Pesta menuai ganjaran pahala Ramadan Oleh A. MOHD. RAHIMIN SIHAT PADA bulan suci Ramadan, inilah peluang kita untuk beribadat terbuka dengan seluas-

Pesta menuai ganjaran pahala Ramadan

Oleh A. MOHD. RAHIMIN SIHAT

PADA bulan suci Ramadan, inilah peluang kita untuk beribadat terbuka dengan seluas-luasnya. Misalnya dengan menghidupkan setiap malam dengan mengerjakan solat tarawih, bertadarus al-Quran, menjamu hidangan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka, melakukan kerja-kerja khidmat bakti masyarakat dan sebagainya.

Sekecil mana sekalipun amal yang kita lakukan pada bulan suci ini akan mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda daripada Allah SWT.

Bulan Ramadan adalah bulan yang sungguh luar biasa keistimewaannya berbanding dengan sebelas bulan yang lain. Apa tidaknya, dosa-dosa yang dilakukan akan mendapat keampunan dari Allah bagi hamba-Nya yang melakukan ibadah pada bulan tersebut dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas serta pengharapan.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Barang siapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala dari Allah maka diampunkan bagi-nya segala dosa yang telah lalu. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam bulan ini juga kita perlu memperbaharui dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melipat gandakan amal ibadat kepada Allah supaya hubungan kita dengan Allah bertambah teguh dan semakin halus pula perasaan kemanusiaan kita terhadap sesama insan, sehingga melahirkan amal kebaikan yang bermanfaat dalam suasana aman dan tenteram. Dengan sifat mulia yang ditunjukkan maka penghidupan sesama insan bertambah harmoni dalam suasana keselesaan dan saling rasa prihatin.

Allah SWT juga menetapkan ibadah puasa pada bulan Ramadan dengan matlamat untuk memupuk dan melahirkan sifat rahmah ke atas setiap insan. Sifat ini dapat diserapkan ke dalam hati apabila umat Islam yang sedang mengerjakan ibadah puasa bersama-sama merasakan keperitan dan kemelaratan orang lain dalam mengharungi perjuangan puasa dengan menahan diri daripada lapar dan dahaga serta melawan hawa nafsu.

Penzahiran sifat rahmat ini menjangkau jauh tanpa mengenal batasan bangsa, agama dan negara sebagaimana Allah SWT telah menunjukkan sifat rahmah terhadap hamba-hamba-Nya sama ada yang beriman atau yang tidak beriman.

Sifat rahmah ini sememangnya sukar untuk dizahirkan ke dalam diri manusia dengan mengambil kira sifat fitrah manusia yang lebih cenderung mementingkan diri sendiri.

Di dalam bulan Ramadan juga, Allah SWT telah menurunkan al-Quran kepada Rasulullah SAW sebagai rahmat bagi alam ini dan untuk menjadi pedoman hidup bagi manusia. Oleh itu, untuk mendapatkan keberkatan al-Quran janganlah kita setakat, bertadarus al-Quran atau sekadar membacanya semata-mata dengan tujuan mengkhatamnya.

Yang lebih penting adalah hendaknya kita dapat berinteraksi dengan al-Quran secara langsung, berusaha memahami maknanya dan menjadikannya sebagai panduan hidup sehingga ia menghidupkan minda, perasaan, kalbu, penghidupan, masyarakat dan negara.

Sebagai satu rahmat Allah SWT pada bulan Ramadan ini, usaha membangun sahsiah Muslim seutuhnya perlu dipraktikkan di sepanjang bulan Ramadan ini. Bahkan pelaksanaan ibadat puasa dan ibadat-ibadat lain pada sepuluh hari terakhir Ramadan perlu dipergiatkan dan diperbanyakkan.

Ini kerana tempoh tersebut merupakan kemuncak ibadat puasa sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW. Di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. daripada Saiyidatina Aishah r.a., sesungguhnya Nabi SAW adalah sangat giat mendekatkan diri kepada Allah SWT (beribadat) pada sepuluh hari terakhir Ramadan.

Tunggak ibadah pada bulan Ramadan ialah ibadah puasa iaitu menahan diri bukan sahaja dari makan dan minum bahkan dari segala perkara maksiat dan yang membatalkan pahala puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Dalam konteks ibadah puasa, kejayaan menempuh ujian perlu disertai dengan sifat sabar. Sifat sabar merupakan perkara asas dalam kehidupan kita seharian terutamanya sabar dalam menghadapi segala macam ujian hidup. Sifat sabar ini dapat menjadikan kita seorang Muslim yang tabah dan mempunyai jati diri dalam menghadapi ujian dan ranjau kehidupan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Zumar ayat 10, maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang bersabar akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.

Oleh itu hendaklah kita merebut peluang yang sangat berharga ini dengan beribadah yang disertai dengan rasa kesyukuran dan kegembiraan, ikhlas dan yakin terhadap kurniaan Allah yang tidak ternilai banyaknya. Sesungguhnya keistimewaan dan kelebihan berpuasa dalam bulan Ramadan tidak akan kita nikmati jika tidak dilakukan dengan sempurna dan penuh keikhlasan.

PENULIS ialah Penolong Pengurus Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

0 comments: