Minda Pengarang: Tingkat pantauan elak negara jadi pintu masuk militan

Minda Pengarang: Tingkat pantauan elak negara jadi pintu masuk militan

SELEPAS empat tahun menyepikan diri, kumpulan militan kembali melakukan pengeboman membabitkan dua hotel ternama, JW Marriott dan Ritz-Carlton di Jakarta, Jumaat lalu, yang mengorbankan sembilan nyawa dan mencederakan 55 yang lain. Pihak berkuasa Indonesia mendakwa kumpulan Jemaah Islamiah (JI) bertanggungjawab dalam serangan itu. Militan warga Malaysia, Noordin Mat Top juga dinamakan sebagai dalang utama serangan berkenaan. Kita sedih dengan kejadian itu yang ternyata cukup menyulitkan Kerajaan Indonesia untuk mengembalikan keyakinan antarabangsa selepas lima siri serangan di negara itu di antara tahun 2002 sehingga 2005, termasuk kejadian pagi Jumaat lalu. Serangan bom di Bali pada 2002 mengorbankan 202 pelancong; serangan terhadap Hotel JW Marriott, Jakarta pada 2003 dan pengeboman Kedutaan Australia pada 2004 mengakibatkan 21 kematian serta serangan berulang di Bali pada 2005 yang mengorbankan 20 nyawa. Serangan terbaru itu, bukan saja meranapkan harapan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang dipilih semula sebagai Presiden pada pilihan raya minggu lalu, malah meletakkan negara itu dalam kesukaran terutama ketika kemelut ekonomi global masih mencengkam. Ketika sebahagian pelancong asing mula melupai peristiwa pengeboman di Bali pada 2002 yang mengorbankan lebih 200 pelancong dan siri serangan lain di Jakarta yang meragut ramai nyawa, kejadian terbaru cukup memeranjatkan. Kejadian itu menyebabkan pelancong kembali takut untuk berkunjung, malah keengganan pasukan bola sepak, Manchester United untuk ke Indonesia bagi perlawanan persahabatan dengan pasukan Indonesia, Rabu ini, adalah kesan terbaru kebimbangan berkenaan.

Pihak berkuasa Indonesia mendapat dana kewangan, kepakaran dan teknologi perisikan daripada Amerika Syarikat dan Australia selain kerjasama pertukaran maklumat dengan negara jiran termasuk Malaysia bagi menangani ancaman JI. Kumpulan yang ditubuhkan pada 1993 itu bermatlamat mendaulatkan negara Islam dari Selatan Thailand, Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei hingga Selatan Filipina. Sejak serangan terakhir pada 2005 di Bali, polis Indonesia dengan bantuan risikan antarabangsa, menahan ramai pemimpin tertinggi JI termasuk ketuanya, Zarkasih dan komander militia Abu Dujana pada 2007, manakala rakan karib Nordin, Dr Azahari Hussin, ditembak mati ketika serbuan. Namun, serangan terbaru ini menunjukkan pengaruh JI yang dikaitkan dengan kumpulan al-Qaeda, masih kuat dan memberi ancaman kepada keselamatan rantau ini.

Dalam pada itu, kita berharap pihak berkuasa Malaysia mempertingkatkan kawalan keselamatan dan risikan bagi memastikan negara ini bebas daripada pengaruh kumpulan militan berkenaan. Anggota JI yang terlepas dari penjara Singapura, Mas Selamat yang kemudian bersembunyi serta mendapat perlindungan di Johor Bahru sebelum ditahan polis menunjukkan pintu sempadan negara masih boleh dibolosi militan.

Sehubungan itu, langkah meningkatkan perisikan dan pemantauan perlu dilakukan bagi memastikan anggota militan tidak menjadikan negara kita sebagai tempat persembunyian atau pangkalan melancarkan operasi keganasan terhadap negara lain.

0 comments: