Homestay 1Malaysia

Homestay 1Malaysia
Oleh Wan Kemat
rencanabh@bharian.com.my

SHAFIK Fauzan (kiri), Devamany (tengah) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kerdau, Zaharuddin Abu Kasim (kanan) pada majlis pelancaran Projek Muhibah Integrasi Desa, Homestay 1Malaysia di Kampung Desa Murni, Kerdau, baru-baru ini.

Konsep baru galak penduduk tempatan melancong dalam negeri

SERAMAI 3,150 pengusaha homestay di negara ini boleh 'tersenyum' apabila Persatuan Homestay Malaysia memperkenalkan konsep 'Homestay Satu Malaysia' dalam usahanya mengembangkan kegiatan pelancongan yang semakin lesu akibat fenomena Influenza A (HINI) serta kegawatan ekonomi global.

Sejak fenomena itu sebanyak tiga program kedatangan pelancong yang bakal menginap di beberapa homestay dibatalkan membabitkan kerugian pendapatan berjumlah hampir RM30 juta.

Antara program yang dibatalkan ialah kedatangan pelajar dari 36 sekolah di Korea membabitkan pendapatan hampir RM9 juta, program lawatan pelajar dari 22 sekolah Amerika Syarikat membabitkan pendapatan hampir RM6 juta dan kunjungan 7460 pelancong Jepun dengan jumlah pendapatan hampir RM 21 juta

Namun, pengusaha homestay berpendapat wabak yang berlaku ada hikmahnya kerana dengan ketiadaan kedatangan pelancong sekali gus dapat membendung merebaknya penyakit berjangkit itu.

Untuk memastikan mereka tidak gulung tikar atau menanggung bebanan hutang pelbagai pendekatan baru perniagaan homestay dirancang selaras dengan perkembangan ekonomi masyarakat tempatan.
SEBAHAGIAN peserta program anak angkat kaum India bersama keluarga angkat sempena projek Homestay 1Malaysia.

Menyedari hakikat itu, PHM merangka kegiatan homestay 1Malaysia dengan harapan sektor pelancongan terus berkembang dan pengusaha homestay tidak hilang pendapatan tambahan.

Untuk merealisasikan konsep itu, seramai 86 pengusaha Homestay Desa Murni Kerdau menjadi perintis menerima 160 pelancong India dari Sungai Siput, Perak mengikuti program homestay di Kampung Desa Murni, dekat Kerdau, Temerloh.

Majlis perasmian konsep Homestay 1Malaysia dilakukan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S K Devamany di Dewan Orang Ramai Kampung Desa Murni. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita Pahang, Datuk Shafik Fauzan Sharif.

Presiden PHM, Shariman Hamdan berkata, penangguhan program kedatangan pelancong luar negara memberi manfaat kepada negara kerana dapat membendung merebaknya penyakit berbahaya itu.

“Homestay 1Malaysia berkonsepkan menggalak penduduk tempatan melancong ke dalam negeri dan menginap di kawasan homestay yang terdapat di negara ini.

”Setakat ini terdapat 138 homestay seluruh negara yang menyediakan 4,045 bilik untuk kemudahan pelancong yang ingin menikmati keindahan kawasan perkampungan.

Katanya, Sarawak mencatatkan jumlah homestay paling banyak iaitu 19, Sabah (18), Selangor (16), Johor (15), Pahang (12), Pulau Pinang (9), Kelantan dan Negeri Sembilan masing-masing (8), Kedah (7), Perak dan Terengganu ( 6), Melaka (5), Langkawi (4), Labuan (3) dan Perlis (2).

Seorang pelancong yang terbabit dengan program Homestay Satu Malaysia, P.Vasudevan, 53, berkata konsep pelancongan ini memberi galakan kepada penduduk tempatan menyemaikan semangat muhibah.

Katanya, sejak kebelakangan ini semangat perpaduan dan muhibah semakin luntur terutama kepada generasi muda kerana mereka sibuk bekerja.

”Dengan adanya program Homestay 1Malaysia dapat mengukuhkan kembali semangat perpaduan kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini” katanya.

Sementara itu, S. Areesamy, 52, berkata, program Homestay 1Malaysia dapat memberi peluang masyarakat belajar cara hidup dan budaya kaum lain secara tidak langsung.

“Konsep ini amat baik dan perlu diteruskan pada masa akan datang supaya dapat melahirkan masyarakat Malaysia berjiwa Malaysia,” katanya.

0 comments: