Gerakan merevolusikan kualiti hidup penduduk tempatan telah melonjakkan nama calon-calon perwakilan pilihan raya gabenor di Solo, Jawa Tengah, Indonesia.
SOLO yang terletak di Jawa Tengah, Indonesia menyaksikan satu gerakan revolusi tersebar secara senyap sejajar dengan hasrat pemimpin tempatan yang ingin dicalonkan semula dalam kempen pilihan raya gabenor. Revolusi ini hanya akan berjaya sekiranya wakil yang mahu bertanding dalam pilihan raya itu menyedari dan mengambil serius permintaan dan keperluan penduduk.
Seorang bekas penjual perabot, Joko Widodo yang merupakan datuk bandar di bandar diraja ini sejak empat tahun lalu seperti beberapa rakan sedarjatnya berjaya menempah nama dalam kalangan masyarakat sebaik sahaja mengambil alih kawalan birokrasi, pemberian rasuah dan penyediaan infrastruktur di Solo. Aspek-aspek ini adalah antara penyebab mikro kepada kerakusan ekonomi di Asia Tenggara.
|
|
Beliau dan rakan-rakannya yang berada dalam kelompok usia 40-an dan 50-an menggunakan pengalaman dalam bidang perniagaan untuk menempah tiket kejayaan tersebut. Mereka dilihat sebagai antara calon pilihan raya yang layak untuk ditampilkan sekali gus memikul tanggungjawab yang lebih besar di peringkat negara. Mereka semua dipandang tinggi dan dipercayai mampu menyandang jawatan sebagai gabenor dan menteri pada masa akan datang kerana sikap 'boleh' yang ditunjukkan mereka berjaya menarik pelabur ke bumi Solo.
"Saya bukan seorang yang pandai akal fikiran tetapi saya lebih selesa bertanya terus kepada orang ramai dan meminta mereka meluahkan keperluan masing-masing. Apa yang anda mahu saya akan cuba sediakan," ujar Widodo, 48.
"Di bandar-bandar lain, mereka mempraktikkan pendekatan pengurusan dari atas ke bawah. Saya tidak mahu mengikut langkah itu. Saya lebih selesa dengan pendekatan dari bawah ke atas. Sesuatu perancangan dapat dilaksanakan dengan baik apabila wujud sebuah platform yang melibatkan penduduk setempat,"tambahnya.
Di seluruh Indonesia, pengundi menghukum wakil-wakil rakyat yang enggan mendengar rintihan mereka selama ini, tanpa mengira parti yang diwakili atau peruntukan kewangan bagi tujuan berkempen, kata pakar pemerhati pilihan raya Kevin Evans. Perubahan ini disaksikan di seluruh negara Indonesia yang menerima sistem pemerintahan demokrasi setelah Presiden Suharto yang memerintah secara keras di bawah pemerintahan autokratik sehingga tahun 1998 digulingkan.
"Ia sudah tentu satu corak yang berulang. Sejak konsep pengurusan berpusat dimansuhkan, sesebuah wilayah dan daerah diberi penarafan berdasarkan kepada sejauh mana ia berupaya menarik pelabur asing," katanya.
Widodo yang berjaya menjual perabot tempatan di luar negara sebelum bergelar datuk bandar, telah pun menerima ulasan yang positif, jelas Kevin O'Rourke, seorang pakar analisis risiko politik yang bertapak di Jakarta.
"Tidak hairan sekiranya beliau yang cukup disenangi ramai dan menerima banyak sokongan dilantik sebagai Gabenor Jawa Tengah pada satu hari nanti," ujar O'Rourke.
Di Solo, beliau dijangka menerima tanggungjawab memegang portfolio menteri pelancongan kerana pernah menganjurkan pameran kebudayaan, membina sebuah lapangan terbang baru dan melontarkan cadangan mewujudkan sebuah lebuh raya antara bandar. Sebuah majalah di Indonesia, Tempo telah meletakkan nama Widodo dalam senarai 10 pemimpin yang boleh dipercayai pada tahun 2008.
"Mereka berjaya mencipta suasana berinovasi dan cemerlang," jelas majalah Tempo sambil menambah, di sebalik beberapa pemimpin yang berjuang untuk penduduk sekitar, ada sesetengahnya menjanjikan seorang pemimpin yang berkaliber pada masa hadapan.
"Ada yang membina taman dan ruang tambahan bagi membaiki kualiti hidup yang dilalui penduduk atau mencari ciptaan atau rekaan terbaru dalam dunia pertanian. Selebihnya, mengurangkan sistem birokrasi yang terlalu ketat termasuk menghentikan pemberian rasuah dalam menawarkan perkhidmatan yang paling asas di negara ini," tambahnya.
Seorang ketua di kawasan Sragen di Solo, Untung Wiyono merapatkan perhubungan penduduknya menerusi perkhidmatan Internet. Ketua Luwu Timur di selatan Sulawesi, Andi Hatta Marakarma pula membina rumah dan jalan raya baru bagi membantu mengurangkan kos pengangkutan beras sebanyak dua pertiga.
Perubahan ini bukan hanya dipantau di kawasan bandar dan daerah yang melahirkan pemimpin bertauliah tetapi meliputi para gabenor yang ditempatkan di wilayah tertentu. Sementara itu, seorang gabenor di wilayah Gorontolo di utara Sulawesi, Fadel Muhammad dilabelkan sebagai antara calon yang paling berpotensi untuk layak bertanding dalam pilihan raya di wilayah tersebut. Itu semuanya kerana beliau berjaya menarik pelaburan asing dan menangani masalah kekurangan bekalan bahan api.
Rakan sejawat beliau di selatan Sumatera, Alex Noerdin, mengharumkan namanya ketika mewakili daerah Musi Banyu apabila beliau menggunakan duit royalti daripada komoditi tempatan untuk membayar kos membina sekolah dan hospital. Kedua-dua unit itu menyediakan kos pendidikan dan perubatan percuma. Sekarang sebagai seorang gabenor, beliau berjanji untuk memperkenalkan perkhidmatan yang sama di seluruh wilayah. - Reuters
0 comments:
Post a Comment