Pembaca akhbar adalah rakyat
Untung Sabut Timbul
Zin Mahmud
Minggu lalu penulis dapat panggilan telefon pagi Ahad dari seorang kawan yang selalu menjadi kaki kutuk.
‘‘Mana sabut?,’’ dia bertanya merujuk kepada ruangan ini yang tidak tersiar dalam Mingguan Malaysia minggu lalu. “Sabut hanyut? Sabut mana boleh tenggelam, tentulah ia hanyut.’’ tambahnya lagi.
“Saya bercutilah,’’ jawab penulis.
“Mana ada kolumnis bercuti,’’ balasnya. Benar katanya, tidak ada istilah bercuti bagi seorang kolumnis. Sebenarnya penulis ini sengaja tidak mahu menulis untuk keluaran penerbitan pada 3 Mei adalah kerana hendak memperingati Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang jatuh pada tarikh itu.
Tentu orang akan bertanya, mengapa kerana hendak memperingati hari kebebasan akhbar, penulis bertindak tidak menulis pada hari itu. Tidakkah lebih baik menulis mengenai Hari Kebebasan Akhbar Sedunia untuk disiarkan pada hari tersebut?
Seseorang wartawan umumnya akan menulis tentang banyak perkara dan melakukannya setiap hari. Maka apabila hendak menghormati suatu hari yang bertujuan mengingati tentang kepentingan kebebasan penulisan, maka lebih wajar dia tidak menulis pada hari berkenaan.
Sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pelbagai pihak mengadakan majlis, antaranya forum bagi membicarakan mengenai kedudukan kebebasan akhbar di negara ini. Acap kali ia diadakan oleh pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan kerajaan. Begitu juga dengan badan-badan bertaraf antarabangsa di samping kedutaan-kedutaan asing dari kalangan negara-negara Barat.
Malaysia seperti banyak negara bukan Barat dilihat sebagai antara negara yang tidak cukup memberikan kebebasan akhbar. Maka akhbar arus perdana dilihat sebagai dikawal dan wartawan-wartawannya dianggap sebagai kurang bebas daripada apa yang sepatutnya.
Maka tidaklah menghairankan, bahawa dalam forum-forum berkenaan sasaran kritikan adalah terhadap media arus perdana, wartawan-wartawannya, pemilik syarikat media, kerajaan dan parti pemerintah kerana dikatakan mengawal kebebasan akhbar.
Majoriti
Tetapi kalau dilihat daripada mereka yang melakukan aktiviti bagi meraikan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, maka dapat difahamkan bahawa hanya segelintir yang mahukan kebebasan akhbar. Majoriti pembaca di negara ini masih mahukan akhbar yang terkawal, atau terpimpin.
Sebab itu, akhbar arus perdana, walaupun dikatakan telah merosot dan terancam tetapi masih berada pada kedudukan baik kerana sokongan pembaca yang kuat dan padu. Kalau pembaca tidak gemar terhadap akhbar arus perdana, sudah lama zamannya berlalu.
Justeru adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak yang mendokong kebebasan media mengecam akhbar arus perdana kerana kehadirannya adalah kerana sokongan para pembaca.
Apatah lagi, mereka tidak wajar mengecam para wartawan akhbar arus perdana dalam soal kebebasan ini. Wartawan berkhidmat untuk pembaca. Jika pembaca mahukan laporan yang terkawal dan terpimpin, maka mereka memenuhi kehendak pembeli-pembeli akhbar berkenaan.
Mereka juga tidak wajar mengkritik pemilik syarikat akhbar. Ini kerana sebagai badan perniagaan, pemilik syarikat akhbar hanya membuat pertimbangan dari segi keuntungan. Malah soal politik yang berkaitan dengan syarikat pemilik media juga adalah atas asas kepentingan perniagaan juga.
Ini kerana pada hakikatnya pemilik saham syarikat tidak memiliki produk, iaitu akhbar berkenaan. Yang memiliki produk adalah pengguna, bermakna pemilik sebenar akhbar adalah pembaca. Mereka secara tidak langsung menentukan kandungannya. Wartawan menulis bukan untuk pemilik syarikat akhbar tetapi berkhidmat bagi pembacanya. Ini kerana pembaca yang membayar untuk membeli akhbar. Atas pembelian akhbar inilah, para pengiklan membeli ruang dan seterusnya membolehkan akhbar diterbitkan.
Maka kalaupun hendak mengkritik mengenai kebebasan akhbar, maka sasarannya harus ditujukan kepada para pembaca.
Sementara mereka inilah juga merupakan sebahagian besar rakyat negara ini, yang setiap kali pilihan raya majoritinya memilih kerajaan pimpinan parti pemerintah yang ada pada hari ini. Maknanya, mereka secara majoriti menyokong cara kerajaan menguruskan media.
Jadi kalau tidak berpuas hati dengan kedudukan kebebasan akhbar di negara ini, mengadulah pada rakyat yang sebahagian besarnya adalah pembaca akhbar arus perdana.
Dan siapakah rakyat? Pembaca, wartawan, pemilik syarikat media, kakitangan kerajaan, pegawai kerajaan dan penyokong-penyokong parti politik adalah kesemuanya sebahagian daripada rakyat.
Sementara konsep kebebasan akhbar itu adalah satu fahaman, yang diterima oleh sebahagian daripada rakyat, tetapi ditolak pula oleh sebahagian yang lain. Selagi rakyat mahukan akhbar yang terkawal atau terpimpin, maka itulah yang mereka perolehi.
Banyak pihak lupa bahawa media massa adalah cermin kepada masyarakat. Apa yang dipaparkan termasuk gaya serta nadanya adalah datangnya daripada pembaca dan penonton.
Untuk mengubah media massa, maka apa yang dilakukan ialah meminda diri sendiri. kalau pembaca dan penonton telah mengubah selera, maka pasti media massa akan menurutinya. dari satu segi, media massa memimpin dan mencorak pendapat umum tentang isu-isu. Tetapi kuasanya terhad. Selagi apa yang diutarakannya dapat diterima pembaca, maka ia akan terus diikuti.
Tetapi jika apa yang dinyatakan oleh media massa ditolak pembaca dan penonton, lambat laun, akhbar dan televisyen juga terpaksa berubah. Jadi, siapa memimpin siapa?
0 comments:
Post a Comment