindungan burung. Ia sekali gus mewujudkan persaingan sesama mereka. Mereka yang bekerja atau menetap di kawasan berdekatan mula mengasingkan diri daripada kicauan dan najis-najis burung.

"Bunyinya sangat kuat dan membingitkan telinga. Malah, najis-najis burung itu mungkin membahayakan kesihatan kami," kata Abdul Hamid Abdullah, seorang penduduk tempatan kepada AFP, sambil melihat kawanan burung yang berterbangan keluar dan masuk dari bangunan-bangunan tersebut.


Mencegah proses penuaan.


Lelaki berusia 46 tahun itu menambah, burung-burung sepatutnya membina sarang di habitat semula jadi iaitu di dalam gua.

Industri pembiakan burung layang-layang di Malaysia telah bermula sekitar tahun 1980-an. Namun, ia mula mendapat momentum selepas krisis kewangan Asia yang berlaku pada 1997. Pada ketika itu, pihak pengusaha mula mengubah suai bahagian dalam bangunan-bangunan terbengkalai untuk dijadikan 'motel-motel' burung.

Para penggemar sajian sup yang popular di China, Hong Kong dan Taiwan percaya masakan itu mampu mencegah proses penuaan. Selain itu, sup sarang burung juga dikatakan dapat meningkatkan nafsu seks, mencegah penyakit paru-paru dan menaikkan seri wajah.

Setiap satu kilogram sarang yang berbentuk seakan-akan cawan boleh mencecah harga RM4,000. Margin keuntungan yang besar dan kekurangan kekangan undang-undang menyumbang kepada pembinaan lebih banyak 'ladang' burung layang-layang di kawasan berpopulasi tinggi secara haram.

Kenneth Khoo dari Persatuan Industri Kecil dan Sederhana di Pulau Pinang memberitahu AFP bahawa nilai perdagangan sarang-sarang burung mentah dianggarkan mencecah RM20 bilion di peringkat global.

"Penternakan burung layang-layang di Malaysia adalah satu industri yang kian berkembang. Permintaan yang diterima melebihi bekalan kerana terdapat semakin ramai orang Cina yang kaya," katanya sambil memberitahu sup sarang burung kekal sebagai 'hidangan pilihan' perniagaan makanan di China, Hong Kong dan Taiwan.


APAKAH nasib generasi baru burung layang-layang jika industri sarang burung terus berkembang pesat?


Menurut Khoo, Indonesia mengawal sehingga 70 peratus perniagaan tersebut di rantau ini dengan sarang-sarang burung diperoleh dari gua dan ladang penternakan. Malaysia dan negara Thailand pula muncul sebagai dua pengeluar utama sarang burung di rantau ini.

Dianggarkan terdapat sekurang-kurangnya 35,000 buah ladang penternakan burung layang-layang di Malaysia. Namun, hanya sekitar 4,500 pengusaha yang memiliki permit operasi yang sah dalam perniagaan bernilai RM800 juta sehingga RM1.2 bilion itu.

Kerancakan industri yang berkembang sehingga ke perairan barat dan timur Semenanjung Malaysia itu, bagaimanapun mendapat bantahan daripada orang ramai. Malah aktivis-aktivis haiwan turut mendesak aktiviti itu diharamkan sepenuhnya.

Terdapat juga dakwaan-dakwaan tentang kekejaman terhadap haiwan tersebut memandangkan para penternak dikatakan tanpa belas kasihan memusnahkan anak-anak burung serta telurnya. Tindakan itu dilakukan untuk mendapatkan sarang burung layang-layang ketika harganya melonjak tinggi.

Kumpulan pemuliharaan haiwan, Friends of The Earth turut mengutuk aktiviti perdagangan tersebut. Mereka menggesa kerajaan agar menutup semua ladang penternakan burung layang-layang yang kian meningkat berlipat kali ganda.

"Industri yang berkembang secara drastik itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai. Mereka risau tentang kesihatan dan bilangan 'hotel' burung yang muncul.

"Para pengutip sarang burung tidak sempat menunggu anak-anak burung itu membesar. Jadi, anak-anak burung itu akan dicampak ke lantai atau dibiarkan mati selepas sarangnya diambil," jelas Mohamad Idris, presiden kumpulan tersebut dari cawangan Malaysia.

Bimbangkan masalah yang timbul dalam aspek penternakan, selain 'kebajikan' burung layang-layang, pihaknya menggesa agar kerajaan mengharamkan semua aktiviti penternakan tersebut. - AFP

0 comments: