Kes dera pembantu rumah warga asing

Kes dera pembantu rumah warga asing

Oleh Dr.Firdaus Abdullah

HUKUMAN empat tahun lapan bulan penjara ke atas Hanni Seo, seorang pembantu rumah warga negara Indonesia yang diberitakan minggu lalu, mengingatkan saya kepada seorang pembantu rumah warga Indonesia yang lain bernama Nirmala Bonat.

Dan nama Nirmala sekali gus mengingatkan kita kepada bekas majikannya warga negara Malaysia, Yim Pek Hua. Tiap seorang daripada tiga individu itu – Hanni, Nirmala dan Pek Hua -- mempunyai episod atau kisah tersendiri yang ada kaitannya dengan isu atau permasalahan pembantu rumah warga asing di Malaysia.

Hanni Seo dijatuhkan hukuman kerana mengaku bersalah cuba hendak membunuh bekas majikannya, Phang Kian Huang di Air Itam, Pulau Pinang. Hukuman tersebut dianggap ringan setelah mahkamah mengambil maklum bahawa Hanni Seo bertindak kerana menghadapi pelbagai bentuk tekanan dan merasa dianiaya serta dizalimi oleh bekas majikannya itu. Dia bukan sahaja senantiasa dimarahi dan dikasari oleh bekas majikannya itu, tetapi juga tidak diberi gaji selama 20 bulan bekerja.

Cerita tentang Nirmala Bonat pula telah luas tersiar selama lebih kurang dua tahun dan telah mencetuskan tunjuk perasaan anti Malaysia di Indonesia. Malah Presiden Susilo Bambang Yudiyono sendiri turut memberi perhatian hingga merasa perlu bertemu Nirmala dalam salah satu lawatan presiden itu ke Malaysia.

Kes Nirmala Bonat ini dianggap sebagai satu kes penderaan dan kezaliman seorang majikan terhadap pekerjanya. Majikan tersebut, Pek Hua telah dijatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun atas tiga pertuduhan di bawah seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera parah dengan senjata.

Tetapi sewaktu perkara ini saya timbulkan dalam sidang Dewan Negara bulan Julai lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop memaklumkan bahawa hukuman ke atas Pek Hua masih belum dilaksanakan kerana dia mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Sekilas imbas mungkin ada yang beranggapan bahawa kes penderaan majikan ke atas pekerja atau keganasan pekerja terhadap majikan hanyalah satu kejadian jenayah biasa. Tetapi jika diteliti lebih mendalam akan ternyata bahawa banyak aspek lain yang terlibat.

Di samping dimensi kemanusiaan dengan segala ramifikasinya, isu jenayah dan penderaan yang melibatkan pembantu rumah warga asing di Malaysia, juga mempunyai dimensi diplomasi dan hubungan internasional serta dimensi keadilan dan pentadbiran undang-undang.

Ertinya, selain daripada berkemungkinan menjejaskan hubungan dengan negara asing, kes ini juga boleh menimbulkan krisis keyakinan terhadap tadbir urus negara dan sistem kehakiman kita.

Kerana itulah maka dalam sidang Dewan Negara bulan Julai yang lalu, saya telah mengemukakan serangkaian soalan mengenai kes-kes penderaan oleh majikan Malaysia ke atas pembantu rumah warga asing. Saya ingin tahu bilangan kes yang telah dikenal pasti dan yang telah dibicarakan. Juga saya tanyakan bilangan pesalah-pesalah yang telah dihukum, bentuk hukuman yang paling berat dan kes-kes yang menunggu perbicaraan.

Jawapan yang saya terima adalah seperti berikut: Dalam tahun 2006, sebanyak 45 kes telah dilaporkan dan sebanyak 43 kes dalam siasatan tetapi hanya dua kes yang sedang menunggu untuk dibicarakan.

Dalam tahun 2007, 45 kes dilaporkan dan 38 kes dalam siasatan dan satu kes menunggu perbicaraan. Dalam tahun 2008, 42 kes dilaporkan dan 41 kes dalam siasatan dan dua kes selesai dibicarakan. Dalam tahun 2009, tujuh kes dilaporkan, dan dua kes menunggu perbicaraan.

Saya berterima kasih dengan statistik yang diberikan sebagai menjawab soalan-soalan berkenaan. Tetapi saya sangat kecewa dengan hakikat yang terkandung di sebalik statistik tersebut. Statistik tersebut memperlihatkan bahawa daripada 135 kes yang dilaporkan dari tahun 2006 hingga pertengahan 2009, hanya 127 yang dalam siasatan. Tak tahu apa yang berlaku terhadap yang lapan lagi.

Tetapi yang lebih merunsingkan ialah kes-kes berkenaan “terlalu lama dalam siasatan” dan saya petik ungkapan Timbalan Menteri dalam Dewan Negara, siasatan itu adalah a continuing process.

Dan lebih mengecewakan lagi kerana kes yang sudah diputuskan ditangguhkan pula pelaksanaan hukumannya.

Kekecewaan saya itu turut dirasakan oleh seorang bekas menteri yang mengikuti laporan isu tersebut melalui akhbar dan televisyen.

“Saya cadang Saudara timbulkan terus isu ini dalam Dewan Negara atau saudara tulis lebih lanjut dalam akhbar,” kata bekas menteri tersebut yang ternyata merasa sangat prihatin terhadap isu itu.

Seperti saya, bekas menteri itu dapat kesan seakan-akan isu penderaan tersebut tidak diberi perhatian yang sewajarnya oleh pihak yang berkenaan. Saya kesal kerana seakan-akan ada yang tidak beres dengan sistem atau pentadbiran pengadilan kita.

Dan lebih dari sekadar kesal, saya bimbang jika keadaan yang sedemikian akan menjejaskan hubungan baik antara negara kita dengan negara asal pembantu-pembantu rumah yang teraniaya itu, terutama Indonesia.

Tentu ada yang bertanya: Sudahkah Nirmala Bonat mendapat keadilan?

DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH ialah Felo

Penyelidik Kanan (Pelawat) di Akademi

Pengajian Melayu, Universiti Malaya

0 comments: