Minda Pengarang: Pergolakan dalaman beri kesan kepada keutuhan MCA, BN

Minda Pengarang: Pergolakan dalaman beri kesan kepada keutuhan MCA, BN

'PERANG’ antara Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Kiat dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, sudah sampai ke kemuncaknya. Awal pagi kelmarin, Tee Kiat mengumumkan bahawa Majlis Presiden menerima syor Jawatankuasa Disiplin parti memecat Dr Chua berhubung isu skandal seksnya. MCA kini bergolak semula. Walaupun, dalam reaksi pertamanya Dr Chua menerima keputusan itu dengan hati terbuka, namun beliau juga menyerahkan nasibnya kepada 1 juta ahli parti. Ini bermakna, beliau belum mengaku kalah kerana masih mahu menggunakan ‘talian hayat’. Daripada reaksinya, beliau tidak menunjukkan tanda-tanda untuk mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari yang diberikan untuk berbuat demikian. Hanya ahli MCA yang boleh menentukan sama ada tindakan memecat Dr Chua itu boleh diterima atau sebaliknya. Di kalangan masyarakat Cina, Dr Chua mempunyai kekuatan tersendiri hingga membolehkan beliau memenangi jawatan kedua tertinggi dalam pemilihan parti pada Oktober 2008. Disebabkan isu dalam MCA ini menjadi perhatian umum, sudah tentulah selepas ini Dr Chua akan mengatur langkahnya untuk bertindak balas. Apa pun yang akan dilakukan, ia perlulah berasaskan kepada peraturan dan undang-undang parti dan negara. Ini termasuk membawa isu itu ke perhimpunan agung tergempar parti. Apa yang membimbangkan ialah masa depan MCA kerana selepas ini akan wujud kelompok-kelompok dalam parti itu yang berusaha untuk menaik atau menjatuhkan pemimpin kedua-dua pihak. Apa juga tindakan yang akan diambil selepas ini, ia mempunyai implikasi politik yang akhirnya akan memberi kesan kepada MCA.

Pemecatan Dr Chua ini tidak banyak berbeza dengan kes beberapa Timbalan Presiden dari Umno, MCA dan MIC yang dipecat sebelum ini. Ahli dan penyokong parti terbahagi dua kelompok. Akhirnya, pergolakan dalaman memberi kesan kepada keutuhan MCA serta Barisan Nasional (BN).

Krisis yang berlaku dalam MCA ini tidak membantu BN, sebaliknya akan dilihat negatif oleh rakyat. Sudah tentunya, ketika BN berusaha mengembalikan kekuatan parti serta sokongan dan keyakinan rakyat, pergolakan terbaru MCA ini boleh menjejaskan misi berkenaan.

Tee Keat dan Dr Chua mesti menyelesaikan kekalutan dalam MCA secepat mungkin melalui apa cara sekali pun yang tidak menjejas parti dan hilangnya kepercayaan masyarakat Cina terhadap parti itu. Jangan habiskan tenaga dan masa untuk bercakaran sesama sendiri sehingga tanggungjawab kepada parti dan ahli terabai. Jika masing-masing memikirkan masa depan parti mengatasi kepentingan peribadi maka pulihkan segera MCA.

0 comments: