Antara apresiasi dan poster filem

Antara apresiasi dan poster filem

Oleh Ku Seman Ku Hussain

FILEM adalah sebuah karya yang teradun secara berseni antara pengalaman, pemikiran dan pengaruh dari luar diri karyawannya. Sama ada penulis lakon layar atau pengarah.

Filem adalah karya yang dalamnya teradun pelbagai seni: lukisan, lakonan, kesusasteraan dan muzik. Maka filem tidak boleh sewenang-wenang hanya diukur berdasarkan kelarisan jualan tiket dan melupakan seni menggarap dan mengadun semua cabang yang disebutkan tadi.

Kalau mengikut teori Auteur yang dicetuskan oleh pengkritik filem Andre Bazin, kesatuan cabang seni ini adalah tanggungjawab pengarah yang bertindak sebagai pengarang kepada filem yang ditanganinya. Teori yang diperhebatkan menerusi majalah filem Cashiers Du Cinema sekitar tahun 1950-an di Perancis itu tetap relevan hingga kini.

Maka untuk berlaku adil kepada filem dan orang yang menggarapnya, filem perlu “dibaca” dan tidak sekadar melihat lapisan di permukaan. Filem adalah makna yang berlapis-lapis dan kebijaksanaan pengarah faktor utama menjadi filem terbaik yakni tidak sekadar kulit tetapi isi. Untuk ‘membaca’ filem, apresiasi terhadap seni filem mesti dipertingkatkan. Media perlu turut memainkan peranan seperti yang dilakukan oleh Andre Bazin.

Dalam konteks kita di mana letaknya apresiasi filem dalam pembangunan industri hari ini? Apresiasi adalah alat untuk mempertingkatkan kefahaman khalayak terhadap filem sekali gus menjadikan mereka boleh ‘membaca’ filem. Penulisan apresiasi tentang filem membantu karyawan menyampaikan pemikiran yang dituangkan dalam karya filemnya.

Filem perlu dikupas, dianalisis atau apa saja yang membawa maksud menyelongkar pemikiran karyawan di dalam filem. Usaha ini satu keperluan, bukan sekadar menyibuk. Berkarya dalam apa bidang sekalipun adalah proses yang tidak pernah berakhir. Di sinilah sumbangan mereka yang membuat apresiasi supaya filem yang kelam dan kabur dicerahkan dengan kupasan daripada sudut yang pelbagai.

Filem mempunyai bahasa dan nahunya sendiri. Ahli teori filem Bela Balazs dalam bukunya yang cukup terkenal, Theory of the Film, dia membincangkan tentang nahu filem. Terbuktilah filem memerlukan pencerahan untuk sampai kepada khalayak biasa. Pencerahan itu adalah apresiasi oleh mereka yang mampu “membaca” filem. Mereka ini boleh dipanggil pengkritik atau apa sahaja, yang penting kerja mereka perlu diberi perhatian.

Festival filem di negara ini sudah lama memadamkan kategori pengkritik filem. Anugerah ini dimulakan dengan inisiatif Persatuan Wartawan Filem Malaysia pimpinan Mustaffa AR tahun 1986. Hayatnya hanya beberapa tahun sahaja kerana penganjur festival filem lebih berminat mewujudkan kategori poster terbaik berbanding Pengkritik Filem. Dalam lain perkataan, poster lebih besar sumbangannya daripada kerja-kerja apresiasi filem. Keadaan ini memperlihatkan apresiasi filem tidak dianggap sebagai penyumbang kepada kemajuan industri filem negara ini.

Saya tidak pasti adakah festival filem yang akan berlangsung di Kota Kinabalu Ogos depan memasukkan kembali kategori pengkritik filem atau apresiasi filem. Sebenarnya mereka yang menghasilkan apresiasi filem tidak memerlukan anugerah atau hadiah. Tetapi industri filem memerlukan apresiasi filem kalau kita berhasrat mengubah tahap apresiasi filem kalangan masyarakat. Kalau tidak, biarlah di tahap sekarang supaya penonton tidak cerewet menelan filem-filem yang buruk.

0 comments: