Bahan letupan hasilkan tindak balas supersonik

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES dan NOOR AZMAH IBRAHIM


Shaari Desa.

SHAH ALAM 5 Nov. – Kedua-dua jenis bahan letupan yang dikesan pada barang bukti kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu kebanyakannya digunakan dalam aktiviti ketenteraan dan boleh menghasilkan tindak balas supersonik serta mengakibatkan kerosakan besar.

Dengan gelombang kelajuan secara umumnya melebihi 1,000 meter sesaat, gegaran bahan letupan Pentaerythritol Tetranitrate (PETN) dan Cyclotrimethylene Trinitramine (RDX) boleh memusnahkan kawasan persekitaran termasuklah sebarang halangan yang berdekatan dengan pusat letupan.

Ketua Unit Senjata Api dan Kesan Alat di Seksyen Kriminalistik, Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya, Shaari Desa, 40, mengesahkan perkara tersebut ketika memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

“Kesimpulan yang boleh saya buat berdasarkan analisis yang dijalankan ke atas sampel rambut bertanda Z7, Z10, Z11 dan Z13 (berlabel unknown yang diambil di tempat kejadian), saya mendapati terdapatnya penggunaan bahan letupan PETN dan RDX,” kata saksi.

Bukan itu sahaja, kata Shaari, sampel ketulan berwarna merah jambu yang bertukar menjadi warna peach (bertanda Z20) dan serbuk putih dalam detonating cord (Z22) turut mengandungi bahan letupan jenis PETN dan RDX.

Menurut saksi, PETN dan RDX adalah sejenis bahan letupan yang ditakrifkan di bawah Akta Bahan Letupan 1957.

Selain itu, empat sampel rambut iaitu yang bertanda Z7, Z10, Z11, Z13, helaian plastik berwarna hitam (Z32), plastik hijau (Z40), Z48 (plastik hijau kehitaman), keratan wayar (Z44) mempunyai kesan bahan letupan jenis yang serupa.

Manakala keratan wayar (Z47), putik kapas (Z12), cebisan plastik (Z29), sampel tanah (spesimen tanah di tempat kejadian yang ditandakan sebagai bahagian kepala, perut dan kaki yang bertanda Z49, Z50, Z51 ) juga terdapat kesan bahan letupan jenis RDX.

“Tiada kesan bahan letupan ditemui pada empat cebisan tulang (ZZ1 hingga ZZ4),” kata Shaari.

Beralih pula kepada selaras submesingan HK-MP5 SD (P263A) tanpa kelopak yang dipasang penyerap bunyi (silencer) yang turut dianalisis, beliau mengesahkan senjata api tersebut pernah melepaskan tembakan.

“Setelah dianalisis, saya mendapati terdapat sisa serbuk senjata api (gun powder residue) pada bahagian dalam laras dan penyerap bunyi yang dipasang. Ini bermaksud tembakan pernah dilepaskan dan senjata itu tidak dibersihkan selepas tembakan terakhir dilepaskan,” jelas Shaari.

Saksi pendakwa ke-40 itu menyatakan demikian ketika disoal dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin pada perbicaraan terhadap ketiga-tiga tertuduh yang sedang dibicarakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin. Perbicaraan masuk hari ke-54 hari ini.

Dalam kes itu, Cif Inspektor Azilah Hadri, 31, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, didakwa membunuh Altantuya, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh itu dibicara bersama penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda yang didakwa bersubahat dengan mereka melakukan pembunuhan tersebut di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara pukul 9.45 pagi dan 10.05 pagi pada 18 Oktober tahun lalu.

Disoal lebih lanjut oleh Noorin mengenai ujian yang dijalankan hingga menjuruskan kesimpulan yang dibuat, Shaari berkata, dalam usaha untuk mengesahkan sama ada kelongsong peluru bertanda Z61 telah ditembak menggunakan senjata api bertanda Z71 atau tidak, beliau telah menggunakan lima butir peluru hidup( Z74) dan kelopak (Z72) untuk uji tembak.

Setelah uji tembak selesai, ujar Shaari, beliau telah membuat perbandingan menggunakan mikroskop.

Hasilnya, tambah saksi, beliau mendapati tanda-tanda karakteristik pada kelongsong (Z61) adalah serupa dengan karakteristik pada kelongsong uji tembak (Z74A) hingga (Z74E).

“Justeru itu, saya berpendapat bahawa kelongsong (Z61) telah ditembak menggunakan senjata api submesingan (Z71),” ujar Shaari dengan penuh teliti.

Ketika Shaari memberikan keterangan, para peguam kelihatan mendengar dengan penuh teliti dan begitu jugalah keadaannya dengan ketiga-tiga tertuduh.

Perbicaraan bersambung esok.

0 comments: