NAM komited tangani isu pengganas, kewangan global

NAM komited tangani isu pengganas, kewangan global
Oleh Azizi Othman
rencanabh@bharian.com.my

BELUM pun 24 jam Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-15 di destinasi peranginan pinggir Laut Merah ini berakhir dengan deklarasi menolak keganasan sejagat, dunia dikejutkan dengan serangan pengganas di dua hotel mewah di Jakarta.

Ketika krisis ekonomi sejagat baru mula menunjukkan tanda pemulihan, insiden terbaru serangan itu pasti kembali menghumban persekitaran antarabangsa dalam ketidaktentuan.

Jika kelmarin kalangan pemimpin dan delegasi daripada 118 negara anggota NAM yang bermesyuarat di sini berpuas hati kerana usaha mereka menolak keganasan mendapat tempat teratas dalam Deklarasi Sharm El-Sheikh, berita terbaru dari Jakarta itu yang diterima ketika mereka masih dalam penerbangan pulang ke tanah air masing-masing, mengundang persoalan terhadap susah payah mereka selama dua hari ketika bermesyuarat itu.

Dalam deklarasi itu, ketua negara dan kerajaan NAM menyatakan ikrar untuk menentang sebarang bentuk keganasan. Mereka juga memperkukuh komitmen masing-masing untuk berusaha membanteras apa juga bentuk keganasan di mana saja tanpa mengira sesiapa.

Mereka juga menetapkan sebarang usaha dan hukuman ke arah itu akan sentiasa dibuat bersandarkan peruntukan hak asasi manusia, undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Keganasan tidak harus dikaitkan dengan agama, kerakyatan, tamadun atau etnik. Dengan mengambil kira pendirian dan pendapat semua negara anggota, NAM menggesa masyarakat antarabangsa meningkatkan usaha merangka langkah bersama menangani sebarang bentuk keganasan di seluruh dunia," tegas pemimpin pergerakan itu dalam deklarasi yang dikeluarkan sebaik sidang kemuncak berakhir, Jumaat lalu.

NAM juga meminta supaya usaha menyediakan Draf Konvensyen Menyeluruh Bagi Menangani Keganasan Antarabangsa disegerakan manakala proses memperkukuh pelaksanaan Strategi Membanteras Keganasan Antarabangsa PBB (UNGCTS) dilaksanakan serta-merta. Mereka juga menggesa satu persidangan antarabangsa mengenai keganasan diadakan di bawah naungan PBB.

Pada sidang kemuncak dua hari bertema "Kesepakatan Antarabangsa bagi Pembangunan dan Keamanan" itu, pemimpin NAM menumpukan perbincangan terhadap isu berkaitan keganasan dan aspek sampingan seperti krisis kewangan global, perubahan iklim, jaminan makanan dan tenaga serta nuklear. Tidak terkecuali ialah krisis Israel-Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak kali ini � yang julung-julung kalinya bagi beliau, menyatakan pendirian tegas Kuala Lumpur terhadap pentingnya NAM menerajui usaha mengembalikan hak rakyat Palestin yang dirampas rejim Yahudi. Malah, Perdana Menteri yang diberi penghormatan berucap sebagai wakil Asia pada penutup sidang, turut diberi mandat menyuarakan pendirian rantau itu yang menyokong semua usaha ke arah menyelesaikan konflik terbabit.

Ketegasan Kuala Lumpur memperjuangkan isu itu membolehkan Deklarasi Sharm El-Sheikh menyebut secara khusus mengenai perlunya usaha ke arah merealisasikan proses damai Asia Barat. "Pemimpin NAM meminta semua kuasa antarabangsa menumpukan usaha ke arah membentuk perdamaian antara Israel-Palestin menerusi penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat. Israel juga perlu menamatkan sebarang sekatan terhadap Gaza," kata deklarasi berkenaan.

Cadangan Malaysia supaya dunia memberi tekanan kepada rejim Zionis agar menghentikan keganasan terhadap penduduk Gaza dan pembinaan penempatan di Tebing Barat turut mendapat sambutan positif NAM. Rata-rata pemimpin, malah Presiden Mesir, Hosni Mubarak sebagai tuan rumah sidang kemuncak kali ini bersetuju kuasa utama dunia perlu lebih proaktif dan komited dalam mengakhiri krisis Israel-Palestin.

Satu lagi suara lantang Najib, iaitu dalam usaha menggesa masyarakat antarabangsa khususnya anggota NAM terbabit secara aktif mencari jalan keluar daripada krisis ekonomi, turut mendapat tempat dalam deklarasi. Ia jelas apabila NAM mengisytiharkan ia sependapat dengan China dan negara Kumpulan 77 (G-77) yang mendesak masyarakat antarabangsa merombak semula tata cara kerangka kewangan dunia bagi memastikannya lebih saksama.

Sejajar saranan beliau sebelum ini, NAM kali ini memperakui bahawa dunia perlu membuat reformasi kepada asas ekonomi antarabangsa, sistem kewangan dan tatacara pengurusannya bagi mengatasi pelbagai kelemahan yang terbongkar berikutan krisis sejagat yang dihadapi kini. Najib turut mencadangkan supaya sistem kewangan Islam dipilih sebagai alternatif kepada yang sedia ada kerana sifatnya berteraskan aset, meminimumkan risiko spekulasi atau manipulasi.

Atas pertimbangan itulah sebenarnya usaha yang dilakukan NAM harus disandarkan. Dengan keanggotaan mencakupi seluruh rantau, ia mampu berperanan lebih ketara dalam percaturan semasa, tidak mengira sama ada dalam isu ekonomi atau keganasan. Mungkin tragedi serangan pengganas di Jakarta itu bukan petanda kelemahan NAM sebaliknya ia adalah isyarat supaya seluruh anggotanya lebih komited terhadap forum itu demi manfaat dunia pada masa depan.

0 comments: