Konsep rawatan ke rumah

Konsep rawatan ke rumah
Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my

YAKOB membimbing kakitangan Home Nursing Providers untuk memberi khidmat profesional kepada pesakit di rumah.

Home Nursing Providers sedia khidmat kejururawatan lengkap dan profesional

LAZIMNYA apabila seseorang terlantar sakit dan tidak mampu bergerak, mereka akan terus berbaring di atas katil untuk sepanjang hari tanpa tahu mengurus diri serta makan atau minum juga memerlukan bantuan daripada orang lain.

Tabiat dan corak pesakit yang begitu tidak kira apa juga jenis penyakitnya, sepatutnya diubah. Mereka perlu lebih positif dan bersemangat bangkit mengurus diri dan bukan mengharapkan bantuan orang lain atau sesetengahnya bagi mereka yang berpenyakit kronik, fikir tidak berguna lagi dan hanya mahu menunggu mati.

Psikologi pesakit ini memang tidak menentu. Sebenarnya kehidupan dan aktiviti di atas katil saja adalah salah, sebaliknya mereka memerlukan penjagaan dan rawatan rapi kerana ia pada akhirnya pesakit mampu mengurus diri walaupun tidak pulih sepenuhnya.

Bagaimana ingin memulihkan semangat mereka? Bagi pesakit begini, mereka memerlukan seseorang yang tahu menangani psikologinya. Bagi Home Nursing Providers Sdn Bhd (HNP) yang ditubuhkan pada 2004 beribu pejabat di Kelana Jaya, Selangor serta diasaskan oleh Yakob Abdul Rahman W Scholer, berasal dari Jerman menyediakan perkhidmatan penjagaan dan rawatan pesakit di rumah.

HNP dikenali sebagai jururawat bergerak yang berkonsepkan perkhidmatan kejururawatan lengkap di rumah bagi memberi keselesaan kepada pesakit menerusi gabungan kejururawatan profesional dan sokongan ahli keluarga itu adalah yang pertama di Malaysia.

Yakob ketika ditemui Berita Harian baru-baru ini, berkata konsep perkhidmatan itu masih dianggap baru di Malaysia berbanding di luar negara, umpamanya lebih 11,000 HNP diwujudkan di seluruh Jerman untuk orang yang memerlukan.

Katanya, menerusi HNP ia memberi kesedaran kepada pesakit dan ahli keluarga mengenai kepentingan mereka mengurus diri walaupun menghidapi penyakit kronik.

Seperti di hospital, HNP ini membawakan konsep rawatan ke rumah iaitu dengan menekankan kepada nasihat dan kaunseling bagi meningkatkan psikologi pesakit serta kaedah rawatan betul.

Orang yang tua dan sudah uzur serta terlantar sakit seperti menghidap barah, angin ahmar, kencing manis dan sakit jantung memerlukan penjagaan dan rawatan rapi.

Jika pesakit itu terbaring saja tanpa menggerakkan tubuhnya, pasti ia tidak akan membawa apa-apa perkembangan positif. Oleh itu, kami galakkan mereka lebih berdikari dengan melakukan sesuatu aktiviti mengikut kemampuan pesakit seperti ke luar dari kawasan rumah untuk menghirup udara segar dan sekali gus menjadikan kehidupan mereka lebih ceria dan penuh bermakna.

“Tidak semestinya terbaring di katil, membataskan aktiviti kita dan tidak mampu lakukan apa pun. Ahli keluarga juga memainkan peranan penting dengan membantu menjaga dan merawat pesakit dengan bimbingan pakar HNP.

“Pesakit yang terlantar lama di katil boleh menyebabkan badan mereka mengalami ‘kudis tekanan’, iaitu luka di bahagian belakang badan. Pesakit tidak sepatutnya memanjakan diri berbaring kerana ia menyebabkan ia bertambah parah. Mereka perlu ubah persepsi itu dan perlu banyak aktiviti bagi mewujudkan keadaan persekitaran baru,” katanya

Beliau berkata, pengawalan dan penjagaan luka akan dilakukan dengan menyediakan khidmat ujian tekanan darah dan glukos, rawatan kudis tekanan dan pemberian ubat tertentu.

Yakob menjelaskan mungkin sesuatu penyakit yang dihadapi tidak mampu untuk sembuh sepenuhnya, namun menerusi HNP ini sekurang-kurang 60 peratus mampu dipulihkan.

Persekitaran dan layanan memberikan harapan baru kepada pesakit terbabit untuk lebih positif dalam kehidupan.

Katanya, pakar kaunseling dan jururawatnya yang terdiri daripada 50 orang termasuk pembantu jururawat, jurufisio serta seorang doktor tetap bersedia untuk memberikan khidmat sepanjang 24 jam termasuk mengajar menggunakan peralatan perubatan, merawat luka dan kecederaan, terapi, memeriksa tekanan darah tinggi dan memberi sokongan psikologi.

Yakob yang terbabit dalam bidang kejururawatan di Jerman sebelum berhijrah ke Malaysia untuk bekerja di bawah Kumpulan Perubatan Katolik di Perak, selain membabitkan diri penubuhan Hospital Fatima di Ipoh, pada 1963 serta banyak lagi kerja sosial di negara ini, memang memasang tekad untuk menabur bakti menerusi konsep HNP.

Justeru, beliau mahu konsep itu diterap kepada masyarakat di negara ini yang dilihat masih rendah persepsi serta mentaliti mengenai penyakit dihidapi.

“Orang Melayu pula terlalu banyak pantang sehingga menyebabkan lebih lambat untuk sembuh dari penyakit dideritai. Sepatutnya, sebagai pesakit memerlukan pengambilan makanan seimbang serta berkhasiat. Ada antara mereka yang takut makan telur atau daging yang kononnya boleh memudaratkan penyakit. Jika ini yang difikirkan, sudah tentu sukar untuk mendapatkan tubuh badan sihat,” katanya yang memeluk Islam pada 1975.

Sejak penubuhan HNP, lebih 1,000 pesakit sudah mendapatkan perkhidmatannya di seluruh negara dengan mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan penjagaan, kejururawatan am dan profesional untuk menjaga orang tua, suntikan, ‘pemakanan tube ryle’s’, irigasi pundi kencing dan sebagainya.

Pada masa yang sama, HNP itu turut dilengkapi dengan perkhidmatan sokongan meliputi ujian makmal, permohonan insurans, koordinasi kemasukan hospital, pemasangan dan penyelenggaraan tabung oksigen.

Ketika ini, khidmat itu disediakan di Lembah Klang dan bercadang membuka cawangan di seluruh negara menjelang tahun depan termasuk Sabah dan Sarawak.

Cawangan di Melaka akan dibuka pada dalam jangka masa terdekat, selain merancang membuka klinik GNP yang turut dilengkapi dengan jururawat bergerak, pusat mengurus luka, pusat pemulihan angin ahmar yang kesemuanya menyediakan rawatan menyeluruh dan holistik dengan harga berpatutan.

0 comments: