Oleh Teo Kok Seong
KEMAHIRAN menguasai bahasa Melayu di kalangan generasi muda pelbagai kaum boleh menjayakan konsep 1Malaysia. |
SEMINAR Bahasa Kebangsaan dan Masyarakat Cina yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka, baru-baru ini antara lain bertujuan mencari kaedah supaya masyarakat Cina dapat memperluaskan penggunaan bahasa Malaysia dalam kehidupan harian mereka. Bagaimanapun, ia juga mendedahkan mengenai satu lagi isu penting berkaitan bahasa Malaysia dalam masyarakat Cina iaitu tahap penguasaan yang amat rendah, khususnya dalam kalangan generasi muda. Dengan perkataan lain, generasi muda Cina didapati kurang atau tidak cekap menggunakan bahasa Melayu.
Walaupun ramai di antara mereka melalui sistem pendidikan nasional serta penghidupan ala-Malaysia sejak dilahirkan, penguasaan bahasa Malaysia mereka tidak pada tahap kecekapan yang sepatutnya. Malah, dalam hal ini, ada sebilangan belia Cina yang langsung tidak memahami bahasa Malaysia walaupun pada tahap daif iaitu dalam bentuk bahasa pasar. Oleh itu, mereka ini tidak boleh berbahasa kebangsaan langsung
Banyak persoalan dapat ditimbulkan daripada perilaku kebahasaan negatif ini, khususnya apabila seorang warga negara itu dikehendaki memiliki kefasihan yang baik, atau sekurang-kurangnya sederhana baik sifatnya, mengenai bahasa kebangsaan tanah air dan tanah tumpah darahnya.
Antara soalan penting ialah apa yang sudah terjadi dengan pelbagai sumber untuk penguasaan bahasa Malaysia oleh golongan bukan Melayu, baik yang bersifat pedagogi dalam sistem pendidikan nasional mahupun yang bersifat ekologi yang cukup agam di merata tempat di Malaysia. Sumber ini sudah tentu dapat memantapkan penguasaan bahasa kebangsaan mereka, baik di sekolah atau di luar lingkungan sekolah.
Penguasaan bahasa Malaysia yang amat rendah, yakni pada tahap bahasa pasar saja, pada kebanyakan kesnya hanya memungkinkan masyarakat Cina menggunakan bahasa kebangsaan untuk mengadakan perbualan asas dan tidak untuk menyampaikan konsep dan gagasan yang lebih kompleks selain menyatakan emosi, apabila berinteraksi dengan masyarakat Melayu selaku masyarakat induk di Malaysia, untuk tujuan integrasi atau tujuan lain.
Dengan kekangan begini yang membabitkan penguasaan hanya beberapa kosa kata asas serta cara penyampaian dalam bahasa Malaysia yang amat terhad, interaksi antara masyarakat Cina dengan masyarakat Melayu tidak mungkin dapat diadakan dengan berkesan, atau barangkali tidak wujud langsung dalam sesetengah kes.
Interaksi yang kurang berkesan atau tiada langsung ini, tidak dapat dinafikan mempunyai implikasi amat buruk kepada perpaduan antara kaum yang ingin dicapai, khususnya melalui penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan.
Dalam mempelajari bahasa Malaysia untuk tujuan penguasaan pada tahap yang lebih membanggakan selaku warga negara, masyarakat Cina perlu mengambil orientasi integratif. Antaranya untuk menjadi sebahagian penting daripada negara bangsa Malaysia dan bukan semata-mata atas orientasi instrumental yang menganggap bahasa kebangsaan sebagai satu subjek peperiksaan yang penting.
Dalam soal ini, masyarakat Cina perlu bertindak dalam cara yang lebih meyakinkan bahawa mereka sebenarnya mendukung kuat identiti nasional, melalui penganjuran penggunaan bahasa Malaysia selaku bahasa kebangsaan, walaupun pada masa yang sama, mereka sebenarnya amat kuat melindungi bahasa dan budaya Cina pada kadar yang amat pesat.
