Profesional mula tentukan survival Pas

Profesional mula tentukan survival Pas
Oleh Ahmad Naim Tahir
naim@bharian.com.my

Perbezaan pendapat untuk cari pendekatan baru lebih kontemporari

KETIKA golongan profesional mula 'mengetuk' pintu Pas, penyertaan mereka amat dialu-alukan dan diterima dengan tangan terbuka oleh kepemimpinan parti kedua terbesar mewakili orang Melayu itu.

Masa berlalu, pengaruh kumpulan itu kian mengukuh hingga menimbulkan konflik dengan kumpulan pro ulama seperti yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Ada yang melabel ulama 'mi segera' atau golongan profesional itu sebagai kelompok Erdogan yang mahukan pembaharuan dalam Pas dan dikaitkan menyokong perjuangan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Konflik yang cuba dinafikan, tetapi kian menanah angkara perang mulut sesama pemimpin parti itu sendiri – sebahagian mahu presiden dan timbalan presiden – kekal dipegang pemimpin berpendidikan agama atau ulama, sebahagian lain khususnya kelompok Erdogan mahu ia dipertandingkan.

Pemilihan kepemimpinan Pas akan berlangsung pada Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-55 di Shah Alam, Selangor awal bulan depan.

Di tengah-tengah isu itu, muncul nama Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang mempunyai hubungan baik dengan Anwar dan sudah pun membayangkan kesediaannya merebut jawatan Timbalan Presiden daripada penyandang, Nasharuddin Mat Isa.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub menafikan wujud krisis dalam parti sambil menyifatkan isu berkenaan hanya mainan pihak tertentu di luar Pas, setiap kali menjelang muktamar.

"Hampir 30 tahun dalam parti, saya melihat akan ada isu disensasikan sebelum pemilihan. Sebelum ini, kata ada pertentangan di antara kumpulan 'ulama progresif' dan 'ulama konservatif', kali ini antara pro ulama dan pro-Anwar pula.

"Saya melihat ini permainan musuh yang cuba mengambil kesempatan untuk menjejaskan perpaduan parti dan hanya timbul setiap kali proses pemilihan...selepas itu tiada apa-apa pun sebenarnya," katanya.

Baginya, apa yang berlaku hanyalah perbezaan pendapat dalam mencatur strategi politik dan mencari pendekatan baru yang lebih kontemporari untuk menghadapi cabaran semasa.

"Kita ada Majlis Syura yang memberikan kata putus terhadap apa juga perkara. Kita letakkan martabat ulama cukup tinggi untuk memelihara dasar parti. Jika profesional pegang jawatan penting pun, ia tidak akan menjejaskan dasar," katanya.

Pendapat itu dipersetujui penganalisis politik, Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar kerana baginya, Pas memerlukan gandingan ulama dan profesional untuk memastikan survival politiknya.

"Banyak perubahan positif berlaku dalam Pas sejak 10 tahun lalu apabila pengaruhnya mula berkembang di kawasan bandar dan penyertaan profesional semakin bertambah.

"Saya lihat golongan profesional ini faham bahawa Pas adalah parti yang berteraskan kepemimpinan ulama. Hala tuju parti itu selepas ini adalah berdasarkan sejauh mana keberkesanan dua kelompok ini bekerjasama," katanya.

Katanya, ulama dalam Pas berperanan memantapkan kesatuan dan perpaduan parti itu, manakala profesional pula menyumbang kepada usaha merakyatkan Pas yang setakat ini membuahkan hasil menggalakkan buat parti berkenaan.

"Golongan profesional ini boleh bercakap kepada setiap lapisan rakyat, termasuk yang berlainan agama. Saya tidak fikir ulama boleh buat macam itu dan Pas tidak boleh hidup hanya dengan kepemimpinan ulama tanpa ada pendekatan profesional," katanya.

Beliau meramalkan Pas mungkin berubah menjadi seperti parti siasah lain di negara ini jika jawatan tertinggi parti diisi profesional, sedangkan kelebihan parti itu selama ini adalah kerana menjadi satu-satunya organisasi politik bertunjangkan Islam dan kepemimpinan ulama.

"Jika mahu meneruskan tradisi kepemimpinan ulama, jawatan presiden mesti diisi ulama. Kalau setakat timbalan presidennya golongan profesional, saya tidak nampak akan wujud masalah," kata-nya.

Apa yang diperkatakan Salahuddin bahawa tiada konflik dalaman mungkin benar atau mungkin juga sekadar alasan untuk memelihara perpaduan parti itu kerana Pas kini – seperti juga Umno – berdepan cabaran tersendiri.

Hala tuju Pas sebenarnya ditentukan perwakilan yang wajar menggunakan tempoh kurang daripada sebulan lagi sebelum muktamar untuk memikirkan landasan perjuangan dan masa depan parti itu.

Adakah mereka mahu Pas diterajui kepemimpinan ulama yang bersikap lebih terbuka dan sedia bermuzakarah dengan parti lain, umpamanya Umno demi kepentingan Melayu dan Islam atau rela melihat bangsa berpecah dan Islam diperlekeh seperti yang berlaku sekarang.

0 comments: