Menangani krisis cara kita

Menangani krisis cara kita


Malaysia dilanda krisis kewangan pada Julai 1997. Tiba-tiba, kita mendapati diserang. Mata wang kita, yang stabil sekitar RM2.50 berbanding dolar AS selama kira-kira 10 tahun (1986-1996), mula bertambah lemah sehingga mencecah hampir RM5 berbanding dolar AS.

Pasaran saham kita merupakan pasaran saham yang menampilkan prestasi terbaik di rantau ini, mula menjunam. Ini menimbulkan keadaan panik di kalangan korporat apabila melihat nilai perniagaan mereka merudum. Ia turut menyebabkan orang ramai yang melabur menjadi cemas kerana pelaburan mereka, sama ada dalam saham atau hartanah, merosot dengan banyak. Untuk memburukkan lagi keadaan, pihak berkuasa kewangan pada masa itu mula menaikkan kadar faedah dan mengurangkan kredit, yang menyebabkan kitaran ganas (vicious cycle).

Menjelang penghujung 1997, apabila keadaan menjadi semakin buruk dari sehari ke sehari, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu, meminta saya kembali menyertai perkhidmatan awam untuk membantunya dalam mengatasi krisis berkenaan.

Untuk memerangi musuh, seseorang itu perlu mengetahui siapa musuh itu dan senjata apa yang digunakannya. Hanya dengan cara itu, barulah kita boleh merangka strategi yang betul dan tepat untuk mengalahkan musuh - malah memungkinkan kita untuk menewaskannya dalam permainannya sendiri. Musuh-musuh itu adalah para spekulator mata wang. Mereka mengesan mangsa seterusnya setelah berjaya menyerang Baht Thai pada 1997. Mereka menyebarkan mitos "penularan" dalam usaha mereka menyerang mata wang negara lain di rantau ini. Senjata mereka: meminjam mata wang negara yang hendak diserang, menjual mata wang itu secara besar-besaran di pasaran dan, pada masa yang sama, menyebarkan cerita kononnya ekonomi negara itu lemah.

Dan apabila mata wang negara itu menjadi lemah, mereka akan membeli semula mata wang itu pada harga yang lebih murah berbanding harga jualan. Selepas itu, mereka akan melunaskan pinjaman mereka dan memperolehi keuntungan yang lumayan.

Bagaimana kita hendak melawan musuh sedemikian? Mungkin cara yang paling mudah untuk menentang mereka ialah Bank Negara membeli mata wang semasa spekulator mata wang menjualnya. Memandangkan pembelian oleh bank pusat dapat meneutralkan jualan spekulator, mata wang itu tidak akan lemah.

Dalam sesetengah keadaan, strategi sedemikian boleh berjaya tetapi tidak semasa krisis 1997/98. Pada 1997, spekulator mata wang terutamanya dana lindung nilai mempunyai jumlah modal yang amat besar dan selain itu, mereka boleh meminjam sehingga 20 kali ganda modal mereka daripada bank-bank antarabangsa. Rizab mata wang asing Bank Negara pada 1997 cuma AS$20 bilion. Jumlah sumber spekulator mata wang pula melebihi AS$500 bilion.

Pada 1998, apabila kita mula menganalisis situasi itu, kita menyedari terdapat dua elemen yang memihak kepada manipulator mata wang iaitu:

i) Keupayaan mereka untuk meminjam jumlah ringgit tanpa had bagi tujuan jualan singkat

ii) Rejim kadar tukaran apungan, di mana jika terdapat jumlah jualan yang lebih besar berbanding dengan pembelian, mata wang itu akan menjadi lemah, dan begitu juga sebaliknya.

Langkah-langkah "bukan ortodoks", yang kita perkenalkan pada 1 September 1998, pada dasarnya bertujuan menyingkirkan kedua-dua elemen itu. Pertama, kita menghentikan amalan membenarkan bukan pemastautin meminjam ringgit untuk jualan singkat. Ini dengan serta-merta dapat mengekang spekulator daripada memperolehi ringgit. Dan kedua, kita menukar rejim mata wang daripada rejim kadar apungan kepada rejim kadar tetap. Kita menambatnya pada kadar RM3.80.

Berikutan langkah-langkah bukan ortodoks itu, ekonomi negara bertambah pulih dan sejak 10 tahun lepas, kita bukan sahaja terselamat daripada krisis itu malah menjadi makmur, dan kita kini berada di landasan yang sempurna untuk menuju ke Wawasan 2020. Apabila gangguan manipulator mata wang beransur hilang sejak beberapa tahun lepas, kita kembali kepada rejim kadar apungan pada 2005.

Selain mengingati ulang tahun ke-10 krisis mata wang, tahun 2007 juga merupakan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara. Lima puluh tahun yang pertama menyaksikan transformasi Malaysia daripada sebuah negara dunia ketiga yang miskin kepada sebuah negara yang moden dan makmur. Kerajaan pasca Merdeka yang pertama telah memilih untuk mengekalkan struktur ekonomi yang diwarisi di samping menerima pakai pendirian dasar pro-perniagaan. Dengan sikap laissez faire (tanpa campur tangan kerajaan) ini mungkin nampak pelik mengikut keperluan untuk menangani ketidakseimbangan yang serius pada ketika itu. Adalah penting bagi kita untuk mengingatinya kerana ia telah memberikan kerajaan satu ekonomi yang agak bertenaga yang boleh diusahakan untuk agenda pembangunan masa depan negara.

Walaupun negara mencapai kemerdekaan ketika dunia dipengaruhi oleh ketegangan ideologi, ia bersikap pragmatik. Pada 1957, kecenderungan terhadap fahaman nasionalis-sosialis oleh negara-negara baru merdeka ketika itu telah dapat dielak.

Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, merupakan contoh pragmatisme ini dan beliau telah mewujudkan tradisi dalam semua keputusannya; daripada perjanjian politik pra Merdeka dengan British dan antara kaum yang terdapat di Tanah Melayu hinggalah kepada dasar-dasar ekonomi luar dan dalam negara.

Berjuang

Oleh itu, ketika banyak negara sedang membangun berjuang menghadapi cabaran politik yang dipengaruhi oleh perbahasan ideologi - mengenai pilihan "isme" yang dicipta oleh manusia dan mengenai kedudukan wanita dalam masyarakat - kita perlu mengingatkan diri kita bahawa beradanya kita di tempat sekarang ialah kerana sebahagian besarnya disebabkan isu-isu, yang memecahbelahkan dapat diatasi ketika itu. Kita meneruskan langkah dengan memastikan semua orang - tanpa mengira kaum dan gender - turut dilibatkan. Bukan sahaja itu, kita sebenarnya sudah lama sedar bahawa jaminan ekonomi bergantung kepada keupayaan kita untuk bersaing di peringkat antarabangsa kerana ekonomi kita sentiasa disepadukan dengan ekonomi dunia - jauh sebelum globalisasi menjadi ikut-ikutan sekarang.

Hasil pembangunan negara, kira-kira 50 tahun kemudian, telah mendapat pujian. Sekarang kita sudah hampir menghapuskan kemiskinan dan menyaksikan pembentukan golongan berpendapatan sederhana. Walaupun kita mungkin memandang ringan perkara ini, namun peningkatan kemajuan ekonomi dan mobiliti sosial yang kita saksikan adalah sangat meluas. Adalah agak mengejutkan jika kerapuhan situasi politik dan kerentanan ekonomi ketika Merdeka diberi pertimbangan. Banyak perkara boleh menjadi silap.

Kita telah bertindak terhadap setiap krisis ekonomi; dari 1974 hingga 1986 hinggalah kepada krisis kewangan 1997/98. Seperti mana semasa kita mendapat kemerdekaan, kita telah mengambil langkah yang praktikal dan bebas setiap kali kita menghadapi krisis. Kita membuat keputusan yang wajar dan menyakitkan tetapi kita melakukannya mengikut "cara kita".

Dengan masa berlalu, faktor-faktor yang telah menjurus kepada pembangunan dan krisis ekonomi semakin meningkat di peringkat antarabangsa, dengan ekonomi Malaysia memanfaatkan peluang ekonomi global untuk menjadi ekonomi yang pelbagai. Masa lampau dan masa depan kita akan terus dikaitkan dengan keupayaan kita bertahan di peringkat antarabangsa. Kita sedar bahawa kita perlu meningkatkan lagi standard domestik bagi memastikan daya saing negara dan kita sudahpun memulakan perjalanan ini secara bijak dan praktikal. Hari ini, kita boleh menganggap diri kita sebagai antara kisah kejayaan separuh kedua abad ke-20.

