Beng Hock dan perginya Ancient Mariner

Beng Hock dan perginya Ancient Mariner

KES kematian Teoh Beng Hock, pegawai khas kepada seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor bukan sahaja mendapat perhatian di kalangan orang awam malah para penulis blog turut memberikan pandangan berhubung tragedi tersebut.

Ahmad A. Talib misalnya, menulis bahawa sama ada perlu atau tidak ditubuhkan suruhanjaya untuk menentukan punca kematian Beng Hock bukannya perkara utama dalam kes itu.

Katanya, apa yang lebih penting ialah penyiasatan yang rapi, tepat dan cepat oleh pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Lagi lama siasat, lagi banyak timbul teori, tuduhan, cemuhan dan kesangsian. Penu buhan sebuah suruhanjaya belum tentu menjamin siasatan yang cepat dan tepat.

“Cara terbaik untuk membantu keluarga mangsa ialah dengan mencari punca kematian secepat mungkin,” tulisnya dalam blog Pahit Manis (ahmadatalib.blogspot,com).

Katanya, mempolitikkan kematian seseorang sehingga akhirnya menimbulkan keresahan dan rusuhan, akan merugikan semua pihak.

Wong Chun Wai dalam New Malaysia (chunwai08.blogspot.com) pula mahu semua pihak mengenepikan soal politik dan mencari jawapan segera berhubung kematian pemuda tersebut.

Tulis beliau, terdapat banyak persoalan yang timbul berhubung kematian tersebut dan rakyat Malaysia menuntut jawapannya.

“Ia bukan soal melindungi integriti dan kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi isunya ialah untuk mengetahui kebenaran,” tulis beliau.

Katanya, semuanya kini menjadi tugas pihak polis. Mereka perlu menyiasat secara profesional, efektif dan pantas.

“Kenyataannya, kerajaan perlu menerima cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja yang berkuasa untuk memanggil saksi,” tulis beliau.

Syed Imran dalam Kuda Ranggi (kudaranggi.blogspot.com) juga berpendapat, tragedi yang menimpa Beng Hock melibatkan nyawa seorang manusia dan bukannya isu politik atau bangsa.

Tulisnya, kematian seorang yang dikatakan saksi dalam siasatan SPRM adalah sesuatu yang luar biasa dan ia mesti disiasat serta diambil tindakan sewajarnya.

“Sebagai sebuah institusi yang dikatakan bebas dan tidak memihak, SPRM mesti memperlihatkan kebebasan dan kesaksamaan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

“SPRM mesti menyiasat secara rambang semua wakil rakyat, tidak kira dari Barisan Nasional (BN) ataupun pakatan pembangkang, kerana kita percaya penyelewengan berlaku di mana-mana,” tulis beliau.

Katanya, SPRM bukan bertugas mewakili mana-mana parti politik tetapi bagi pihak rakyat dan mereka mesti memperlihatkan yang badan itu benar-benar bertindak atas landasan yang betul.

Penulis A. Kadir Jasin (www.akadirjasin.com) pula membidas pihak-pihak tertentu yang membuat kesimpulan dengan tergesa-gesa, menghukum tanpa siasatan dan perbicaraan di samping mencipta pelbagai teori konspirasi berhubung kematian Beng Hock.

Katanya, masalah sekarang ramai di kalangan masyarakat kini telah hilang keyakinan, kewibawaan dan integriti terhadap badan-badan penguatkuasaan, termasuklah polis dan SPRM.

“Kita tidak boleh salahkan orang ramai sekiranya persepsi negatif ini berpunca daripada kegagalan pemerintah sendiri menunaikan janji menambah baik operasi dan pengurusan agensi-agensi berkenaan,’’ tulisnya.

Tulis beliau, apa pun hasil siasatan berhubung kematian Beng Hock tidak akan memuaskan semua pihak dan tidak akan mengatasi masalah persepsi negatif selagi janji-janji memerangi rasuah tidak dibuktikan dengan jelas, telus dan saksama.

Sementara itu, dalam kalangan penulis blog semalam terkejut dengan berita kematian Kapten Yusof Ahmad yang juga penulis blog The Ancient Mariner.

Beliau meninggal dunia malam semalam – Sabtu, 18 Julai – pada usia 64 tahun.

Tulisan terakhir Allahyarham dalam blognya, cyusof.blogspot.com bertarikh 15 Julai menyentuh mengenai kematian ibunya, Latifah Md. Hussain yang meninggal dunia sehari sebelum itu.


lukman@utusan.com.my">

0 comments: