Memegang status sebagai hospital mewah, kewujudan PCMC sememangnya mencatat satu penanda aras baru dalam industri perubatan di negara ini.
TATKALA usia kandungannya berusia tujuh minggu, pelakon terkenal tanah air, Rita Rudaini mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan sepanjang tempoh kehamilan dan bersalin di Pusat Perubatan Prince Court (PCMC).
Keputusan itu dibuat berikutan cadangan rakan artisnya, Nadia Mustapha. Nadia yang juga merupakan seorang pelakon mengenali beberapa doktor yang bertugas di sana.
Memilih Datuk Dr. Abdul Aziz Yahya sebagai doktor yang merawatnya, 8 Julai lalu, Rita selamat melahirkan bayi lelaki seberat 2.91 kilogram secara normal kira-kira pukul 1.20 pagi.
Bayi yang diberi nama Airit Rayyan Rizqin itu sememangnya satu anugerah yang tidak ternilai bagi Rita dan Aidil. Mereka bernikah pada 25 Februari tahun lalu.
"Keputusan memilih untuk dirawat di PCMC memang tepat. Apatah lagi, kali pertama saya pergi, sudah timbul rasa seronok melihat keramahan setiap kakitangan di sana. Daripada doktor dan jururawat hinggalah petugas klinik, nursery dan farmasi, semuanya memberikan khidmat yang terbaik.
|
|
"Sebagai contoh, jika mahu memanggil jururawat bertugas, tidak sampai 10 saat selepas loceng ditekan, mereka sudah sampai ke bilik kita. Di samping itu, penghantaran makanan juga sentiasa tepat pada masanya dan tidak pernah terlewat walau seminit.
"Apa yang pasti, dengan kemudahan dan khidmat kelas pertama seperti ini, setiap pesakit tidak merasakan mereka berada di hospital. Sebaliknya, seperti berada bersama keluarga sendiri," jelas Rita mengenai pengalamannya di PCMC.
Baru menyambut ulang tahun pertamanya pada 10 Julai lalu, PCMC kini semakin mendapat perhatian daripada masyarakat.
Pada usia setahun jagung, PCMC bukan semata-mata menjadi pusat kesihatan pilihan ramai, bahkan turut mendapat pengiktirafan daripada pihak berkuasa dalam penjagaan kesihatan antarabangsa terkemuka, Joint Commission International (JCI) menerusi anugerah akreditasi perubatannya.
Dimiliki sepenuhnya oleh syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas), PCMC dibantu oleh pasukan pengurusan antarabangsa dan kepakaran perubatan dari pakar klinikal senior.
Ia dilakukan melalui pengurusan konsortium yang terdiri daripada Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan VAMED dan Medical University of Vienna (MUV).
Sebagai sebuah pusat perubatan moden, kewujudan PCMC sememangnya mencatat penanda aras baru dalam industri perubatan di negara ini, apabila menyediakan fasiliti bertaraf dunia untuk kemudahan semua.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PCMC, Stuart D. Rowley, perkhidmatan penjagaan diasaskan daripada lima pusat kecemerlangan yang ditubuhkan untuk memberi rawatan khusus dalam bidang-bidang tertentu. Menerusi lima pusat ini juga, maka terhasil pula perkhidmatan rawatan dan perubatan lain yang menjadi pelengkap dalam proses pemulihan seseorang pesakit.
"Lima pusat tersebut ialah Onkologi iaitu kajian atau rawatan dalam merawat tumor; Jantung & Paru-Paru (khas untuk rawatan terhadap organ tersebut); Wanita & Kanak-Kanak (terbahagi kepada tiga komponen iaitu Obstetrik, Ginekologi & Pediatrik); Pembedahan Plastik, Kosmetologi, Dermatologi & Kecederaan Kebakaran serta Pusat Urologi, Nefrologi & Kesihatan Lelaki.
"Setiap pusat kecemerlangan ini menyediakan rawatan terperinci dengan menggunakan alatan dan mesin berteknologi tinggi. Contohnya, Sistem Pembedahan Robotik 4 Tangan da-Vinci, Sistem LASIK (Femtosecond Visumax & MEL 80 Excimer) iaitu pembedahan mata tanpa pisau; Sistem Kamera Berkembar Head Gamma & PET-CT dan sebagainya.
"Menerusi teknologi serba canggih ini, pesakit pasti akan dirawat sebaik mungkin dengan bantuan daripada doktor-doktor pakar bertauliah dan berpengalaman luas dalam bidang masing-masing," jelas Rowley kepada Kosmo! dalam satu temu bual di PCMC baru-baru ini.
Rawatan eksklusif
Rawatan eksklusif lain yang ditawarkan termasuklah prostatektomi robotik iaitu pembedahan menggunakan robot untuk membuang kelenjar-kelenjar prostat. Pembedahan paling minimum untuk membuang sel kanser payu dara atau menutup lubang kecil di jantung dengan penggunaan kamera kecil berteknologi tinggi turut disediakan.
Semua kemudahan canggih yang ada itu membuktikan keunggulan PCMC yang mempunyai visi untuk menjadi pendahulu dalam menyediakan penjagaan kesihatan terbaik di seluruh Malaysia dan rantau Asia.
Dengan jumlah kakitangan seramai 800 orang, Rowley sentiasa optimis tentang masa depan PCMC dalam mencapai visi tersebut.
Lebih menarik, pengurusan PCMC sentiasa mengutamakan persekitaran kerja yang baik dalam suasana harmoni. Sebab itulah, setiap kakitangan dianggap sebagai satu keluarga yang besar.
Aspek ini menjadi nilai tambah kepada PCMC dalam menggamit kehadiran lebih ramai pelanggan yang memilih untuk menerima rawatan di sana.
Resipi kejayaan
Salah seorang kakitangan yang bertugas di bahagian pembantu perkhidmatan pelanggan, Yuvavani Subramanium, 32, mengakui dia bertuah kerana bekerja di PCMC yang sentiasa mementingkan kerjasama dan hubungan erat antara pekerja.
"Sepanjang bekerja di sini, saya tidak pernah rasa diketepikan. Malah, setiap pekerja bertanggungjawab dalam memastikan imej PCMC dijaga.
"Saya memang seronok dan sentiasa bersemangat untuk menjalankan tugas dan memberi khidmat terbaik kepada pelanggan," ujar Yuvavani. Dia bersama enam orang lagi kakitangan telah dipilih sebagai Pekerja Terbaik sempena meraikan ulang tahun pertama PCMC baru-baru ini.
Bagi Jururawat Klinikal di Wad Pembedahan, Rosezalina Mohd. Razali, 40, PCMC sudah dianggap sebagai rumah keduanya yang begitu istimewa.
"Tidak dapat dinafikan bahawa persekitaran kerja yang positif di PCMC menjadi faktor setiap pekerja sentiasa komited menjalankan tugas mereka. Di sini, kami tidak pernah membezakan pangkat seseorang. Sebaliknya, sentiasa mesra antara satu sama lain.
"Mungkin itulah resipi kejayaan hospital ini dari kaca mata pesakit dan keluarga mereka yang berkunjung ke mari," kata Rosezalina yang merupakan antara jururawat terawal bertugas di PCMC bermula tahun 2007, sebelum dibuka secara rasmi pada 2008.
0 comments:
Post a Comment