Soal Jawab: Pas pandai simpan kemelut dalaman

Soal Jawab: Pas pandai simpan kemelut dalaman




Pertembungan kumpulan Erdogan, ulama boleh jejas hala tuju perjuangan Islam

PEMILIHAN dalam Pas kali ini memperlihatkan dua kelompok berminat iaitu satu kumpulan Erdogan dan satu lagi golongan ulama. Bagaimana Dr melihat perkembangan ini?

Kewujudan dua puak dalam parti Pas sudah lama sebenarnya. Dulu di hujung pentadbiran Presiden Pas yang pertama, Datuk Asri Muda wujud satu keadaan golongan nasionalis agama dan ulama. Sehingga Asri digulingkan, maka berakhirlah zaman nasionalis agama dan digantikan dengan ulama. Era ulama bermula di bawah pimpinan Yusuf Rawa dan kemudian diteruskan Datuk Fadzil Noor. Pada waktu Fadzil bermulanya era baru iaitu ulama menguasai Pas.

Pada waktu itu juga semakin ramai golongan profesional menyertai Pas terutama mereka yang dididik di dalam 'Islamic Representative Council' (IRC) di United Kingdom yang kemudiannya bertukar menjadi Pertubuhan Jamaah Islah, selain pemimpin belia di dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Mereka ini menyertai Pas kerana mengambil alih kepemimpinan yang diterajui kumpulan ulama. Waktu juga mulalah kelihatan dua kelompok iaitu golongan profesional dan ulama.

Selepas berakhir era Fadzil dan bermula era Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini menjadi Presiden Pas, kita lihat penguasaan golongan profesional semakin ramai dan mereka mempunyai pelbagai latar belakang termasuk daripada Abim, JIM dan golongan baru.

Maka, di sini sudah nampak sikap kepuakan yang jelas dalam Pas. Namun, apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim disingkir daripada Umno, pengaruh Anwar ini mula memasuki Pas dan menguasai kedudukan penting dalam parti itu. Berikutan itu, ramai yang berpendapat, langkah itu sebagai persediaan Anwar untuk menyertai Pas apabila tiba waktunya.

Pendapat Anwar mahu masuk Pas itu sama dengan teori ketika beliau menerajui Abim yang mana beberapa orang masuk ke dalam Pas, yang kononnya dihantar beliau. Namun, hakikatnya Anwar masuk Umno.

Perkara yang sama berlaku apabila Anwar tersingkir daripada Umno. Itu sebab kita lihat, golongan profesional dalam Pas ini sebahagiannya sangat mengagumi Anwar kerana mereka pernah berkongsi perjuangan dengan Anwar di Abim, dan separuh lagi ketika berjuang bersama dalam Umno.

Kelompok itu menjadi semakin ramai dalam Pas, dan sudah kelihatan wujud kecenderungan pro-Anwar serta mahu menjadikan Pas semakin liberal. Kelompok ini berpendapat, jika Pas tidak menjadi liberal dan terus dengan elemen ulama tradisional, maka sukar bagi Pakatan Rakyat (PR) bekerjasama dengan Pas.

Wujud ideologi yang ketara antara Pas dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Oleh sebab itu, penguasaan kumpulan 'Erdogan' atau pro-Anwar ini sangat penting bagi membolehkan Pas 'neutral' dan Pas semakin rapat dengan PKR.

Malah, kini sebenarnya sudah ada kebimbangan disuarakan ahli Pas mengenai bentuk jati diri dan perjuangan parti jika golongan ulama kalah. Golongan profesional dalam Pas kini berasakan mereka lebih baik dari segi kepemimpinan dan melihat kumpulan ulama sebagai orang yang hanya tahu mengenai Islam tetapi tidak berkebolehan dalam pentadbiran, pengurusan dan kepemimpinan parti.

Pendapat Prof mengenai kebimbangan kumpulan profesional jika Pas diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beliau akan meneruskan usaha mewujudkan pakatan dengan Umno?

Ada sebilangan pemimpin Pas kumpulan ulama ini sebenarnya bukannya mahu bergabung dengan Umno tetapi mereka menyokong Umno apabila isu berkaitan orang Melayu dan Islam dibangkitkan. Mereka mahu mewujudkan kerajaan perpaduan kerana bimbang dengan perkembangan nasib orang Melayu dan Islam di negara ini. Lebih-lebih lagi selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, banyak isu dibangkitkan yang mereka fikir boleh menggugat kepentingan orang Melayu dan Islam.

Maka, mereka rasa perlu ada pakatan dan kerajaan perpaduan. Mereka berasakan tidak boleh terus berpaut dengan PKR dan DAP berhubung isu Melayu dan Islam, kerana kedua-dua parti itu sangat liberal mengenainya. Kumpulan ulama Pas ini juga memerhatikan suara DAP dan PKR berhubung pertikaian kes di mahkamah syariah dan sivil, Artikel 11 dan keistimewaan orang Melayu. Mereka nampak tidak boleh bekerjasama dengan DAP dan PKR mengenai perkara ini. Jadi pilihan mereka adalah Umno.

Pemilihan kali ini menyaksikan sudah ada pemimpin Pas daripada kalangan profesional menawarkan diri merebut jawatan tertinggi parti. Adakah ini petanda ahli Pas mahukan pemimpin muda daripada kelompok profesional dan menolak golongan ulama?

Saya percaya sebahagian ahli Pas yang latar belakang mereka bukannya daripada jurusan agama mahu lebih banyak ruang diberikan kepada profesional. Pada masa sama, ada juga ahli Pas yang tidak mahu memberi tempat kepada golongan profesional ini kerana tidak mahu Pas hilang jati dirinya.

Bagaimanapun, sebahagian besar ahli Pas tidak sedar apa yang sedang berlaku dalam parti mereka. Mereka tidak sedar dengan memberikan kuasa kepada kumpulan profesional, parti mereka akan menjadi liberal. Itu sebab, ada ahli Pas yang berasakan golongan profesional ini tidak salah dipilih walaupun pada hakikatnya agenda kumpulan berkenaan mahu menjadikan Pas lebih liberal dan dekat dengan PKR. Mungkin suatu masa nanti, tidak mustahil Pas akan bergabung dengan PKR, jika prinsip perjuangannya sama. Saya percaya jika ini berlaku, tiada lagi perjuangan Islam dalam Pas. Sebahagian orang Melayu yang bukan ahli Pas juga bimbang dengan apa yang bakal berlaku kerana mereka mereka melihat jika apa-apa berlaku kepada Umno, mereka mengharapkan Pas untuk berpaut atau galang gantinya.

Apa yang berlaku pada pemilihan Pas kali ini bermakna parti itu juga terkena tempias tsunami politik seperti dirasai parti komponen Barisan Nasional (BN) selepas pilihan raya umum yang lalu?

Di dalam Pas, apa yang berlaku adalah satu percubaan rampasan perjuangan Islam Pas dengan mengambil alih kepemimpinan kumpulan ulama. Ini juga percubaan meluntur dan mencairkan teras perjuangan Pas yang berasaskan kepada Islam dan orang Melayu. Ini pergolakan dalaman berkaitan prinsip, arah tuju dan perjuangan parti.

Ada pendapat menyatakan pertikaian mengenai kepemimpinan dalam Pas ini satu isu biasa. Malah Abdul Hadi menyatakan kemelut berkenaan isu lama dan sengaja ditimbulkan apabila tiba musim pemilihan?

Kemelut yang berlaku dalam Pas ini memang berlaku dan bukan ditimbulkan. Konflik ini sebenarnya sangat genting sekarang untuk masa depan Pas. Sebab itu jika Pas salah pilih haluan, ia akan menerima padah yang sangat buruk. Sebab itu, Pas kena fikir betul-betul dan menentukan hala tuju parti pada masa depannya.

Adakah perbalahan pemimpin Pas mengenai pemilihan kepemimpinan parti gimik terbaru politik Pakatan Rakyat terutama menghadapi pilihan raya kecil di Penanti?

Ini bukan gimik tetapi realiti politik yang perlu diambil berat oleh Pas. Jangan menafikan perkara ini. Ini juga satu euphoria atau minat baru kepemimpinan muda, baru dan profesional dalam Pas untuk menguasai kedudukan penting dalam parti. Ini timbul kerana mereka melihat Pas bukan lagi parti yang hanya boleh berkuasa di Kelantan tetapi berpeluang mengembangkan sayap ke negeri lain berdasarkan tsunami politik baru-baru ini. Mereka juga percaya Pas bukan lagi hanya menjadi parti pembangkang tetapi boleh memerintah. Oleh itu, mereka berasakan mudah jika dapat menjadi pemimpin dalam Pas untuk memegang jawatan di negeri atau Pusat jika PR menang besar pada pilihan raya akan datang.

Kemungkinan juga ada pemimpin profesional dalam Pas juga sudah pun dijanjikan jawatan jika PR menang pilihan raya pada masa depan. Pemimpin PKR memang hebat mewujudkan sentimen keghairahan untuk menarik orang ramai mengikut perjuangannya. Jadi ada kemungkinan pemimpin profesional Pas yang muda ini sudah dijanjikan jawatan dan Abdul Hadi tidak ada tempat dalam kerajaan PR.

Ada juga kemungkinan, Anwar yang menerajui PR kini akan melantik orangnya seperti Datuk Husam Musa (bakal bertanding jawatan Timbalan Presiden) memegang jawatan penting bukan Presiden Pas jika mereka memerintah. Saya percaya, jika golongan profesional menang dan Abdul Hadi masih menerajui Pas, beliau akan terasing dalam kepemimpinan parti.

Benarkah wujud keretakan dalam kepemimpinan Pas akibat kemelut ini?

Jelas wujud keretakan ini walaupun Pas memang pandai menyimpan masalah ini dihidu awam dan media. Pas sangat berbeza dengan parti politik lain kerana menyimpan kemelut dengan baik sekali.

Apa yang disebutkan Nik Abduh saya lihat adalah satu 'wake up call' satu panggilan mengejutkan Pas daripada lenanya. Saya pasti, tidak mungkin Nik Abduh sengaja bercakap begitu. Sebagai anak Mursyidul Am Pas, Nik Abduh tahu apa yang beliau cakapkan tidak boleh diperlekehkan dan ia perlu diambil serius oleh ahli serta perwakilan yang akan bersidang di muktamar nanti. Ramai lagi sudah menyuarakan kebimbangan mereka seperti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan. Begitu juga Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub yang cuba mengimbangi kedudukannya, masih menyuarakan kebimbangan konflik yang berlaku.

Bolehkah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyelesaikan konflik dua kumpulan ini?

Saya berasakan Nik Aziz dapat menyelesaikan masalah ini jika beliau faham apa sebenarnya yang terjadi. Sudah tentu beliau akan menyokong ulama. Sekarang ini, dibimbangi Nik Aziz sebenarnya dikuasai siapa dan siapa yang mengawal tindak-tanduknya. Jadi dengan sebab itu jangan harapkan Nik Aziz menjadi pengimbang dalam hal ini kerana mungkin beliau sudah dikuasai pihak tertentu.

0 comments: