Dari ragut beg ke ragut nyawa
Oleh ZIN MAHMUD
Dalam kitab Sejarah Melayu, seorang raja Melayu telah diabadikan sebagai tokoh yang wajar menjadi contoh bagi generasi-generasi akan datang dalam mempertahankan keharmonian dan keselamatan negara. Baginda ialah Sultan Alauddin Riayat Syah yang turun padang bersama hulubalang-hulubalang Melaka membanteras jenayah rompak di negeri itu.
Dengan baginda sendiri menghunus keris mengejar perompak-perompak di Melaka maka keharmonian dan keselamatan negeri itu dapat dipelihara dan membolehkan ia selanjutnya berkembang menjadi kota pelabuhan yang meraikan kunjungan para saudagar-saudagar di seluruh dunia, menambahkan kemakmuran penduduknya dan seterusnya menyumbangkan kepada tamadun Melayu.
Andai kata pada ketika itu Sultan Alauddin tidak mengambil berat dan hanya berada di istana tanpa mempedulikan aduan rakyat mengenai masalah jenayah yang berleluasa di Melaka, maka kota pelabuhan itu tidak akan selamat, saudagar-saudagar tidak akan singgah berniaga, dan akhirnya kesultanan Melayu di situ akan hilang dalam sejarah untuk digantikan dengan pihak lain.
Itu berlaku pada abad ke-13. Kini, dalam abad ke-21, penduduk Malaysia pula berada dalam keadaan resah diancam oleh pelbagai jenayah, dan dalam minggu ini kejadian ragut dirasakan begitu berleluasa hingga seolah-olah negara ini tidak berupaya menanganinya. Perbuatan meragut beg-beg tangan perempuan melarat hingga akhirnya menjadi parah di mana nyawa mangsa turut melayang.
Sejak sepuluh tahun lalu, jenayah yang mengganggu kehidupan seharian orang ramai semakin meningkat di negara ini. Daripada perbuatan meragut beg hinggalah kepada aktiviti mat rempit, kepada pecah rumah, rompak dan samun serta kecurian kereta. Belum dikira lagi kehilangan anak-anak, diculik dan dirogol.
Ada kes dapat diselesaikan. Tidak kurang pula, ia berlalu dengan begitu saja. Masing-masing hanya meneruskan sisa-sisa kehidupan dengan keluarga menanggung trauma yang tidak kunjung reda.
Perangkaan adalah berasaskan kepada laporan. Banyak lagi peristiwa yang tidak dilaporkan. Tetapi soal jenayah bukan semata-mata berbentuk statistik. Apalah makna angka jenayah yang merosot bagi seseorang yang kehilangan ibu kerana menjadi mangsa ragut? Bagi mereka yang menanggung trauma akibat perbuatan jenayah itu, ia tidak boleh dianggap sebagai satu angka kejadian. Ia melangkaui angka, jenayah merampas hak dan maruah seseorang. Perasaan marah orang ramai terhadap perbuatan ini tidak boleh diredakan dengan kata-kata semata-mata.
Tidak perlu statistik dan retorik. Lihatlah di sekeliling negara, dari Perlis hingga ke Sabah. Di kampung-kampung, pekan, bandar, apatah lagi di Lembah Kelang, orang ramai resah dengan masalah jenayah. Ada saja cerita baik melalui media massa atau mulut ke mulut. Ada saja jiran dan sanak saudara yang menjadi mangsa kejadian jenayah.
Lihatlah saja betapa semua bangunan memerlukan pagar-pagar tinggi, kunci yang besar-besar. Sistem-sistem memerangi jenayah yang berteknologi tinggi. Pembinaan komuniti berpagar dengan lengkap berpengawal di mana rumah kediaman seperti menjadi kem rumah tahanan. Semua itu tanda-tanda orang ramai rasa tidak selamat dan mereka tidak dapat menerima keadaan ini. Mereka mahu sesuatu dilakukan supaya keadaan tidak menjadi lebih parah lagi hingga ke peringkat negara \ tidak disukai untuk didiami. Maka lambat atau tidak, jenayah mesti diperangi secara keseluruhan daripada pelbagai sudut, Malaysia mesti diselamatkan.
berhati-hati
Ada tiga perkara yang perlu dipegang dalam soal jenayah. Pertama, menerima hakikat bahawa jenayah terhadap orang ramai ini benar-benar berlaku dan ia tidak wajar diselindung lagi. Biar media massa melaporkannya untuk kesedaran orang supaya sentiasa berhati-hati dalam menjalankan kehidupan seharian. Jangan pula atas nama menjaga imej negara terutama kepada para pelancong, hakikat jenayah ini hendak diperkecilkan. Sudah banyak kes di mana pelancong juga menjadi mangsa jenayah. Negara yang selamat tentunya mengundang lebih banyak pelancong.
Kedua, perlu adanya kepercayaan bahawa jenayah boleh dibanteras hampir keseluruhannya. Banyak bandar di dunia ini yang bebas jenayah. Sifar jenayah seperti beberapa kota baik di Barat atau di tempat-tempat lain sememangnya benar-benar wujud. Jenayah bukanlah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Ini kerana terdapat gambaran yang dibuat seolah-olah dalam perjalanan menjadi negara maju dan moden, di mana bandar semakin bersifat metropolitan dan kosmopolitan, kegiatan jenayah tidak dapat dielakkan.
Gambaran yang diperoleh dengan diperkuatkan oleh filem-filem jenayah Hollywood menggambarkan seolah-olah kemajuan, kemodenan dan urbanisasi tidak dapat mengelak daripada kegiatan jenayah. Sedangkan banyak kota maju dan moden di Eropah Barat, dari negara-negara Scandinavia hinggalah ke Austria dan Switzerland menikmati suasana bebas jenayah. Tahun ini, Vienna ibu kota Austria muncul sebagai bandar raya yang mempunyai mutu kehidupan paling tinggi, bermakna juga kadar jenayah rendah.
Begitu juga dalam sejarah New York dikenali sebagai kota yang penuh dengan aktiviti jenayah. Pada tahun-tahun 1930-an muncul legenda Mafia dan pelbagai kisah ngeri mengenai perbuatan jenayah. Filem-filem Hollywood mengabadikan keadaan ini. Tetapi setelah berdekad-dekad berlalu dengan perubahan mendadak yang dilakukan oleh Datuk Bandarnya, dilicinkan dengan pelbagai projek dan program serta pembaharuan terhadap pasukan polisnya, New York akhirnya dapat membersihkan dirinya daripada keadaan jenayah yang kronik. Pelajaran daripada ini ialah jenayah boleh dibanteras dan ia bukannya suatu yang mustahil untuk dibanteras.
Hal ini membawa kepada perkara ketiga iaitu azam. Apabila sudah menerima hakikat bahawa jenayah yang sedang berleluasa di negara ini merupakan suatu yang serius, disambut dengan kepercayaan bahawa ia boleh dibanteras, maka untuk melakukannya, ia memerlukan azam dan kesungguhan.
Terdapat tiga azam bagi mengatasi jenayah iaitu azam politik, azam ekonomi dan azam sosial. Azam politik mudah difahami yang tentunya bermaksud pihak kerajaan mengambil usaha bersungguh-sungguh, tanpa bertolak ansur dalam usaha membanteras jenayah. Ia melibatkan keseluruhan agensi-agensi kerajaan, daripada pihak polis hinggalah kepada imigresen yang mempunyai peranan membanteras pendatang tanpa izin.
Tetapi azam politik bukan saja bermaksud tindakan yang diharapkan dari pihak kerajaan. Ia juga melibatkan kesemua mereka yang terlibat dalam politik. Daripada parti-parti politik, baik parti pemerintah mahupun pembangkang hinggalah kepada aktivis-aktivis di peringkat akar umbi. Kerana di sinilah orang ramai menjalankan kehidupan sehariannya.
Kawasan-kawasan yang menjadi sasaran jenayah mesti diambil berat oleh aktivis politik. Dari sana mereka dapat menggerakkan usaha melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), ahli-ahli dewan undangan negeri dan ahli parlimen sendiri. Ini bermakna azam politik yang ada untuk membanteras jenayah perlu timbul dari bawah.
Apa hal pun, pada asasnya jenayah juga berpunca daripada masalah sosio-ekonomi. Maka soal ekonomi juga mesti diambil berat. Ia bukan saja mengenai kejatuhan pendapatan orang ramai tetapi juga jurang antara golongan dalam masyarakat. Maknanya dalam perancangan makro di peringkat nasional, soal meningkatkan pendapatan rakyat dan mengurangkan kesusahan hidup mereka akan membantu menurunkan kadar jenayah.
Adalah menjadi percakapan umum bahawa kemelesetan ekonomi pastinya membawa kepada peningkatan kegiatan jenayah. Maka dalam perancangan makro, usaha mengurangkan pengangguran dan jurang pendapatan antara golongan mesti diberi perhatian. Perkara ini meliputi kedua-dua azam, iaitu berbentuk politik dan ekonomi.
Sebagai contoh, soal ragut dan mat rempit perlu juga dilihat dari sudut punca ekonominya. Adakah kalau mereka mempunyai pekerjaan yang tetap dan pendapatan yang sewajarnya mencukupi akan menghentikan perbuatan jenayah? Kalaulah mereka sibuk bekerja, tidakkah mungkin mereka tidak mempunyai masa untuk meragut dan merompak? Apabila siang sudah bekerja, maka pada malamnya, mereka akan berasa letih untuk melakukan kegiatan lain seperti merempit?
Kemudian berkaitan pula dengan sindiket-sindiket jenayah terancang. Umpamanya pengedaran dadah, video cetak rompak dan ah long yang menggalakkan perbuatan jenayah dalam pelbagai bentuk. Apakah ertinya dari segi ekonomi, punca dan kesannya?
Tidak kurang pula soal pekerja asing. Apabila ahli-ahli perniagaan memerlukan pekerja-pekerja yang murah, maka tentu perhatiannya adalah kepada pekerja asing. Adakah sistem pengambilan pekerja asing berada dalam keadaan bersih dan menuruti undang-undang? Apabila mereka tidak diperlukan lagi, adakah sistem ini menyediakan cara mengembalikan mereka ke negara asal tanpa risiko bahawa mereka akan terus tinggal di negara ini tanpa pendapatan?
Ekonomi
Maka azam ekonomi meliputi usaha membanteras jenayah dari sudut menangani isu-isu yang melibatkan pendapatan, sara hidup dan perbelanjaan anggota masyarakat.
Tetapi akhirnya perbuatan jenayah itu membabitkan juga soal etika. Jika seseorang walaupun susah dan kesempitan hidup sekalipun, jika personalitinya mempunyai moral dan etika tinggi, maka mereka tidak akan melakukan sebarang jenayah. Banyak lagi cara untuk menyara hidup secara halal. Bukannya dengan mencuri, merompak dan meragut hingga nyawa mangsa melayang. Maka apabila disebut tentang soal etika ini, ia memerlukan azam sosial.
Tentu timbul persoalan mengapakah keluarga-keluarga tidak berjaya menghalang lahirnya anak-anak yang bersih daripada perbuatan jenayah? Apabila perbuatan jenayah berleluasa dalam masyarakat, maka tentu dapat dikatakan bahawa terdapat gejala kegagalan institusi keluarga dan pendidikan awal.
Dalam hal ini, wajar adanya azam sosial. Selain daripada dokongan agensi-agensi kerajaan, masyarakat sendiri melalui pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencari jalan membanteras jenayah di peringkat keluarga dan sekolah lagi. Tanyalah pada guru-guru sekolah khususnya di sekolah menengah. Gejala disiplin seperti ponteng dan gengsterisme di sekolah sudah menampakkan potensi akan lahirnya penjenayah, termasuk peragut dan mat rempit. Soal ini bukan perkara baru. Ia sudah wujud berdekad-dekad tetapi sejak 10 tahun kebelakangan ini, ada kalangan di peringkat sekolah juga sudah seperti hilang harapan.
Maka dalam menangani gejala jenayah ini, di peringkat paling asas ialah pada kejiranan. Daripada lorong ke lorong, taman ke taman, kampung ke kampung meliputi keseluruhan kawasan perumahan, para penduduk mesti bekerjasama, surau, masjid, balai raya, dewan komuniti dan balai rukun tetangga merupakan pusat-pusat yang mesti digemblengkan bagi mengatasi jenayah. Ini memerlukan azam sosial yang besar.
Sememangnya kalau dari segi agama Islam, jenayah seperti ragut dan mat rempit ini tidak patut berlaku. Umpamanya, hukuman mencuri dalam Islam adalah berat. Tetapi sistem sosial Islam menetapkan bahawa seseorang yang mencuri kerana lapar akan dilepaskan. Kalau dalam tradisi sejarah Islam, zaman Khalifah Omar Abdul Aziz menyaksikan betapa tidak ada orang yang lapar kerana sistem sosial dengan zakat serta sedekah yang dibahagi-bahagi secara meluas menjadikan masyarakat yang bebas pengemis dan penjenayah pada masa pemerintahannya.
Di zaman ini, kasut dan harta benda para jemaah pasti tidak selamat di surau dan masjid di Malaysia. Apatah lagi kalau ditinggalkan telefon bimbit atau komputer riba tanpa pengawasan. Maknanya para penjenayah tidak sedikit pun menghormati masjid. Maka ketika para penjenayah begitu aktif dan membahayakan, anggota-anggota masyarakat, ahli kariah sudah tidak aktif dalam memakmurkan kawasan perumahannya. Inilah apa yang dimaksudkan dengan azam sosial yang melibatkan juga azam keagamaan untuk membanteras jenayah. Dari sudut lain, usaha membanteras jenayah adalah suatu jihad.
Tetapi setelah melihat pelbagai aspek, permulaan bagi usaha membanteras jenayah adalah di peringkat PBT, dengan dokongan masyarakat setempat. Seharusnya mesti ada permulaan dan digerakkan oleh sesiapa saja di peringkat kawasan kerajaan tempatan. Kawasan PBT yang meliputi rumah kediaman dan premis perniagaan mesti memiliki azam untuk membersihkan diri daripada dijadikan sarang penjenayah. Sebarang laporan jenayah tidak wajar dilepaskan begitu saja sebagai cerita-cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut. Tetapi ia harus disusulkan dengan tindakan.
Pendeknya, semangat yang ada ialah tidak ada toleransi terhadap penjenayah khususnya peragut, mat rempit dan perompak.
0 comments:
Post a Comment