Tidak akan berkompromi

Tidak akan berkompromi

‘‘Dulu PPSMI, kini ISA.” Itulah seloroh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein apabila diminta menggambarkan tanggungjawab barunya sebagai Menteri Dalam Negeri setelah sekian lama menjadi Menteri Pelajaran.



Bagi Hishammuddin yang berkelulusan undang-undang, biarpun cabaran yang ditempuh di kementerian baru itu lebih hebat namun beliau yakin ia akan mampu dilaksanakan dengan berpegang kepada prinsip meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan.

Atas dasar itu jugalah, dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan HAFIZAHRIL HAMID di Putrajaya, beliau secara tegas memberi peringatan bahawa beliau sama sekali tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan serta perkara yang berkaitan dengan teras dan tiang seri negara termasuklah Perlembagaan, perpaduan kaum dan agama serta institusi raja-raja.

‘‘Ini akan saya laksanakan tanpa rasa gusar dan bimbang kerana ia adalah pegangan hidup saya,” katanya

Dalam pertemuan itu juga, Hishammuddin turut mengulas mengenai kajian semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan aspek keselamatan negara secara keseluruhannya yang terletak di bawah KDN.

Apa pun dalam mengupas semua isu itu, Hishammuddin mengingatkan apa juga yang dilakukan ia tidak hanya bergantung kepada beliau seorang sebagai menteri, sebaliknya memerlukan kerjasama kepimpinan di setiap peringkat kementerian itu.

MINGGUAN: Apa perasaan Datuk Seri apabila ditugaskan di kementerian ini?

HISHAMMUDDIN: Sebelum ini saya melihat tanggungjawab menjaga pendidikan di Kementerian Pelajaran berat tetapi bila sampai di KDN, saya rasa insaf bahawa jawatan di kementerian ini merupakan satu tanggungjawab yang lebih berat untuk dipikul.

Ini kerana apa juga keputusan yang dibuat akan menentukan keselamatan, kestabilan dan kedudukan negara dan rakyat Malaysia. Oleh itu, ia satu tanggungjawab yang bukan mudah dilaksanakan. Jika kita tidak mempunyai satu kekuatan dalaman yang kuat dan tegas untuk tidak dipengaruhi oleh nafsu, pertimbangan peribadi serta nasihat dan pandangan oleh mereka yang mempunyai kepentingan dan pertimbangan politik, saya bimbang keputusan yang akan dilakukan boleh menganiaya individu tertentu. Sebelum ini saya menjaga murid sekolah kini saya menjaga penjenayah dan banduan. Jika sebelum ini kita melawat ke sekolah, kini saya melawat penjara. Sebelum ini kita berperanan untuk mendidik dan membimbing, kini berperanan untuk memastikan dan mencegah apa-apa tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan orang ramai dan rakyat Malaysia malah ahli keluarga saya sendiri.

Apa pun saya akan memikul tanggungjawab yang diamanahkan ini. Apa yang menjadi pertimbangan saya ialah melakukan yang terbaik, adil dan jujur kepada rakyat Malaysia dan sentiasa meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan dan jika saya berpegang kepada amanat ini, insya-Allah saya akan berjaya.

Dalam mengendalikan kementerian yang cukup penting ini, apakah yang akan menjadi keutamaan Datuk Seri?

HISHAMMUDDIN: Keutamaan saya ialah mempertahankan teras dan tiang seri negara iaitu kestabilan negara, keselamatan rakyat, perpaduan antara kaum dan agama, institusi raja yang telah menjadi payung dan teras dalam pembinaan negara bangsa serta Perlembagaan negara dan undang-undang.

Semua ini adalah perkara pokok yang tidak akan saya kompromi dalam memastikan ia tidak terjejas atau diganggu gugat oleh mana-mana pihak. Ini akan saya laksanakan tanpa rasa gusar dan bimbang kerana itu merupakan pegangan hidup saya yang merupakan lulusan undang-undang.

Bagaimanapun pada masa yang sama saya sedar kita perlu berubah. Ini termasuklah dalam soal akta-akta yang masih digunapakai atau digubal biarpun sudah 52 tahun kita merdeka. Semua akta tersebut diwujudkan bagi menghadapi ancaman ketika itu, ia termasuklah ancaman komunis, peristiwa Mei 1969 serta akta-akta yang digubal sebelum kemerdekaan.

Oleh itu sudah sampai masanya untuk kita mengkaji semula akta-akta ini memandangkan ia tidak lagi relevan dan perlu disesuaikan mengikut keadaan dan ancaman pada hari ini. Contohnya jika dahulu ancaman komunis mungkin sekarang ia melibatkan terrorist atau unsur-unsur perkauman dan keagamaan, begitu juga ancaman dalam bentuk maklumat yang menular tanpa kawalan sehingga boleh menjejaskan kestabilan negara.

Saya telah meminta semua akta-akta yang berada di bawah kementerian dan agensi ini disenaraikan dan meminta dua orang yang pakar mengenai undang-undang dari setiap jabatan dan bahagian untuk mengkajinya semula. Dalam soal ini sudah tentu yang paling sensasi ialah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Namun saya ingin tegaskan bahawa ini adalah usaha yang menyeluruh setelah melihat kepada semua undang-undang yang sedia ada dan saya beranggapan ia sangat perlu dilakukan sekarang kerana zaman telah berubah dan ia menuntut supaya kita melihat ia secara realistik.

Apa yang paling penting ketika hendak menggubal atau menilai semula akta-akta terlibat kita perlu mendengar dan melihat kepada kehendak serta cita rasa orang ramai. Pendekatan ini adalah selari dengan hasrat yang terkandung dalam konsep Satu Malaysia yang mana kerajaan mendahulukan kepentingan rakyat dan keberkesanan penyampaian dalam semua perkara dan urusan.

Dalam pada itu, saya sendiri melihat perlunya kebajikan lebih 100,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 17,000 kakitangan di Jabatan Penjara Malaysia serta kakitangan di agensi-agensi lain dinilai dan ditambah agar mereka dapat berkhidmat dalam suasana selesa. Saya sentiasa memandang berat soal kebajikan ini dan ketika menerajui Kementerian Pelajaran sebelum ini, pelbagai pendekatan telah saya ambil bagi menambah baik soal kebajikan para pendidik di seluruh negara. Jika kita pernah membuat perubahan untuk satu kementerian yang lebih besar dari segi jumlah pegawai dan kakitangannya, saya tidak nampak kita akan hadapi masalah di KDN.

0 comments: