BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
MCA perlu selesaikan segera kemelut dalaman parti itu demi kebaikan Barisan Nasional (BN) ekoran pemecatan timbalan presidennya, Datuk Dr. Chua Soi Lek kelmarin.
Ingatan itu dibuat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak kerana beliau tidak mahu melihat masalah dalaman parti itu akan memudaratkan BN.
MCA, menurut penganalisis politik memerlukan satu kestabilan yang jitu bagi mengembalikan keyakinan ahli-ahlinya dan BN.
Dengan masalah PKFZ yang masih menghantui pucuk pimpinannya, kemelut Soi Lek ini memburukkan lagi keadaan.
Para penganalisis melihat tindakan yang diambil ke atas Soi Lek itu tidak sesuai pada masanya. Namun, jika kita arif mengenai percaturan politik antara Soi Lek dan Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat, kita akan faham permainan yang sedang berlaku. Ia lebih merupakan politik peribadi melibatkan dua kumpulan itu.
Namun apa pun andaiannya, MCA harus melihat kenyataan Najib itu sebagai panduan ke arah kestabilan semua pihak.
Parti itu harus menggunakan platform pada perhimpunan agungnya Oktober ini sebagai medan untuk menyelesaikan kemelut mereka.
MCA harus memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13, mengatasi hal peribadi masing-masing.
Awang – Tak main politik.
0 comments:
Post a Comment