Orkestra budak kampung

Orkestra budak kampung


okestra filharmonik Petronas mengiringi persembahan filem pendek animasi Lat's Window to The World.


DEWAN Filharmonik Petronas bergema dengan tepukan gemuruh sebaik tamat tayangan filem animasi Lat's Window to the World yang diiringi alunan orkestra.

Tepukan itu tidak berhenti sepanjang Lat berjalan menuju ke pentas, dijemput untuk diraikan. Tepukan itu tambah bergemuruh ketika dia berdiri di pentas dan kemudian tunduk sebagai tanda menghargai penghormatan yang diberikan kepadanya oleh penonton.

Kartunis Lat atau nama sebenarnya Datuk Mohd. Noor Khalid minggu lalu mencatatkan satu lagi cerita manis sepanjang lebih empat dekad dia berkarya.

Hampir 20 tahun lalu, komiknya dipindahkan ke layar perak dan televisyen. Empat tahun lalu, watak-watak ciptaannya menghiasi badan pesawat penerbangan AirAsia dan hanya beberapa bulan lepas, setem keluaran khas keluaran Pos Malaysia.

Tetapi penghargaan yang diberikan kepadanya minggu lalu di Dewan Filharmonik Petronas jauh lebih istimewa daripada yang sebelumnya. Ini kali pertama karyanya diangkat ke sebuah dewan muzik yang cukup berprestij. Siapa yang tidak tahu betapa besarnya pengaruh muzik kepada Lat? Dia pernah ada kumpulan muzik sendiri dan pernah belajar piano sekerat jalan.

Filem animasi pendeknya dengan durasi lebih sedikit 20 minit dipersembahkan dengan iringan Orkestra Filharmonik Petronas (MPO). Muziknya dicipta oleh Carl Davis, yang juga menerajui persembahan berkenaan.

Davis bukan nama asing dalam dunia muzik antarabangsa. Dia menggubah muzik untuk banyak rancangan televisyen dan filem termasuk The French Lieutenant's Woman dan Topsy Turvy. Atas sumbangannya kepada dunia filem dan televisyen, Davis menerima Anugerah Khas Pencapaian Seumur Hidup BAFTA pada 2003.

Idea kerjasama antara Lat dan Davis ini mula timbul pada 2007 cetusan bekas Ketua Pegawai Eksekutif MPO, Juniwati Rahmat Hussin. Juniwati melepaskan jawatan itu pada 1 Mac lepas.

"Ia gabungan Timur dan Barat," kata Lat merujuk kepada kartunnya yang berakar pada latar budaya tempatan dan hasil gubahan Davis yang melebar dalam tradisi Eropah.

Kepada mereka yang telah lama mengikuti kartun Lat, filem animasi tiga babak itu adalah ziarah semula kepada watak-watak dan senario yang pernah dia lakarkan di kertas.

Babak pertama adalah cuplikan daripada Kampung Boy - seorang budak kecil duduk di tingkap melihat budak-budak lain bermain.

Babak kedua ialah petikan pendek daripada Town Boy - persahabatan dua remaja atas minat yang sama terhadap muzik.

Babak terakhir pula rangkuman perjalanan watak budak kecil di tingkap yang sekarang sudah dewasa mengembara ke serata dunia sebagai pelukis. Tetapi tidak salah kalau ada yang menyifatkan persembahan tiga malam itu hanya sebagai penyendal.

Ini kerana selepas rehat 20 minit, hadirin dihiburkan dengan tayangan filem bisu Charlie Chaplin, Modern Times selama 89 minit yang diiringi persembahan muzik daripada skor asal oleh orkestra yang sama. Namun tiada siapa dapat menafikan, seniman yang diraikan pada tiga malam itu sebenarnya Lat.

Karyanya telah menyentuh hati banyak orang. Membaca Kampung Boy, kita tersenyum mengenang zaman yang sudah jauh ditinggalkan. Kita juga jadi teringat kepada kawan lama yang akrab dan zaman remaja yang manis seperti yang dilalui oleh Mat dan Frankie dalam Town Boy.

Kita belajar mengenal budaya satu sama lain melalui sirinya mengenai adat resam perkahwinan pelbagai kaum di negara ini.

Melalui kartunnya, Lat memecahkan tembok perkauman yang masih jadi tegak kukuh dalam kepala banyak orang. Kita tahu sejarah awal Lat berkarya. Dia diberi peluang melukis kartun untuk akhbar The New Straits Times, dan kerana itu dia terpaksa menyesuaikan karyanya untuk khalayak yang pelbagai kaum.

Tetapi Lat tidak mungkin melakukan tugas itu setiap minggu sejak tahun 1974 jika jiwa dan pengalamannya sendiri tidak terbentuk sedemikian rupa. Selebihnya, rasa ingin tahu yang bersarang dalam benaknya.

Allahyarham Redza Piyadasa dalam esei penghargaannya kepada Lat yang ditulis 15 tahun lalu, menyebut Lat ialah kartunis Melayu pertama yang mendapat khalayak pelbagai kaum. Malah tulis Redza lagi, orang tidak melihat Lat sebagai kartunis Melayu tetapi Malaysia.

Dalam empat dekad dia berkarya, Lat menjadi seniman rakyat. Dia menceduk sejuta pengalaman daripada pengamatannya yang tajam terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya. Dia menumpahkan pengamatannya itu - selepas menyaringnya dengan pandangan mata hati sebagai seniman - ke atas kertas untuk kita melihat diri kita sendiri.

Apabila kita ketawa, kita mentertawakan diri sendiri. Mentertawakan orang mudah, tetapi mentertawakan diri sendiri, itu yang lebih susah. Dengan ketawa kepada diri sendiri, kita belajar jadi manusia yang menyedari kelemahan yang ada. Menyedari tidak bermakna kita menerima. Ia jadi jalan pertama untuk kita memperbaikinya.

Dalam menghiburkan kita dan menjadi cermin untuk kita melihat diri sendiri, Lat selama ini tidak pernah gagal dengan apa yang dia usahakan.

Balai Seni Lukis Negara (BSLN) pada 2003 mengadakan Pameran Retrospektif Lat yang mengangkat karya-karyanya sejak 1964. Ia satu penghormatan besar. Lat menjadi artis visual ke-10 sejak BSLN memberikan penghormatan nasional itu.

Sembilan artis sebelum itu merupakan artis seni halus termasuk Hossein Enas, Syed Ahmad Jamal, Latiff Mohiddin, Ibrahim Hussein dan Redza. Lat ialah kartunis yang pertama.

Tetapi wajar juga kita bertanya, kenapa Dewan Filharmonik Petronas yang elit sifatnya jadi tempat untuk menghargai seniman rakyat seperti Lat? Untuk itu kita wajar bertanya: Istana Budaya buat apa?

0 comments: