|
|
Namun kebelakangan ini beliau selaku Ketua Dewan Ulama Pas lebih bersedia untuk memberi pandangan – yang turut mengheretnya dalam polemik berhubung kepimpinan dalam Pas apabila seolah-olah wujud persaingan antara kelompok ulama dan profesional ketika parti itu mula berdiri teguh.
Beliau dengan nada perlahan tetapi berterus-terang dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, AZRAN FITRI RAHIM mencadangkan perlembagaan parti diubah agar dua jawatan utama, tidak disorong oleh sesiapa selain kalangan ulama agar tidak tercetus pertembungan yang merugikan.
MINGGUAN: Sejak akhir-akhir ini berlaku perdebatan hangat mengenai tafsiran ulama dan profesional. Bolehkah Datuk memberikan tafsiran kepada istilah ulama?
MOHAMED DAUD IRAQI: Mengikut peruntukan di bawah perlembagaan parti yang digubal semasa Datuk Asri Muda menjadi Presiden, ia turut merangkumi imam-imam di masjid, orang yang lulusan agama dari universiti dan tok guru pondok. Bagaimanapun pada ketika itu kita merasakan di kawasan tidak ada tok guru pondok dan graduan lulusan agama maka kita turut mengambil lulusan empat senawi atau pada masa sekarang setaraf dengan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Ini yang ditafsirkan ulama bagi menyertai Dewan Ulama Pas. Setakat ini Dewan Ulama hanya ditubuhkan di peringkat negeri kerana tiada ulama yang kita hendak cuba kemukakan di peringkat kawasan tetapi bagi Kelantan dan Kedah ia mungkin boleh dilaksanakan disebabkan ramai golongan ulama. Disebabkan itu kita longgarkan untuk empat senawi sahaja walaupun ia tidak sampai ke taraf ulama tetapi tidak apa untuk bergerak dalam parti sahaja.
Adakah Datuk mahukan pemimpin yang akan dipilih pada Muktamar Agung Pas bulan depan dari kalangan Dewan ulama?
MOHAMED DAUD IRAQI: Ulama sahaja, Dewan Ulama lain. Dua jawatan tertinggi mesti dari kalangan ulama, sebagai contoh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharuddin Mat Isa, kedua-duanya ada asas agama.
Satu lagi yang mesti juga ulama ialah salah seorang dari tiga Naib Presiden yang akan dipilih nanti sebab apabila timbalan naik menjadi presiden maka kita ada pelapis dari golongan ulama untuk jadi timbalan. Untuk jawatan yang lain, itu bebas, profesional hendak masuk banyak mana pun tidak apa. Bagi saya profesional cukup berkesan di Naib Presiden bagi membantu Presiden dan Timbalan Presiden melaksanakan tugas.
Kenapa saya kata begitu? Sebabnya kita tengok fakta sejarah kaum Bani Israel, dulu semua pemimpin mereka adalah nabi tetapi bila naik orang jahil dia bunuh golongan ambia, puluhan ribu umat nabi dibunuh, selepas itu timbul kelam kabut sampai Nabi Isa pun mereka hendak bunuh. Dalam Islam pula apabila Nabi Muhammad jadi pemimpin, dalam semua bidang baginda berkemampuan melalui wahyu, apabila nabi wafat, baginda tinggalkan hadis di antaranya baginda bersabda, sesungguhnya dilantik imam ini untuk diikuti orang.
Semasa nabi hendak wafat baginda menyuruh Abu Bakar menjadi imam kerana baginda uzur. Apabila baginda wafat, para sahabat berkata kalau nabi bersetuju Abu Bakar menjadi imam, tak kan kita tidak boleh bersetuju lantik Abu Bakar pimpin negara. Kemudian diikuti Omar, Osman dan Ali.
Kemudian naik Muawiyah, dia alim tetapi ada keburukan sedikit sebanyak, kemudian dia lantik anaknya, Yazid sebagai pengganti. Yazid seorang yang jahil jadi ketika memegang kuasa dia mengarahkan bala tenteranya menyerang Madinah kerana orang Madinah tidak menyokongnya. Selepas menyerang Madinah dia memberikan kebebasan kepada tenteranya untuk bermaharajalela selama tiga hari tiga malam sehingga menyebabkan masa itu ramai wanita yang mengandung anak tanpa suami, lahir anak zina. Ini contoh kerja orang jahil sebab dia tidak tahu apa.
0 comments:
Post a Comment