|
|
Krisis ekonomi dunia kini semakin dirasai keperitannya. Dalam erti kata lain kemusnahan yang berlaku akibat dari kegawatan ekonomi yang dikatakan antara yang terburuk kini tidak boleh diselindungkan lagi.
Amerika Syarikat (AS) sebuah negara besar dunia yang begitu berbangga dengan penguasaan ekonomi dan ideologi pasaran bebas selama ini akhirnya terpaksa tunduk kepada tekanan krisis ini.
Lebih memalukan mereka akhirnya terpaksa "menjilat ludah sendiri" dan mengakui bahawa sistem ini telah memburukkan bukan sahaja kepada ekonomi tetapi turut terkesan kepada kehidupan seharian penduduk.
Dalam konteks AS, bukan sahaja syarikat-syarikat utama mereka kini hampir bankrap, tetapi ia turut menyaksikan keruntuhan sistem pasaran bebas yang diagung-agungkannya selama ini.
Memanglah setakat ini pemimpin AS dari mantan Presiden George W. Bush hinggalah Presiden Barack Obama tidak pernah menyatakan bahawa prinsip pasaran bebas merupakan punca kegawatan ekonomi kali ini.
Namun apabila mereka mengambil keputusan menyelamatkan syarikat-syarikat dalam negara daripada terlungkup, satu langkah yang sangat bertentangan dengan ideologi pasaran bebas, maka adalah jelas mereka mengakui hakikat sebenar kejadian.
Setakat ini beberapa syarikat besar dan unggul AS telah menjadi mangsa. Antaranya firma sekuriti keempat terbesar di AS, Lehman Brothers yang berusia lebih 160 tahun terpaksa diisytiharkan muflis ekoran krisis ini.
Kemudiannya firma kewangan dan pembrokeran, Merrill Lynch pula terpaksa menjual segala asetnya kepada Bank of Amerika bagi mengelak ditimpa nasib yang sama.
Berjangkit
Krisis ini kemudian berjangkit kepada syarikat penanggung insurans terbesar AS, American Insurans Group Inc. (AIG) yang berhadapan dengan masalah kewangan serius hingga memaksa ia diselamatkan oleh kerajaan melalui pakej bernilai AS$85 bilion (RM306 bilion).
Sebelum itu kerajaan AS turut mengambil alih firma pembiaya pinjaman hartanah terbesarnya, Fannie Mae dan Freddie Mac yang berhadapan dengan beban kewangan. Terbaru syarikat pengeluar kereta ketiga terbesar di AS, Chrysler LLC memfailkan permohonan di bawah Bab 11 kanun kebankrapan di New York, pada 31 April lepas.
Syarikat yang ditubuhkan oleh Walter Chrysler pada 1919 itu terpaksa memfailkan permohonan untuk perlindungan kebankrapan selepas beberapa bank dan dana lindung nilai utama menolak perjanjian bagi mengurangkan hutang yang berjumlah AS$6.9 bilion (RM25 bilion).
Chrysler mengumumkan, kebanyakan kilangnya tidak akan beroperasi sehinggalah urus niaga tersebut selesai, tetapi pekerja akan terus menerima gaji, wakil penjual akan terus dibuka dan perjanjian pembelian kereta akan tetap dipatuhi.
Bagaimanapun, Obama kemudiannya mengumumkan rancangan untuk menjelmakan semula pengeluar kereta bermasalah itu sebagai sebuah syarikat lebih kukuh menerusi perkongsian dengan Fiat dari Itali.
Mengikut pelan itu, Bob Nardelli akan berundur sebagai Pengerusi dan Ketua Eksekutif Chrysler sebaik sahaja perkongsian dengan Fiat termeterai dan Chrysler keluar daripada status muflis.
Pegawai pentadbiran berkata, mereka menjangka kemunculan sebuah syarikat Chrysler baru dalam tempoh 30 hingga 60 hari dengan penjualan aset utama pengeluar kereta itu kepada sebuah syarikat baru.
"Perikatan baru dan penyusunan semula di bawah perintah muflis adalah antara langkah yang perlu diambil untuk membolehkan sebuah pengeluar kereta terkemuka dalam sejarah Amerika mendapat talian hayat baru," kata Obama pada sidang media di White House.
Pengeluar kereta itu akan menerima dana sejumlah AS$10.5 bilion (RM37.8 bilion) daripada kerajaan AS dan Kanada untuk membiayai operasinya semasa tempoh peralihan itu.
Fiat akan mengambil pegangan 20 peratus dalam firma itu, meningkat kepada 35 peratus dan boleh mencapai 51 peratus seawal 2013 jika Chrysler dapat membayar balik hutangnya kepada kerajaan.
Firma Itali itu tidak akan membayar apa-apa, tetapi akan menyalurkan teknologinya kepada Chrysler, khususnya bagi mengeluarkan syarikat lebih kecil dan lebih jimat minyak.
Sesungguhnya krisis kali ini telah menelanjangkan kesilapan ideologi pasaran bebas yang diagung-agungkan oleh AS serta memerangkap sistem kewangannya dan hampir melumpuhkan ekonominya.
Satu demi satu tunjang sistem kapitalis mereka runtuh akibat "tsunami kewangan" ekoran kelemahan sistem rekaan mereka sendiri.
Jika berdasarkan kepada sistem pasaran bebas yang diamalkan AS, syarikat-syarikat tersebut biar sebesar mana pun mereka dan walaupun usianya mencecah ratusan tahun perlu dibiarkan bankrap dan kerajaan tidak boleh campur tangan kerana ia bertentangan dengan amalan pasaran.
Namun hakikatnya Malaysia pernah dikritik hebat oleh AS ketika berhadapan dengan krisis kewangan Asia 1997-1998 kerana kerajaan telah campur tangan dalam menyelamatkan syarikat-syarikat yang ada kepentingan nasional supaya ia tidak terlepas kepada kapitalis barat.
Malah tekanan yang sama turut diberikan kepada negara-negara seperti Indonesia, Thailand dan Korea Selatan atas alasan pasaran bebas dan globalisasi malah memaksa negara-negara tersebut membuka ruang supaya institusi yang bermasalah itu diambil alih oleh syarikat-syarikat luar.
Namun penyelesaian yang dianggap ketinggalan zaman dan bertentangan dengan konsep pasaran bebas telah terbukti berkesan untuk menyelamatkan ekonomi Malaysia dari ketamakan kapitalis yang sentiasa mengintai peluang untuk membuat keuntungan tanpa mempedulikan kesannya kepada rakyat dan negara.
Kini AS berhadapan dengan masalah yang sama seperti yang dihadapi Malaysia pada 1997-1998. Dunia kini memerhatikan langkah dan tindakan yang akan diambil oleh negara kuasa besar itu demi mengekalkan dominasinya dalam sistem kewangan dunia.
Pentadbiran AS tanpa segan silu bertindak berlawanan dengan ideologi pasaran bebas mereka dengan bertindak menyelamatkan syarikat-syarikat utama bagi mengelakkan ekonomi AS terlingkup.
Apatah lagi masalah ini berpunca daripada ketamakan dan kegagalan institusi kewangan negara itu untuk menguruskan sistem yang ada dengan baik termasuklah membayar gaji keterlaluan kepada pegawai tinggi syarikat.
Mungkin sudah sampai masanya AS perlu menyemak kembali peranan mereka sebagai "tuan" di bumi ini dan menyedari bahawa adalah tidak salah untuk mendengar pandangan dan idea pihak lain daripada terus menghentam secara membabi buta.
Akibatnya AS kini terpaksa menelan balik kritikan yang dilemparkan dan terpaksa mengiktiraf kaedah yang pernah dianggap sebagai ketinggalan zaman untuk menyelamatkan ekonomi mereka sekali gus menyaksikan keruntuhan sistem kapitalis mereka yang begitu disanjung selama ini.
0 comments:
Post a Comment