Penggunaan bahasa untuk membentuk negara bangsa, yakni melalui promosi bahasa kebangsaan, adalah sesuatu sangat lumrah dalam sejarah dunia, dan memang didapati boleh membawa implikasi yang positif. Dalam konteks ini, selepas Malaysia terbentuk, maka pengisian seterusnya, antara yang terpenting dari dimensi kebahasaan adalah untuk mewujudkan negara bangsa Malaysia daripada pelbagai keturunan, yang disatupadukan oleh sebuah bahasa sepunya, yang ikut berfungsi sebagai bahasa perpaduan.
Gagasan bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa kebangsaan, yang bertindak sebagai bahasa perpaduan, tidak boleh dipandang sepi oleh mana-mana pihak, lebih-lebih lagi dalam merealisasikan perpaduan kaum. Identiti nasional yang utuh, melalui penggunaan bahasa kebangsaan, sudah tentu yang baik mutunya, pasti adalah satu petanda yang baik untuk kemajuan Malaysia dari pelbagai dimensi. Antara yang terpenting ialah khazanah budaya yang tersimpul dengan kuat melalui satu ikatan dalam formula 'kebudayaan kebangsaan', yang menjadi amalan setiap warga negaranya.
Sehubungan ini, masyarakat, baik Melayu atau bukan Melayu perlu menganggap bahasa kebangsaan lebih daripada sebuah lingua franca, iaitu bahasa yang digunakan secara rutin, sering kali dalam bentuk bahasa pasar/jelek, oleh mereka yang memiliki bahasa yang tidak sama, apabila berurusan antara satu sama lain.
Bahasa Malaysia selaku bahasa kebangsaan perlu dituturkan pada tahap yang jauh lebih tinggi daripada lingua franca. Bahasa Malaysia bahasa utama dan perlu digunakan dengan baik dan betul pada setiap masa, oleh semua pihak, antaranya untuk memberi maruah yang luhur kepadanya, sepadan dengan status kudus sebagai bahasa kebangsaan.
Dalam konteks ini, masyarakat Cina, khususnya generasi muda perlu mempertingkatkan penguasaan mereka agar bahasa Malaysia yang digunakan tidak lagi boleh sekali-kali mengaitkan mereka dengan generasi nenek moyang mereka sebagai pendatang. Imej dan label pendatang yang rata-ratanya amat tidak disenangi oleh masyarakat Cina kini, lebih-lebih lagi generasi muda, perlu dikikis mereka sendiri. Antaranya, melalui penguasaan bahasa kebangsaan yang tidak lagi memperlihat pengaruh bahasa ibunda yang terlalu kuat, dari pelbagai segi: sebutan, intonasi, campuran nahu dan lain-lain.
Dalam hal bahasa kebangsaan ini, masyarakat Cina perlu menonjolkan identiti nasional yang lebih menyeluruh sifatnya. Ini antaranya dapat dilakukan melalui penguasaan bahasa Malaysia selaku bahasa kebangsaan yang baik atau tinggi mutunya. Penguasaan begini sudah tentu antara syarat penting untuk mewujudkan komunikasi/interaksi Cina-Melayu yang lebih berkesan, dalam konteks perpaduan kaum.
Yang lebih penting lagi sehubungan ini ialah penguasaan yang baik dan tinggi mutunya ini adalah satu aspek penting dalam nilai nasional Malaysia yang perlu dipertingkatkan oleh masyarakat Cina.
Bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan adalah bahasa yang mewakili selain kepunyaan setiap warga negaranya. Adalah aneh jika masih ada walaupun seorang warga Malaysia dalam kalangan muda yang tidak boleh berbahasa Malaysia atau kebangsaan langsung, dan masih ramai, lebih-lebih lagi generasi muda yang tidak menguasainya dengan baik, selepas lebih setengah abad negara bangsa Malaysia dibina.
Marilah kita atasi masalah ini melalui nasionalisme 1Malaysia!. Bahasa kebangsaan adalah bahasa perpaduan, dan penguasaannya yang baik mutunya boleh mempertingkat komunikasi dan interaksi antara kaum. Ini pula sudah tentu dapat memperkukuhkan perpaduan yang amat penting kepada pembangunan negara.
Oleh Prof Dr Teo Kok Seong adalah Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
0 comments:
Post a Comment