Memerangi cetak rompak

Memerangi cetak rompak

Serbuan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kementerian dalam membanteras masalah perisian cetak rompak di semua peringkat.


CAKERA padat yang dirampas dalam serbuan ini terdiri daripada sistem pengoperasian Microsoft yang dicetak rompak.


ISU cetak rompak perisian komputer seolah-olah sukar dibendung dan masih berleluasa sehingga hari ini. Banyak cara telah dilakukan untuk membanterasnya, namun segala usaha tidak menampakkan hasil yang memberangsangkan.

Justeru itu, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sentiasa mengadakan serbuan dari semasa ke semasa bagi mengesan dan menahan para peniaga degil yang menjual komputer baru tetapi menggunakan perisian cetak rompak di seluruh negara.

Terbaru, satu serbuan telah diadakan ke atas pengedar-pengedar barangan komputer di Pulau Pinang. Dalam tempoh beberapa bulan yang lalu, KPDNKK telah melakukan serbuan mengejut di pusat bandar raya Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Ipoh, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Kinabalu. Hasil daripadanya, perisian komputer cetak rompak dan komputer bernilai lebih daripada RM100,000 telah dirampas termasuk penahanan wakil pengedar yang tidak bertanggungjawab.

Pada pertengahan bulan lalu, empat buah komputer dirampas daripada sebuah kedai di Pulau Pinang kerana pemiliknya dipercayai menjual salinan perisian komputer Microsoft cetak rompak. Ketika pegawai-pegawai KPDNKK menyelongkar premis tersebut, turut ditemui adalah CD-Rom yang dipercayai digunakan untuk memuat turun perisian cetak rompak ke dalam komputer pelanggan.

Jumlah keseluruhan perisian palsu yang digunakan itu mencecah harga RM13,500 manakala RM5,000 lagi melibatkan perkakas komputer. Ketua Pengarah KPDNKK, Mohd. Roslan Mahayudin berkata, serbuan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kementerian dalam membanteras masalah perisian cetak rompak di semua peringkat.

"Melihat kepesatan pembangunan sektor teknologi maklumat dan pengaruhnya kepada pembangunan ekonomi negara, kami melipatgandakan usaha demi melihat aktiviti yang salah di sisi undang-undang ini dihentikan sama sekali," jelasnya.


ANTARA pekerja yang ditahan dalam rampasan DVD cetak rompak oleh anggota polis di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.


Beliau menambah: "Apabila pengedar terlibat memasukkan perisian komputer cetak rompak ke dalam komputer baru yang kemudiannya dijual kepada pelanggan, mereka secara tidak langsung akan mendedahkan pengguna tersebut kepada risiko yang tidak diketahui."

"Bukan sahaja perisian cetak rompak melanggar peraturan tetapi data penting dan keselamatan maklumat pengguna turut digadai secara membuta tuli. Pada masa yang sama, kami mengiktiraf dan menghargai pengedar tulen yang turut serta dalam memerangi kumpulan pengedar yang menipu pelanggan dengan menjual komputer 'murah' menggunakan perisian cetak rompak."

Kementerian itu juga mendedahkan bahawa cakera padat (CD) dan cakera keras yang dirampas dalam serbuan itu terdiri daripada sistem pengoperasian Microsoft yang dicetak rompak termasuk Windows 95 dan Windows Vista serta pelbagai versi program Microsoft Office yang lain.

Di bawah Akta Hak Cipta 1987, sesiapa yang didapati bersalah di mahkamah boleh dikenakan denda sebanyak RM2,000 sehingga RM20,000 bagi setiap kesalahan penyalinan perisian cetak rompak dan/atau dijatuhkan hukuman penjara sehingga lima tahun.

0 comments: