Kuarantin, pencegahan selesema babi tiada kesan

Kuarantin, pencegahan selesema babi tiada kesan

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

KES pertama influenza A (H1N1) atau selesema babi yang disahkan melalui ujian makmal di negara ini ialah pada 15 Mei lalu. Sehingga semalam, angka kematian yang dicatat kerana H1N1 ialah 38 orang. Kenyataan Kementerian Kesihatan pula menyebut angka rasmi mereka yang mendapat rawatan kerana disahkan positif wabak itu ialah 2,253 orang. Kini, jumlah mangsa H1N1 terus menunjukkan peningkatan hingga Datuk Seri Najib Razak menganggapnya sebagai satu ancaman kepada negara. Beliau mahu 'pendidikan awam' dilaksanakan melalui kempen secara besar-besaran.

Hakikatnya, jangkitan H1N1 sudah menjadi wabak atau pandemik tempatan yang mesti ditangani secara efektif. Kategori golongan berisiko tinggi yang mudah dijangkiti H1N1 termasuk wanita hamil, pesakit jantung, pesakit paru-paru kronik, pesakit asma, pesakit kencing manis, obesiti dan mereka yang mempunyai tahap imuniti yang rendah. Peningkatan angka kematian wabak H1N1 memang mencemaskan dan rakyat diminta tidak panik. Menurut Menteri Kesihatan lebih 98 peratus kes jangkitan H1N1 berjaya disembuhkan. Kebanyakan mereka yang mati adalah kes yang mempunyai faktor risiko.

Dalam satu taklimat tertutup isu semasa di Angkasapuri beberapa minggu lalu, Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Datuk Hassan Abdul Rahman memaklumkan, penularan tempatan wabak H1N1 masih pada peringkat awal pandemik. Katanya, tiada strategi khusus yang komprehensif membendungnya. Setakat ini belum ada vaksin yang ditemui untuk menentang penyakit itu.

Apa yang penting ialah langkah pencegahan H1N1 yang berterusan dan efektif akan dapat membantu memperlahankan dan seterusnya membendung penularan wabak terbabit. Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan sejak awal lagi sudah mengambil langkah perlu bagi memantau rapi ancaman H1N1. Langkah terbaru kementerian terbabit ialah menambah simpanan antiviral daripada 10 peratus kepada 20 peratus. Sebelum ini kementerian terbabit sudah memaklumkan akan membekalkan antiviral Tamiflu di semua klinik kerajaan yang mempunyai pegawai perubatan.

Selain itu, 22 hospital swasta dijadikan pusat saringan awal dengan dibekalkan antiviral Tamiflu. Klinik swasta juga dibenarkan membeli Tamiflu daripada farmasi. Kerajaan juga akan menyediakan kelengkapan makmal perubatan untuk merawat pesakit selesema babi di semua hospital. Pihak hospital akan menyaring dengan teliti mereka yang datang untuk mendapatkan ujian H1N1. Mereka yang mempunyai simpton jangkitan, terutama golongan yang berisiko tinggi akan dirawat dan diberi perhatian sepenuhnya, termasuk memberi suntikan antivirus.

Kementerian Kesihatan juga bertanggungjawab mengeluarkan perintah kuarantin kepada golongan berisiko. Kementerian terbabit juga dari semasa ke semasa melaksanakan arahan dan perintah kuarantin di semua sektor seperti institusi pendidikan, sekolah, kolej dan universiti. Kementerian Pelajaran sudah mengeluarkan arahan kepada sektor sekolah supaya mengambil suhu badan murid setiap pagi dan memastikan murid yang deman dengan suhu melebihi 38 Celsius dibawa ke hospital atau klinik. Untuk tujuan itu kementerian itu akan membekalkan jangka suhu dan topeng muka kepada semua sekolah.

Selain mengambil langkah mengesan suhu badan melalui alat pengimbas di pintu masuk utama negara seperti di lapangan terbang, Kementerian Kesihatan juga akan menyaring suhu badan orang ramai di majlis terbuka juga akan dilakukan di mana perlu. Apa yang penting ialah kementerian terbabit harus memastikan ia mempunyai kemudahan yang mencukupi untuk melaksanakan segala langkah pencegahan yang wajar.

Kejayaan mengawal wabak H1N1 tidak akan berkesan tanpa tanggungjawab bersama orang ramai. Sikap menyerahkannya bulat-bulat kepada kerajaan tidak banyak membantu usaha memperlahan dan membendung wabak terbabit. Justeru, orang ramai harus memahami beberapa perkara berkaitan H1N1 merangkumi cara penularan virus, simptom penyakit, cara mengawal diri dan langkah pencegahan. Dalam konteks ini, kita seharusnya mengamalkan tiga prinsip perubatan seperti yang disarankan Ibnul Qayyim, seorang ulama Islam tersohor.

Tiga prinsip itu ialah sentiasa menjaga kesihatan, melindungi diri daripada perkara yang mengundang penyakit dan membuang bahan merosak kesihatan. Untuk mengamalkan prinsip terbabit maka rakyat perlu mengambil langkah pencegahan secara tuntas supaya risiko penularan wabak H1N1 dapat dikurangkan. Bagaimana kita boleh mengamalkan ketiga-tiga prinsip terbabit? Untuk prinsip pertama iaitu menjaga kesihatan maka orang ramai hendaklah sentiasa menjaga kebersihan diri termasuk kerap membasuh tangan, menutup mulut dengan tisu ketika batuk dan bersin.

Orang ramai hendaklah membiasakan memakai penutup hidung terutama ketika berada di luar. Mereka yang didapati mempunyai simptom jangkitan mestilah segera mendapatkan rawatan kerana kelewatan mendapatkan rawatan boleh mengundang kematian terutama mereka yang berisiko tinggi. Bagi prinsip kedua iaitu melindungi diri dari elemen yang mengundang penyakit termasuklah menghindari majlis keramaian dan perjumpaan di tempat awam.

Langkah ini penting kerana virus H1N1 mudah tersebar menerusi udara menyebabkan penularan terhadap virus adalah tinggi, terutama di tempat yang sesak dengan manusia. Bagi pesakit yang dikuarantin di rumah hendaklah mengelakkan diri berhubung rapat dengan ahli keluarga.

Penulis ialah Ketua Unit Komunikasi Media di Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan

0 comments: