IT ambil alih gelanggang politik
Jamhariah Jaafar
“HARI ini aku berjumpa seorang pemimpin besar, ku salam dan ku genggam erat tangannya, ku tegur beliau, ku sapa, ku lihat jauh ke dalam matanya. Ku perhatikan tingkah laku dan bahasa badannya. Akhir kata, kesimpulan dari segala yang ku perhatikan dari tingkah laku dan anak matanya... tiada ‘kita’ dalam hatinya.”
Itu adalah luahan seorang anak muda di dalam laman Facebook yang kini antara sumber komunikasi utama pemerhati politik, selain blog yang pernah memberi kesan besar terhadap senario politik negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Catatan di atas membabitkan pertemuannya dengan seorang pemimpin politik yang disanjung dari jauh, tetapi apabila kesempatan bertemu - bayangan pemimpin besar yang tergambar di fikirannya, musnah dalam sekelip mata kerana keikhlasan yang dicari tidak ditemui di dalam diri pemimpin terbabit.
Bayangkan apabila ia dicatat di dalam Facebook atau Twitter, betapa maklum balas yang diterima dan kesannya ke atas diri pemimpin terbabit kerana tidak sukar untuk mencari siapa yang dimaksudkannya.
Saluran komunikasi alaf baru ini menghapuskan semua halangan dalam penyampaian maklumat, kerana setiap yang berlaku boleh diketahui dalam tempoh beberapa saat.
Isu kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Permatang Pasir, kelmarin, turut mendapat perhatian peminat Facebook dan perdebatan hangat lebih menjurus kepada punca kekalahan. Antara yang diperdebat bagaimana seseorang calon dipilih, siapa memilih, kenapa dia dipilih dan mengapa BN terus memilih calon yang ‘silap’.
Di kalangan pemerhati politik yang juga pemimpin kecil Umno, turut serta dalam perdebatan di Facebook kelmarin meluahkan kekecewaan mengapa Umno dan BN terus ‘dibenci’.
“Beratus ribu ahli Umno ‘senyap’ kini merasai satu jenis perasaan bahawa Umno untuk beberapa kerat orang saja di bahagian masing-masing. Beberapa kerat ini akan mengusung dan menghimpit beberapa kerat lain pada peringkat negeri dan persekutuan. Jika ramai ahli Umno berasa begitu, apa lagi majoriti rakyat yang selama ini berlindung di bawah payung Umno?
“Jiwa perjuangan dan iltizam politik kita macam layu dan tidak berkesan. Golongan oportunis dan bangsawan Umno masih lagi mendabik dada... rakyat geram,” kata seorang pemimpin peringkat bahagian Umno meluahkan rasa kesal terhadap perjuangan yang tidak lagi ikhlas.
Seorang pemimpin Pemuda Umno peringkat cawangan mencetuskan persoalan di mana ‘roh’ perjuangan dan kepemimpinan mengikut Nabi Muhammad SAW.
“Mungkin nak ikut banyak tu payahlah, tapi sekurang-kurangnya tunjuklah sedikit kasih sayang. Tapi hari ini, semua perkara ini tidak berlaku,” katanya.
Walaupun kedengaran naif dalam berdebat mengenai permainan politik hari ini, kekecewaan itu sebenarnya dikongsi rata-rata ahli Umno dan bangsa Melayu yang semakin insaf terhadap krisis yang dihadapi anak bangsa hari ini.
Cuma ada yang menegaskan: “Hakikatnya ialah ramai yang suka bercakap, ramai yang bertanya, ramai yang mengakui hakikat kelemahan dan kesilapan serta ramai yang membuat ‘brain-storming’ daripada pemimpin kecil hingga pemimpin peringkat tertinggi, tetapi apabila mengambil tindakan (mereka) melakukan kesilapan sama.
“Tidak ramai yang mahu membuat kerja pada peringkat bawahan, semua mahu menjadi pembuat keputusan dan berperangai ‘aku pemimpin, aku tahu apa yang hendak dilakukan’ - terjemahannya ‘jangan cuba mengajar aku’.”
Seorang sahabat tidak dapat lari daripada bersikap sinis terhadap keputusan pilihan raya kecil yang setakat ini hanya satu memihak kepada BN: “Daripada lapan pilihan raya kecil, BN hanya menang satu - itu pun di Sarawak. Semua pilihan raya kecil di Semenanjung Umno/BN tewas.
“Untuk sedapkan hati atau bodek pemimpin, kita kata kita tewas dengan majoriti tipis atau berkurangan,”
Nyata catatan dan perdebatan di Facebook atau Twitter sebenarnya sudah cukup kuat untuk dijadikan petunjuk bagi pemimpin politik menilai perasaan sebenar rakyat kepada kepemimpinan mereka dan parti politik yang diwakili.
Lihat saja khabar angin mengenai Ahli Parlimen Jelutong yang dikatakan pengsan dan koma malam kelmarin, berita itu tersebar begitu pantas. Dalam masa beberapa minit saja kebimbangan yang diluahkan seorang wartawan di Pulau Pinang, dijawab oleh mereka yang menghubungi sendiri Karpal.
Semakin ramai ahli politik turut menggunakan media baru ini untuk berkomunikasi secara langsung dengan rakyat. Antara pemimpin yang diketahui rajin mengemaskini catatan harian mereka ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Shabery Cheek; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir serta Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Slim, Datuk Khusairi Talib.
Malah, pemimpin seperti Mukhriz sudah mula meluangkan masa tertentu untuk berkomunikasi secara langsung dengan di Facebooknya dan ternyata, masa diberi tidak pernah mencukupi melayan semua pertanyaan yang dikemuka ‘sahabat-sahabatnya’.
Justeru, pemimpin politik perlu sedar betapa ‘berkuasanya’ saluran komunikasi seperti ini dan mereka tidak lagi mampu untuk bersikap angkuh, sombong dan tidak ikhlas ketika melayan rakyat, kerana hanya satu catatan dibuat di Facebook atau Twitter, ia boleh tersebar bagaikan virus... lebih parah daripada H1N1.
0 comments:
Post a Comment