Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
BERI PENERANGAN: Mustapa (dua dari kiri) mendengar penerangan Rektor Kolej Poly-Tech Mara, Dr Ahmad Roslan Johari (tengah) mengenai model kampus tetap (kejururawatan) cawangan Kelantan pada majlis jamuan Aidilfitri kolej itu semalam. |
Hasil kajian MQA tidak pertikai standard kursus ditawarkan universiti: Mustapa
KOTA BHARU: Kementerian Pengajian Tinggi memberi jaminan semua program pengajian yang ditawarkan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) negara ini berkualiti dan memenuhi piawaian ditetapkan.
Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed, berkata orang ramai tidak perlu bimbang reputasi universiti awam berdasarkan keputusan Reputasi Akademik yang diumumkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Sabtu lalu.
Katanya, rumusan MQA itu hanya hasil kajian yang membabitkan beberapa komponen dalam universiti yang sudah tentu ada beberapa kelemahan yang boleh diatasi.
"Kementerian memberi jaminan bahawa semua program yang ada di universiti awam berkualiti, walaupun ada antaranya baru setahun dua beroperasi.
"Oleh itu, kita minta orang ramai tidak bimbang kualiti program yang disediakan oleh mana-mana universiti awam selepas hasil kajian MQA diumumkan baru-baru ini," katanya mengulas kajian MQA yang melaporkan tiada satu pun 17 IPTA di negara ini mencapai tahap terbilang atau bertaraf antarabangsa.
Kajian MQA, yang dulunya dikenali Lembaga Akreditasi Negara (LAN), mendapati hanya Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mencapai penilaian lima bintang.
Ia sekali gus meletakkan USM dalam kategori cemerlang dan menduduki senarai teratas dari segi reputasi IPTA di negara ini.
Kajian itu membabitkan pandangan 900 badan bukan kerajaan (NG0) dan hanya 272 memberi jawapan, yang mana 242 adalah daripada IPTA tempatan, dua IPT Asean, sembilan syarikat korporat dan 19 badan profesional dan persijilan.
Mustapa berkata, ada universiti awam di negara ini baru ditubuhkan dan sudah tentu sukar bagi mereka bersaing dengan universiti yang sudah lama beroperasi.
"Contohnya, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), tentu tanggapan terhadapnya berbanding Universiti Malaya (UM) jauh beza. Oleh itu, ada beberapa kelemahan dalam kajian itu perlu diambil kira bagi membuat penilaian terhadap perkara berkenaan," katanya.
"Keutamaan kajian ialah untuk meningkatkan mutu pengajaran, pelajaran, pensyarah, pelajar dan penyelidikan di samping mendedahkan pelajar dengan industri," katanya.
0 comments:
Post a Comment