Ilmu, khidmat lebih efektif pertahan kemerdekaan semua bidang
Dr Zaini Ujang
PENERIMA Anugerah Merdeka 2009 diumumkan 19 Ogos lalu. Pengumumannya memang tidak dinanti-nantikan seperti Hadiah Nobel atau senarai penerima bintang darjah kebesaran utama negara sempena Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong. Selain masih baru, penerima Anugerah Merdeka tahun lalu ketika mula diperkenalkan buat julung kali adalah di kalangan tokoh atau organisasi yang memang tersohor. Justeru, penerimaan Anugerah Merdeka dianggap ramai sebagai satu lagi pengiktirafan bagi mereka yang memang sudah dikenali menyumbang jasa dan bakti, selain deretan berjela bintang dan darjah kebesaran. Anugerah tahun ini ada perbezaannya sekurang-kurangnya kepada saya secara peribadi. Dua daripada empat penerima tahun ini adalah staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Malah Tun (Dr) Fatimah Hashim adalah bekas Pro-Canselor UTM dan penerima Ijazah Doktor Kehormat 2000. Sebagai seorang daripada penerima Anugerah Merdeka 2009, saya menerima ribuan ucapan tahniah. Saya mengucap terima kasih kepada semua dan maaf andai kata tidak sempat membalas ucapan itu. Selain itu saya juga dihujani pelbagai pertanyaan mengenai Anugerah Merdeka. Ada juga yang berminat untuk mengetahui impak sumbangan saya kepada negara dan dunia akademik. Pertanyaan itu bukan saja daripada rakan taulan, malah di kalangan tokoh pemimpin, sarjana dan wartawan. Bagi saya Anugerah Merdeka mempunyai dua kelainan berbanding hadiah dan anugerah lain. Pertama dari segi proses pencalonan dan keputusan dilakukan mengikut kaedah dilaksanakan jawatankuasa pemilih Hadiah Nobel. Kedua, pengiktirafan kepada tokoh yang mewakili lima bidang penting iaitu pendidikan dan komuniti; kesihatan, sains dan teknologi; akademik; alam sekitar dan sumbangan kepada Malaysia (bagi bukan warga Malaysia). Memang hadiah Anugerah Merdeka lumayan. Sebagai perbandingan, hadiah wang tunai untuk Sasterawan Negara ialah RM60,000 dan Tokoh Akademik Negara pula RM80,000. Selain lumayan, Anugerah Merdeka dirangka sedemikian rupa untuk menjadi anugerah negara paling prestij, diumumkan beberapa hari sebelum ulang tahun kemerdekaan negara. Merdeka dalam pengertian politik tidak terbatas kepada pembebasan kuasa penjajah saja. Merdeka juga bererti kebebasan dari segi pemikiran, keilmuan, sosial, ekonomi dan budaya. Sehubungan itu, dalam kemeriahan pelbagai pihak mengadakan sambutan kemerdekaan ke-52, kita juga perlu secara serius berfikir mengenai pelbagai persoalan pokok berkaitan erti kemerdekaan, pengisian dan perjuangan sebenar. Banyak cara kita boleh buktikan komitmen, jasa bakti dan pengorbanan untuk negara. Penguat kuasa undang-undang misalnya berkorban memastikan negara aman, adil dan stabil. Kakitangan sektor awam berbakti dengan berkhidmat lebih produktif memacu kemajuan dalam segala bidang. Sektor swasta pula memerdekakan negara menerusi kemajuan ekonomi. Biar apapun bentuk khidmat kita, peranan dan modus operandi pengisian kemerdekaan memerlukan rakyat berilmu, berakhlak mulia, bersatu, berprestasi tinggi, integriti, bijaksana, tabah, setia, inovatif dan menghargai masa. Menerusi ilmu dan inovasi, kita berupaya berkhidmat lebih efektif dan efisien mempertahankan kemerdekaan dalam semua bidang, termasuk pelestarian alam sekitar dan ekosistem intelektual. Anugerah Merdeka, jika difahami sebaiknya, adalah penanda aras sesuai untuk kita mengetahui bukan saja sumbangan dan ketokohan seseorang penerimanya. Malah, yang penting ialah ekosistem intelektual dan tahap inovasi sesebuah organisasi termasuk universiti sehingga membolehkan penerima dapat memberi tumpuan dan sepenuh komitmen menyumbang kecemerlangan dalam sesuatu bidang. Selamat Ulang Tahun ke-52 Malaysia! Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor UTM dan penerima Anugerah Merdeka 2009 (Pencapaian Ulung Akademik).
0 comments:
Post a Comment