HAK ASASI WANITA

HAK ASASI WANITA


PERTANDINGAN ratu cantik melecehkan hak asasi wanita dengan mengeksploitasi kecantikan mereka. - AFP


Kecantikan wanita selalunya digambarkan sebagai sesuatu yang subjektif. Dalam memperkatakan tentang hal ini perkara yang selalu terbayang di fikiran manusia pastinya kecantikan paras rupa dan bentuk badan mereka. Bukan untuk bersikap prejudis tetapi inilah yang sering digembar-gemburkan oleh hampir semua pihak terutamanya kaum adam.

Persepsi inilah yang sering digunakan sebagai kayu pengukur dalam menilai kecantikan wanita. Dari satu sudut sememangnya kita tidak boleh menafikan pandangan ini. Sama ada kita bersetuju atau tidak dua perkara ini iaitu rupa paras dan bentuk badan akan dijadikan asas utama untuk dijadikan panduan penilaian.

Apatah lagi dalam dunia serba moden sekarang dengan pelbagai fesyen dan jenama pakaian serta produk kecantikan yang berlambak di pasaran, wanita itu sendiri seolah-olah terlalu terikut-ikut dengan kehendak yang telah ditetapkan oleh pasaran.

Namun seperti yang dinyatakan tadi kecantikan seseorang wanita masih lagi satu perkara yang subjektif. Sesungguhnya masih ramai di luar sana yang berpandangan bahawa kecantikan itu dinilai dari sifat dan keperibadian seseorang wanita.

Itu semua persepsi dan pandangan peribadi dan ia terpulang kepada seseorang dalam bagaimana mereka menilai kriteria kecantikan wanita. Namun yang pasti, dalam era moden sekarang penilaian tentang kecantikan seseorang wanita itu lebih terarah kepada pandangan dan kriteria yang telah ditetapkan oleh negara-negara Barat.

Lihat sahaja kepada cara pemakaian wanita era moden kini, adalah jelas hampir keseluruhan gaya dan fesyen mereka mengikut kehendak dan ketetapan yang telah ditentukan Barat. Dari pakaian hingga ke peralatan kecantikan, dari kasut hingga ke alat melangsingkan badan, semua ini telah didominasi oleh pereka dan produk dari Barat. Maka tidak menghairankan pereka-pereka fesyen dan pemilik produk kecantikan turut tersenarai sebagai antara bilionair dunia. Antara mereka ialah pemilik syarikat Loius Vuitton, Bernard Arnault, Alain dan Gerard Wertheimer yang memiliki syarikat fesyen Chanel dan pemilik syarikat produk kecantikan ternama Loreal, Liliane Bettencourt.

Penguasaan dan dominasi Barat dalam isu dan soal kecantikan ini telah mengakibatkan kebanyakan penduduk dunia kini terlalu berkiblatkan kepada Barat dalam soal ini.

Apa yang penting dominasi Barat bukan sahaja dalam bentuk pemikiran, penguasaan ekonomi dan ideologi politik tetapi ia kini semakin mencengkam kehidupan seharian kita semua termasuklah juga dalam cara kita berpakaian dan penampilan diri.

Ini ditambah dengan pelbagai pertandingan ratu cantik yang diadakan saban tahun hampir disetiap negara di seluruh dunia. Mungkin dari segi penganjurannya, motif utama pertandingan sebegini ialah untuk mencari seorang wanita yang bukan sahaja cantik dari segi paras rupa, penampilan dan bentuk badan tetapi turut dinyatakan syarat utama seorang pemenang ratu cantik ialah pemikiran dan pengetahuan mereka juga mestilah tinggi.

Namun cara calon-calon ratu cantik ini berpakaian masih tetap mengundang pelbagai persepsi negatif terutama di kalangan negara-negara Islam. Maka kebanyakan negara-negara ini menganggap pertandingan sebegini tidak sesuai dengan budaya dan cara hidup masyarakat mereka.

Namun dalam kita terlalu hanyut dalam soal ini, Arab Saudi mengumumkan bahawa mereka akan menganjurkan pertandingan Ratu Cantik Moral sebagai salah satu cara untuk tidak terlalu terikut-ikut dengan cara dan gaya hidup Barat.

Pertandingan tersebut yang bermula sejak Sabtu minggu lepas disertai hampir 200 orang peserta dan akan mengambil masa dua bulan setengah sebelum pemenangnya diumumkan.

Penyertaan

Ratu Cantik Moral ini sebenarnya telah masuk tahun kedua dan penyertaannya mengalami peningkatan mendadak berbanding hanya 75 peserta yang mengambil bahagian pada tahun lepas. Ia dibuka untuk wanita berusia 15 hingga 25 tahun.

Apa yang menarik tentang pertandingan ini ialah matlamatnya bukanlah untuk mencari mereka yang mempunyai rupa paras yang cantik atau bentuk badan yang menggiurkan tetapi mencari wanita yang mempunyai personaliti dan keperibadian terpuji berlandaskan Islam.

Malah bakal pemenang tidak semestinya cantik. Apa yang penting ialah keperibadian dan kekuatan dalaman mereka dari segi jiwa dan moral.

Apatah lagi kesemua mereka ini tidak akan sesekali mendedahkan aurat mereka malah bagi negara seperti Arab Saudi yang sering dianggap sebagai penganut Islam ekstrem oleh Barat, penganjuran sebegini pastinya dilihat sebagai langkah yang bersesuaian dengan budaya dan cara hidup mereka.

"Idea dalam pertandingan ratu cantik ini adalah untuk mengukur komitmen para peserta terhadap moral Islam, ia adalah alternatif kepada pertandingan ratu cantik lain yang hanya mengambil kira rupa dan bentuk tubuh wanita," kata pengasas pertandingan, Khadra Al-Mubarak.

Para hakim tidak mengendahkan mengenai bagaimana cantiknya rupa paras satu-satunya pertandingan ratu cantik di Arab Saudi ini nanti. Sebaliknya apa yang mereka lihat dan nilai ialah peserta yang menunjukkan perasaan kasih sayang dan hormat paling tinggi kepada ibu bapa.

Juara dan naib juara yang akan diumumkan pada Julai depan akan membawa pulang hadiah wang tunai AS$2,600 (RM9,360) dan AS$1,300 (RM4,680) setiap seorang di samping hadiah-hadiah iringan lain.

Meskipun wajah peserta berselindung di sebalik purdah hitam yang menutupi seluruh wajahnya dan tiada siapa dapat memberitahu betapa cantiknya rupa parasnya, namun mereka tetap berasa sangat bertuah kerana berpeluang untuk dipilih sebagai ratu cantik.

Selepas ini peserta akan menghabiskan masa 10 minggu berikutnya dengan menghadiri kelas dan kemudiannya diuji minda mereka dengan pelbagai soalan dan kuiz bertemakan kekuatan dalaman dan pembentukan kepemimpinan.

Para peserta akan menghabiskan masa sehari bersama ibu mereka di rumah untuk dinilai oleh para hakim tentang peranan dan cara berinteraksi peserta dengan ibu mereka.

Menambahkan lagi keunikan pertandingan ini, peserta akan diadili oleh para hakim yang semuanya terdiri dari wanita. Memandangkan mereka ini akan diadili oleh hakim wanita dan pertandingan ini tidak akan disiarkan di televisyen, peserta dibenarkan untuk membuka tudung dan hijab mereka.

Bagi salah seorang peserta, Sukaina Al Zayer, dia berpandangan jika berdasarkan kepada paras rupa adalah mustahil untuk memenangi pertandingan ini apatah lagi dengan tubuh badannya yang agak berisi.

Dengan menggunakan pakaian yang menutup aurat keseluruhannya pastinya agak sukar untuk mereka ini dinilai berdasarkan paras rupa dan bentuk badan. Namun kerana pemenang dikira berdasarkan keperibadian dan kekuatan dalaman semua peserta mempunyai peluang yang sama untuk menang.

"Pertandingan sebegini menekankan bahawa syurga terletak di bawah telapak kaki ibu dan kami ditekankan dengan sikap hormat kepada ibu bapa, yang juga antara perkara asas dalam Islam," katanya.

Bersetuju

Bagi pemenang tahun lepas Zahra Al Shurafa, dia turut bersetuju dengan pandangan ini dan melalui pertandingan sebegini ia akan memberi insentif kepada wanita muda untuk menunjukkan kasih sayang dan keperibadian mereka terhadap ibu bapa mereka.

"Saya ingin memaklumkan bahawa dalam pertandingan ini bukan kemenangan yang diimpikan tetapi yang paling penting ialah rasa hormat dan kasih sayang kepada ibu bapa," kata Zahra, 21, yang juga pelajar universiti jurusan bahasa Inggeris

Bagi pihak penganjur, acara ini dianggap sebagai sesuatu yang sesuai dengan budaya mereka dan penganjuran acara sebegini dilihat penting untuk menempuh pelbagai pengaruh dan budaya Barat yang semakin tersebar dalam kehidupan penduduknya.

Penganjuran sebegini akan dilihat sebagai satu medium untuk mengimbangi budaya Barat dan walaupun ia dianggap sebagai meniru acara ratu cantik tetapi ia dilakukan mengikut acuan sendiri sekali gus menyampaikan mesej bahawa apa yang dilakukan di Barat boleh dilakukan tetapi tidaklah sampai perlu mengikut dan menari dengan rentak mereka.

Apatah lagi dengan lambakan pelbagai pengaruh dan cara hidup Barat ia sedikit sebanyak mampu menggugat keimanan penduduk mereka namun dengan melakukan tindakan sebegini ia sedikit sebanyak memberi ruang untuk mereka merasai kebebasan namun dalam konteks yang dibenarkan.

Akibat dari pengaruh Barat yang semakin berleluasa jugalah telah mengakibatkan sebuah program yang menjurus kepada "American Idol" akan di keluarkan pada bulan depan.

Tetapi seperti pertandingan Ratu Cantik Moral, pertandingan menyanyi ini akan hanya tertumpu kepada lagu-lagu berunsur ketuhanan.

Malah beberapa rancangan "Talk Show" yang mengikut rentak pengacara terkenal Oprah Winfrey kini tumbuh bagai cendawan di kaca televisyen. Bagaimanapun pengacara program ini terdiri dari pendakwah agama dan topik perbincangan masih tidak lari dari peranan agama dalam kehidupan seharian.

Mungkin ada yang beranggapan program sebegini mungkin dilihat agak membosankan tetapi bagi sebuah negara seperti Arab Saudi yang dipenuhi dengan nilai keagamaan yang tinggi, perkara sebegini dilihat sebagai satu pembaharuan dalam mengisi kehendak dan naluri penduduknya yang tidak dapat lari dari pengaruh globalisasi dan liberalisasi.

Jika hendak dibandingkan dengan negara jiran mereka seperti Lebanon yang lebih liberal dan terlalu dipengaruhi dengan nilai-nilai Barat termasuklah menganjurkan pertandingan ratu cantik ala Barat, pastinya apa yang dilakukan oleh kerajaan Arab Saudi ini dilihat selari dengan kehendak budaya dan masyarakat itu sendiri.

Memandangkan Arab Saudi merupakan sebuah negara yang sering dilihat sebagai menindas golongan wanita kerana wanita mereka tidak dibenarkan memandu dan mengundi selain beberapa perkara lagi yang dilihat bertentangan dengan hak asasi manusia namun langkah mengadakan pertandingan Ratu Cantik Moral ini dilihat sebagai satu perkara yang bersesuaian dengan kehendak dunia semasa yang semakin kehilangan sentuhan kemanusiaan dan kekeluargaan.

Memang benar ia tidak seglamour dan sehebat pertandingan ratu cantik yang sering kita saksikan seperti Miss Universe, Miss World dan sebagainya namun Ratu Cantik Moral ini pastinya akan memberi perspektif dan penilaian baru tentang bagaimana kita menilai dan menghargai wanita.

Memang benar dalam menilai wanita kita tidak boleh menafikan kepentingan rupa paras mereka namun pada masa yang sama adalah perlu untuk kita turut memastikan bahawa nilai-nilai murni ini masih terus tersemat kukuh di hati mereka.

Mungkin bagi negara Barat apa yang berlaku terhadap wanita di Arab Saudi sebagai satu penindasan hak asasi mereka tetapi mungkin mereka sendiri terlupa bahawa apa yang berlaku ketika pertandingan ratu cantik yang dianjurkan tetap berlaku penindasan hak wanita dengan mengeksploitasi mereka dengan berpakaian separuh bogel.

Pastinya apa yang dilakukan oleh Arab Saudi mungkin akan dipandang sinis oleh Barat namun sebenarnya adalah lebih baik mereka menilai kembali diri mereka sendiri dari terlalu menyibuk untuk menilai apa yang berlaku di negara lain.

0 comments: