Minda Pengarang: Kerajaan perlu pantau blog hina agama elak jejas keharmonian kaum

Minda Pengarang: Kerajaan perlu pantau blog hina agama elak jejas keharmonian kaum

DALAM dunia serba canggih hari ini, laman web dan blog menjadi medan popular meluahkan pendapat. Ledakan teknologi mendorong sesiapa saja, daripada pemimpin dan profesional, hinggalah remaja dan kanak-kanak membuka laman web atau blog sendiri. Kebebasan dan keterbukaan dunia maya membolehkan mereka berkarya dan mengemukakan pendapat tanpa sekatan. Masyarakat pula bebas memilih dan menilai kandungan yang dimuatkan. Dalam ruang siber, hanya sikap bertanggung jawab menjadi dinding membezakan antara yang hak dengan yang batil, realiti dengan fantasi, fakta dengan pembohongan atau niat yang baik dengan yang buruk. Justeru, ketika majoriti menggunakan blog untuk tujuan baik, ada segelintir menyalahgunakannya untuk menjayakan agenda peribadi. Terbaru, kita dikejutkan dengan kecenderungan pihak tertentu menggunakan blog untuk menghina agama, khususnya Islam. Walaupun mungkin bukan perkara baru, perkembangan ini membimbangkan. Jika sebelum ini, perbuatan itu dilakukan mereka yang tidak dikenali identiti atau asal usulnya, kini ada di kalangan kita berani melakukannya secara terang-terangan. Lebih malang lagi, mereka ini pemimpin politik yang sepatutnya cukup matang untuk mengelak diri terjerumus ke kancah hina itu. Tidak cukup dengan menimbulkan isu sensitif seperti meniup api perkauman sebelum ini, mereka kini tanpa segan silu menghina Islam. Ada antara mereka yang berasa bangga melakukannya tetapi anehnya, selepas perbuatan keji itu diketahui umum, mereka pantas pula menafikannya dan bersikap 'baling batu, sembunyi tangan'.

Tindakan menggunakan blog untuk menghasut atau menghina agama sebenarnya satu fenomena amat bahaya. Ia boleh menyemai bibit kesangsian dan menimbulkan syak wasangka di kalangan pelbagai kaum di negara ini. Gejala itu perlu ditangani segera sebelum merebak dan tindakan tegas perlu diambil kepada mereka yang melakukannya. Ia tidak boleh dibiar berlarutan kerana dalam perkara membabitkan isu sensitif seperti perkauman dan kedaulatan agama, masyarakat mudah didorong emosi. Kita bimbang lebih banyak pihak akan turut terheret ke kancah itu sehingga keadaan menjadi semakin kusut. Budaya hasut-menghasut boleh berlarutan kepada hina-menghina dan seterusnya cabar-mencabar hingga menimbulkan kesan yang parah. Kita tidak mahu nanti selepas ada pihak menghina Islam kini, ada pula yang lain bangkit membalas dendam dengan melancarkan kempen serupa terhadap agama atau kaum lain. Ketika itu, mungkin semuanya sudah terlambat. Dalam pada kita menjulang prinsip kebebasan bersuara, kita tidak seharusnya bertolak ansur sedikit pun terhadap perbuatan menghasut dan menghina khususnya berkaitan kaum agama kerana ia berpotensi besar menggugat kestabilan negara. Pihak berkuasa seperti polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) harus bertindak tegas. Mereka yang bersalah perlu dibawa ke muka pengadilan dan dihukum mengikut lunas undang-undang. Pada masa sama, tumpuan harus diberi kepada usaha membanteras gejala itu hingga ke akar umbi. Ia mungkin didalangi pihak tertentu yang cuba memperalat platform seperti blog dan laman web untuk mengharu-birukan negara ini bagi membolehkan mereka mengambil kesempatan menjayakan agenda sendiri.

0 comments: