KETIKA kedudukan Islam dan syariatnya di negara ini diasak dan dikritik secara terbuka oleh bukan Islam, ramai tertanya-tanya kenapa tidak ada suara ulama yang tampil memberi penjelasan dan mempertahankannya.
Ketika ini segala yang berkaitan dengan Islam dilihat serba tidak kena. Hampir setiap hari ada sahaja laporan dan tulisan mengenai komen-komen pemimpin bukan Islam terhadap hal atau isu yang berkaitan dengan agama Islam.
Itu belum diambil kira kandungan dalam blog yang secara terbuka dan terang-terangan menghentam Islam. Tidak mungkin mereka yang bergelar atau menggelar diri sebagai ulama tidak sedar tentang perkara ini.
Tidak mungkin mereka tidak sedar mengenai tindakan Exco Selangor, Ronnie Liu yang bertindak memulangkan arak yang dirampas. Diikuti pula dengan kenyataan bahawa bir bukannya arak.
Sedangkan dalam Islam, apa juga minuman yang mengandungi alkohol walau setitik dan memabukkan adalah haram.
Lagi pula arak yang dirampas itu dijual di kawasan yang majoriti penduduknya berketurunan Melayu dan beragama Islam.
Namun tidak ada ulama yang tampil memberi penjelasan berkenaan isu itu apatah lagi mempertahankan tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Yang tampil ke depan mengkritik dan meminta tindakan dikenakan terhadap Liu hanya beberapa kerat sahaja termasuk Exco Selangor dari Pas, Datuk Dr. Hassan Ali. Itupun beliau tidak mendapat sokongan jitu daripada rakan-rakannya dalam Pas sendiri.
Belum selesai isu arak di Selangor, timbul pula kenyataan oleh seorang lagi wakil rakyat DAP berhubung dengan Islam.
Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, Jeff Ooi mengkritik pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM) dengan mengaitkannya sebagai ekstremis.
Kenyataan itu dibuat semata-mata kerana Ooi tidak berpuas hati dengan Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Mohd. Razali Abdullah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga ahli JIM.
Sama ada semua perbuatan dan kenyataan itu disengajakan atau dirancang bagi menguji kesabaran umat Islam di negara ini tidak siapa yang tahu.
Beberapa hari lalu muncul pula kenyataan dalam blog Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Loke Siew Fook yang mengkritik pendakwah Islam, umat Islam dan Islam.
Biar pun ia ditujukan kepada pendakwah Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah, namun komen-komen yang dibuat oleh pembaca blog itu jelas cukup keterlaluan dan menghina Islam sebagai agama rasmi negara ini.
Di sebalik segala serangan itu, golongan ulama dan tokoh agama di negara ini kelihatan hanya bersikap berdiam diri. Tidak ada kenyataan-kenyataan balas daripada mereka berhubung isu-isu yang dibangkitkan itu terutama berkaitan dengan arak di Selangor.
Ini bukan bermaksud mereka perlu tampil bersemuka atau bergaduh tetapi cukup sekadar memberi penjelasan atau mengeluarkan amaran supaya bukan Islam tidak sewenangwenangnya bercakap atau mencabar kedudukan Islam.
Teguran atau pandangan daripada golongan ulama sudah tentu dapat memberi sedikit tekanan kepada kumpulan yang dilihat sudah melebihi batas itu.
Mungkin golongan ulama di negara ini berdiam diri kerana berpegang kepada prinsip "sabar itu separuh daripada iman".
Atau mungkin ada juga yang melihat ia hanya sebagai serangan kepada kerajaan atau pemimpin Barisan Nasional (BN) dan bukan kepada Islam secara langsung.
Satu lagi kemungkinan ialah mereka tidak sedar atau tidak tahu akan kenyataan-kenyataan nista dan menghina Islam itu.
Sepatutnya inilah ketikanya untuk golongan itu ke depan menghadapi dan membetulkan tuduhan-tuduhan berniat jahat yang dilemparkan kepada Islam dan umat Islam di negara ini.
Sikap berdiam diri mereka seolah-olah menggambarkan apa segala tuduhan, tindakan dan kenyataan golongan bukan Islam itu betul dan umat Islam di negara ini berada di pihak yang salah.
Apakah usaha memartabatkan Islam seperti yang dilakukan di Selangor dan yang diperjuangkan oleh JIM itu salah?
Mereka bertindak daripada segi aspek Islam dan melibatkan penduduk yang beragama Islam sahaja.
Jadi campur tangan oleh pemimpin bukan Islam melalui kenyataan-kenyataan yang tidak sewajarnya tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja.
Tetapi apa yang dikesalkan, hanya seorang dua tokoh dan ulama sahaja yang berani tampil untuk bersuara mempertahankan Islam dalam isu ini.
Bayangkan jika isu yang dibangkitkan oleh Liu, Ooi dan Siew Fook itu berlaku di negara Islam lain. Sudah tentu para ulama secara berani akan bersemuka dengan mereka sekurang-kurangnya untuk membetulkan persepsi negatif terhadap Islam yang dilemparkan oleh golongan itu.
Tetapi ulama di negara ini lebih suka mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Ini bukan bermakna mereka diminta berkonfrantasi, tetapi berilah sedikit pandangan untuk mempertahankan Islam.
Lagi pula apabila ulama bersuara, ia tentu menimbulkan 'kegerunan' kepada pihak-pihak yang cuba memperkecil-kecilkan dan menghina kesucian Islam.
Atau sekurang-kurangnya apabila mereka bersuara, ia akan lebih memberi pemahaman kepada rakan-rakan bukan Islam.
Ini kerana apa yang berlaku mungkin disebabkan kedangkalan pengetahuan segelintir individu tertentu terhadap Islam walaupun setiap hari kehidupan mereka dikelilingi masyarakat Melayu dan Islam.
Kita tentu faham jika golongan ulama bersikap membisu sekiranya apa yang ditimbulkan lebih bersifat serangan politik. Tetapi apabila ia membabitkan akidah umat Islam seperti arak dan serangan ke atas pendakwah, tentu suara-suara daripada mereka yang arif dan golongan yang digelar pemimpin agama penting.
Suara ulama dalam masyarakat Islam sememangnya penting, lebih-lebih dalam keadaan dan ketika akidah dan syariat dicabar.
Jika perbezaan politik yang menjadi penghalang, sepatutnya ia diketepikan seketika. Ini bukan soal kena keluar ke jalan raya untuk berdemonstrasi atau berkonfrantasi. Tetapi cukup dengan menerang dan menjelaskan mengenai akidah serta syariat Islam kepada para pengkritik dan penghinanya.
Terangkan kepada mereka bagaimana Islam melarang sebarang bentuk kejian dan penghinaan terhadap agama lain. Sebaliknya ia mementingkan soal toleransi dan hormat menghormati antara satu sama lain tanpa mengira batas kaum dan agama.
Adakah apabila golongan ulama hanya berdiam diri bermakna mereka menganggap kenyataan-kenyataan menghina, mengherdik dan mencaci Islam itu tidak serius?
Atau ia tidak memerlukan campur tangan golongan ulama dan pemimpin agama? Atau takut untuk mengguris hati orang bukan Islam?
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia
0 comments:
Post a Comment