Kejayaan Malaysia merupakan kisah yang berkesinambungan, sama ada secara sedikit atau banyak, tetapi sentiasa dibentuk pada asas yang sama. Cabaran di Malaysia sentiasa menjadi penggalak untuk menyimpang daripada kelaziman, bukan kerana mahu menjadi berbeza tetapi sebagai maklum balas kepada perubahan yang penting. Keupayaan untuk menerima pakai perubahan dalam andaian asas (basic assumptions), pendekatan kepada pembangunan dan rangka kerja institusi adalah penting dalam memastikan kejayaan seterusnya. Jika tidak, pendekataan yang menghasilkan kejayaan ini akan mengekang pertumbuhan masa depan.

Terdapat tanggapan bahawa kenegaraan pada masa depan akan berubah dengan ketara berbanding dengan apa yang sudah kita lazimi. Malah, kita mula melihat bagaimana kuasa teknologi dan kekuasaan pasaran sebagai institusi telah mengubah konsep kedaulatan negara dalam dunia global. Kebebasan mobiliti pengetahuan, mobiliti modal yang hampir bebas dan mobiliti buruh telah merubah pergerakan yang mengawal ekonomi. Ia menjadikan masa depan lebih tidak menentu dan justeru, lebih mencabar.

Kita tidak dapat meramalkan dengan tepat perubahan yang bakal berlaku pada masa depan tetapi kita sedar bahawa kita perlu bersedia untuk menerima dan mengendalikan perubahan berkenaan. Tanpa keupayaan itu, kita mungkin gagal membentuk masa depan yang lebih baik. Di sini, saya menggariskan tiga elemen yang kita perlukan.

Mesti ada pembentukan identiti rakyat Malaysia. Walaupun kita berbeza, kita perlu mempunyai memori bersama yang dikongsi untuk kita bawa ke masa hadapan. Ini adalah cabaran terbesar kita. Sejarah telah menunjukkan bagaimana pantasnya negara berpecah-belah hanya kerana masalah ini.

Kegagalan untuk menangani isu ini jelas ketara selepas 12 tahun merdeka. Oleh itu, kita menyediakan satu rangka kerja dasar yang menangani punca kegagalan yang tragis itu. Ia memberikan kestabilan politik yang membolehkan kita melaksanakan pembangunan ekonomi. Dalam aspek ini, kita sudah banyak mencapai kejayaan. Bagaimanapun, kita masih mempunyai cara dalam mencapai matlamat mewujudkan identiti negara dalam aspek yang sebenarnya. Kita perlu membangunkan prisma bersama mengenai siapa sebenarnya Malaysia. Kita mesti berusaha mencari jalan untuk memastikan secara keseluruhannya kita adalah lebih besar daripada perbezaan kita. Ekonomi pasaran, jika tidak dijaga, boleh berlaku kejam tanpa kewujudan institusi pelengkap yang mewakili nilai-nilai bersama. Ia juga mentakrifkan "peraturan permainan" dan dengan itu, ia mentakrifkan mekanisme insentif yang menentukan cara kita berkelakuan.

Kemakmuran ekonomi yang berterusan sebenarnya merupakan hasil daripada peraturan yang betul dalam permainan ini, dan ia sudahpun terpahat dalam institusi ini. Negara-negara yang mempunyai asas serupa mempunyai laluan pembangunan berbeza kerana infrastruktur institusi mereka berlainan. Kita amat beruntung kerana mewarisi satu set institusi yang berfungsi ketika merdeka, iaitu kemewahan yang tidak dinikmati oleh banyak negara yang dijajah. Bagaimanapun, kita telah mengubah suai sesetengah daripadanya dan mewujudkan yang baru semasa kita berkembang sebagai sebuah negara.

Mereka yang hidup ketika negara mencapai kemerdekaan tidak mungkin akan ada lagi pada 2057 . Tanggungjawab kita ialah untuk menghasilkan pemindahan tanggungjawab antara generasi, iaitu perancangan penggantian. Tanggungjawab bagi masa depan Malaysia kini milik anda.

0 comments: